Thursday, March 22, 2012

Pengerusi Perkat rebah ketika berucap.



MARANG – Majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Guru Kafa Terengganu (Perkat) daerah Marang, di sini, diselubungi cemas seketika apabila Pengerusi Perkat, Tuan Abdul Razak Tuan Yusof, 74 tiba-tiba rebah dan pengsan selepas 10 minit berucap.

Tuan Abdul Razak kemudiannya di hantar ke Klinik Kesihatan Marang untuk pemeriksaan sebelum dikejarkan ke Hospital Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, dan disahkan meninggal dunia pada jam 11.17 pagi dipercayai akibat serangan jantung.

Pegawai Khidmat Masyarakat Dun Bukit Payong, Mohd Rukimi Omar berkata, sebelum kejadian, Abdul Razak sedang berucap tidak sampai 10 minit pada majlis yang turut dihadiri oleh Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Payong, Zaidi Muda.

“Selain itu, turut hadir pada majlis yang diadakan di Dewan Majid Sultanah Nur Zahirah Bandar Marang itu ialah Pegawai Yayasan Islam Terengganu (YIT) daerah Marang, Che Ismail Abdul Rahman dan juga Pengerusi Perkat daerah Marang, Hayati Sulong.

“Abdul Razak tiba-tiba tidak stabil dan rebah dan didapati tidak sedarkan diri. Beliau kemudian di hantar ke Klinik Kesihatan Marang sebelum dikejarkan ke HSNZ Kuala Terengganu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pejabat YIT Marang di Rhu Rendang di sini, hari ini.

Mesyuarat agung yang dihadiri lebih 400 orang ahli Perkat daerah Marang itu bagaimanapun diteruskan dan dirasmikan oleh Pegawai Pembangunan Dun Bukit Payong, Zaidi Muda sebelum berita kematian itu dimaklumkan kepada ahli Perkat lebih kurang jam 11.30 pagi.

Sementara itu, Unit Forensik HSNZ Kuala Terengganu melalui jurucakapnya memaklumkan Allahyarham Tuan Abdul Razak meninggal dunia pada jam 11.17 pagi di HSNZ sebelum jenazahnya dituntut oleh ahli keluarganya tengah hari, hari ini.

No comments: