Saturday, May 5, 2012

208 rumah rosak dilanda ribut di Marang.








MARANG – Ribut didakwa luar biasa berbentuk pusaran angin menggemparkan penduduk di lapan buah kampung sekitar daerah Kuala Terengganu dan Marang dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Payong, di sini, semalam.
Dalam kejadian selama 15 minit bermula kira-kira jam 3.15 petang itu, sebanyak 208 buah rumah rosak apabila bumbung rumah penduduk tercabut dan ditimpa ranting serta pokok.
Ribut luar biasa itu melanda Kampung Undang (105), Kampung Mak Kemas (25), Kampung Padang Pak Su Man (23), Kampung Batu 9 (18), Kampung Laut (17), Kampung Surau Panjang (10), Kampung Tok Dir (6) dan Kampung Belukar Jambu (4).
Seorang mangsa dari Kampung Undang, Zakaria Mustafa, 44, berkata, kejadian itu berlaku terlalu pantas, dalam masa beberapa minit hampir semua atap dibahagian depan rumahnya diterbangkan angin sebelum sebatang pokok kelapa tumbang.
Menurutnya yang ketika kejadian berada di luar rumah, dia hanya memikirkan keselamatan keluarganya dan sedaya upaya melindungi isteri, Norhaslina Wati, 36, dan dua anak mereka agar tidak ditimpa kayu dan struktur bumbung rumahnya.
“Tidak dapat dibayangkan perasaan saya ketika itu tambahan pula kesemua ahli keluarga ketika itu berada di dalam rumah. Saya yang ketika itu berada di luar rumah segera berlari ke dalam dan mengumpulkan mereka di ruang tamu rumah.
Angin itu seolah-olah mengangkat bumbung rumah kami. Namun syukurlah kerana kami sekeluarga selamat walaupun rumah kami rosak akibat kejadian itu,” katanya selepas menerima lawatan Menteri Besar ke rumahnya di sini, semalam.
Terdahulu Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said bersama PPD Dun Bukit Payong, Zaidi Muda, yang melawat penduduk di kampung terbabit turut bertanyakan khabar mengenai kejadian ribut menimpa mereka termasuk meluluskan peruntukan bantuan atap untuk mangsa terbabit.
Dalam pada itu, difahamkan salah seorang mangsa di Kampung Undang turut menerima bantuan sebuah rumah baru dari Kerajaan Negeri apabila kediamannya rosak teruk akibat kejadian ribut luar biasa yang melanda kawasan berkenaan.


Tiada yang mampu menghalang....

No comments: