Tuesday, June 14, 2011

Pemandu lori balak panggil polis 'bodoh'.

MARANG - Seorang pemandu lori balak didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas mengaku salah mengeluarkan perkataan kesat menghina anggota polis selepas disaman dalam satu sekatan jalan raya pada 31 Mei lalu.

Majistret Nor Azizah Yusof turut memerintahkan hukuman penjara selama dua hari ke atas Abdul Karim K Sydoni, 48, sekiranya gagal untuk membayar denda yang dikenakan.

Tertuduh mengaku salah mengeluarkan perkataan bodoh bagi tujuan menghina dan mengaibkan terhadap dua anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)Marang selepas anggota polis terbabit menahan lori balak dipandunya di jalan Bukit Sawa.

Kesalahan didakwa dilakukannya kira-kira jam 12.00 tengah hari, pada 31 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100 jika sabit kesalahan.



Menurut fakta kes, Abdul Karim ditahan dua anggota polis menaiki kenderaan kelas pelbagai guna (MPV) di Bukit Sawa. Tertuduh ditahan selepas lori balak dipandunya didapati membawa muatan kayu balak secara berbahaya sebelum disaman.

Namun, tertuduh yang tidak berpuas hati dengan notis saman mengeluarkan perkataan bodoh terhadap anggota polis terbabit.

Malah, dalam masa sama turut menghina majistret dengan perkataan sama sebelum beredar dari lokasi kejadian sebelum menyerah diri di IPD Marang pada 7 Jun lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa, Inspektor Mahathir Mohd Yusof.

No comments: