Sunday, February 19, 2012

Pelajar tunggu SPM dan rakan cedera disimbah asid.

MARANG - Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Serating yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Mohd Fazil Hanapi Idrus, 18, dan rakannya parah disimbah cecair, dipercayai asid di Padang Merchang di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5.10 pagi itu, Mohd Fazil melecur di bahagian muka, tangan, badan dan kedua belah kaki manakala rakannya, Sharul Zaman Salim, 38, cedera di muka dan badan selepas disimbah cecair itu dari arah luar tingkap rumah.

Perbuatan tidak beperikemanusiaan itu dilakukan oleh individu tidak dikenali ketika dua mangsa terbabit sedang nyenyak tidur bersama empat lagi rakan mereka di sebuah rumah bujang seorang pemandu van persendirian, Mohd Harmizi Husin, 29.

Sebelum kejadian, enam pemuda terbabit menumpang tidur di rumah bujang Mohd Hamizi untuk menonton perlawanan bola sepak secara langsung dan sudah menjadi rutin bagi kumpulan pemuda terbabit bermalam di rumah itu walaupun tiada perlawanan bola sepak.

Mohd Harmizi berkata, dia dimaklumkan mengenai perkara itu melalui telefon selepas menghantar sekumpulan pekerja am di sebuah kilang berdekatan lalu bergegas pulang ke rumah itu sebelum membawa dua mangsa terbabit ke Klinik Kesihatan Merchang.

Menurutnya, kedua-dua mangsa juga dikatakan menggelupur dan meraung selepas disimbah cecair di percayai asid itu sebelum dikejarkan ke klinik kesihatan tersebut dan dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.



Lanjut dan gambar keadaan mangsa parah, rakan serta respon keluarga mangsa di Sinar Harian Terengganu, 20 Februari (ISNIN).