Monday, July 9, 2012

Penjenayah pecah pintu bilik pakai tong gas!!

MARANG – Sekumpulan penjenayah bertindak nekad memecah pintu bilik tidur sehingga terbelah dua dengan menggunakan tong gas memasak selepas berjaya memecah masuk banglo dua tingkat di Jalan Cangkul Abas, Undang di sini, semalam.
Lapan sekeluarga yang mendiami rumah itu juga terpaksa menempuh detik-detik menakutkan apabila empat lelaki bersenjatakan parang dan kayu itu turut mengikat tiga ahli keluarga itu dengan tali termasuk mengacu parang panjang ke leher mangsa.
“Mereka hanya mahu duit dan emas sahaja. Mereka juga mengugut akan mencederakan ahli keluarga termasuk melarikan isteri saya jika permintaan itu tidak ditunaikan,” kata pemilik banglo itu, Asri Ismail, 40, ketika ditemui dirumahnya di sini, semalam.
Asri berkata, sebelum kejadian, dia sedang tidur bersama isterinya, Norhayati Kamaruddin, 32, dan anak bongsu mereka berusia sembilan bulan di tingkat atas manakala bapa dan ibu mertuanya bersama tiga lagi anak mereka pula tidur di tingkat bawah.
Menurutnya, dia terjaga dari tidur apabila terdengar bunyi dentuman sangat kuat menghentam pintu bilik tidurnya sehingga terbelah dua sebelum muncul seorang penjenayah yang terus bertindak meluru ke arahnya sambil menghunuskan parang panjang.
“Dia (penjenayah) yang berpakaian seperti seorang penoreh getah menutup mukanya tetapi saya sempat melihat wajahnya ketika kain yang menutup mukanya itu tertanggal. Wajahnya bukan seperti rakyat tempatan dan saya percaya dia adalah warga asing.
“Gara-gara masih tidak berpuas hati dengan barang diambil, penjenayah itu membawa isteri saya turun ke tingkat bawah selepas mengugut akan melarikannya namun tidak berbuat demikian sebaliknya meninggalkan isteri saya di luar rumah,” katanya.
Bapa empat anak itu berkata, selepas yakin kesemua suspek itu sudah melarikan diri, dia dibantu ahli keluarga lain berjaya membuka ikatan dan bersyukur selepas mendapati tiada anggota keluarga itu yang tercedera dalam kejadian itu.
“Mereka bagaimanapun berjaya melarikan sebuah kamera jenama Canon, external hard disk, lap top, lima unit telefon bimbit, barang kemas isteri dan ibu mertua saya,” katanya yang tidak dapat menganggarkan jumlah kerugian akibat kejadian itu.
Sementara itu, ibu mertuanya, Khatijah Saad, 67, memberitahu, penjenayah itu turut memecahkan pintu bilik tidur tingkat bawah dengan menggunakan tong gas dan mengikat tangan dan kaki suaminya, Kamaruddin Hamzah, 70-an sebelum naik ke tingkat atas.
“Mereka ambil semua barang kemas saya. Keseluruhan ruang bilik tidur kami juga habis digeledah termasuk katil diterbalikkan selepas mereka mengikat tangan dan kaki suami saya sambil salah seorang dari mereka mengacu parang  ke leher suami,” katanya.
Menurutnya, penjenayah terbabit juga sempat menjamu selera dengan memakan buah-buhan di ruang tamu rumah itu sambil mengeledah setiap ruang rumah termasuk di dalam beberapa buah bilik yang tidak digunakan sebelum melarikan diri melalui pintu belakang.
Dalam pada itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu berkata, pihak polis kini sedang mengenal pasti suspek yang terbabit dalam kes yang akan disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan itu.