Saturday, May 5, 2012

Nelayan maut depan Surau Sungai Kerak.



MARANG – Tidurlah dulu awak tu baru sahaja balik ke rumah,” demikian pesanan terakhir Gayah Mamat, 55, kepada suaminya Abdullah Ali, 59, sebelum terlibat dalam kemalangan maut di hadapan Surau Kampung Sungai Kerak di sini, semalam.
Abdullah yang dalam perjalanan dari arah Gong Nangka ke Bandar Marang maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas ke kanan jalan lalu melanggar pengadang jalan sebelum kepalanya terkena longkang konkrit lalu terpelosok ke dalam longkang.
Berikutan itu mangsa yang berasal dari Chendering, Kuala Terengganu dan menetap bersama isteri, Gayah Mamat, 55, dan lima anak mereka di Kampung Jerung Seberang, Wakaf Tapai di sini, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Dalam kejadian jam 3.00 petang itu, Abdullah dalam perjalanan ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Bandar Marang dari Kampung Jerung Seberang untuk keluar menangkap ikan terbunuh selepas motosikal jenis Honda EX5 ditunggangnya terbabas.
Gayah berkata, dia sempat berpesan agar arwah berehat sahaja di rumah kerana sudah bekerja sepanjang malam dan baru sahaja pulang ke rumah mereka pada jam 9.00 pagi pada hari kejadian. 
"Namun arwah tetap mahu keluar ke laut kerana sudah menjadi kelaziman pada waktu itu dia keluar bekerja namun pada hari kejadian dia kelihatan tidak sabar untuk keluar walaupun dalam keletihan.
“Selepas menikmati makan tengah hari bersama kami dan solat, arwah tidak mahu tidur walaupun saya berulang kali menyuruhnya agar melelapkan mata walaupun sekejap tetapi dia memberikan alasan bimbang jika hari hujan dan susah untuk keluar," katanya.
Isteri arwah juga tidak menyangka bahawa sikap arwahnya yang kelihatan tidak sabar untuk keluar keluar dari rumah itu menandakan dia akan pergi meninggalkan mereka untuk selama-lamanya.

Tiada yang mampu menghalang.......Takziah kepada keluarga mangsa. Al Fatihah. Moga rohnya dicucuri rahmat. Amin.

No comments: