Thursday, August 16, 2012

SMK Alor Limbat, tender baru buka lepas raya ?

MARANG – Sekolah tergantung pertama di Malaysia. Demikianlah keadaan sebuah bangunan sekolah yang dibina di sebuah kawasan agak terpencil di Kampung Alor Limbat di sini, yang mula menjadi buah mulut penduduk di sekitar kampung berkenaan.
Isu pembinaan sekolah itu juga dikatakan mendapat bantahan sejak awal pembinaannya lagi kerana ia dibina di kawasan yang tidak sesuai dan berair. Kini kebimbangan mereka terjawab apabila berlakunya mendapan tanah sedalam lebih kurang 0.3 meter.
Malah, mereka juga mendakwa bahawa bangunan yang dikatakan berharga jutaan ringgit itu bakal runtuh bila-bila masa dan menerima nasib sama dengan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Gong Badak yang bumbungnya runtuh pada tiga tahun lalu.
Setiausaha Pas Negeri Terengganu, Yahaya Ali yang mewakili penduduk berkata, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Limbat yang sedang dalam pembinaan itu sepatutnya dibuka dua tahun lalu namun sehingga kini masih belum dapat digunakan.
Ini kerana, katanya bangunan tersebut disahkan tidak selamat untuk digunakan oleh pihak Forensik Jabatan Kerja Raya (JKR) akibat berlakunya mendapan tanah di bawah bangunan.
“Isunya dari pemilihan tapak lagi sebab asal kawasan berkenaan adalah kawasan hutan berair (tasek) sedangkan pilihan untuk pengambilan balik tanah lebih sesuai boleh dilakukan di tempat lebih baik,” katanya kepada wartawan cabuk di sini, semalam.
Yahaya berkata, pada peringkat awal perancangan pembinaannya sebahagian dari kawasan pembinaan sekolah tersebut juga bertindih dengan kawasan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Penjara Beruk pada zaman kerajaan Pas iaitu pada 1999-2004.
Sehubungan itu, katanya, tapak kawasan projek itu terpaksa ditambun dengan melibatkan soal ‘supervision’ yang lemah hingga tanah sekeliling bangunan sekolah berkenaan mendap lebih kurang 0.3 meter sekaligus menyebabkan bangunan sekolah menjadi tergantung.
Persoalannya, kata Yahaya yang merupakan Yang Dipertua Pas Kawasan Marang, apakah pemilihan tapak projek sekolah itu kerana mengambil kira kepentingan projek itu sendiri atau mempunyai agenda tersembunyi seperti mengeluarkan kayu balak dari kawasan itu.
“Inilah nasib rakyat Terengganu, kerja (rancangan) pandai buat projek tetapi gagal untuk membina projek yang benar-benar memberi manfaat . Umpamanya, pembinaan stadium di Kompleks Sukan Gong Badak, projek yang runtuh dan bermasalah,” katanya.
Difahamkan, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu 13 Ogos lalu kerajaan mengesahkan dalam jawapan bertulis kos pengambilan tanah sekolah itu berharga RM1,608,177 dan pengoperasian tidak dapat ditentukan kerana berlaku mendapan tanah.
Sementara itu, Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) pula mencadangkan supaya kontraktor asal diberikan tanggungjawab untuk membaiki semula sekolah berkenaan akibat mendapan itu
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, Unit Forensik Jabatan Kerja Raya (JKR) menganggarkan kos bagi membaiki bangunan sekolah tersebut adalah berjumlah RM7.8 juta.
Menurutnya, bangunan tersebut telah hampir siap 92 peratus semasa pihak forensik JKR membuat laporan berlaku mendapan yang serius sehingga menyebabkan sekolah tersebut  tidak boleh beroperasi sebagaimana sepatutnya.
“Pihak kementerian memberi cadangan supaya, kerja-kerja pembaikan bangunan sekolah diserahkan kepada pihak kontraktor sebelum ini, namun sekiranya mereka (kontraktor) menolak kerana mungkin tidak mempunyai kepakaran dan sebagainya, tender akan dibuka selepas raya.
“Proses ini mengambil masa yang agak lama kerana perlu meneliti pelbagai aspek termasuk kos pembaikian dan sebagainya,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Nak buat guane......dah nasib.




Dua sepupu Sehidup Semati.

MARANG - Sehidup semati. Demikianlah kisah persahabatan dua sepupu yang berakhir dengan tragedi menyayatkan hati apabila kedua mereka meninggal dunia sejurus disambar petir, serentak di Kampung Kubu di sini, semalam.

Sebahagian badan kedua-dua kanak-kanak terbabit, Tuan Ahmad Salihin Tan Ibrahim, 8, dan sepupunya, Tuan Mohd Azhar Tuan Sulaiman, 9, hangus dengan kesan terbakar termasuk mata kedua-dua mangsa juga menjadi hitam.

Kejadian di Felda Chador, Kampung Kubu kira-kira jam 2.30 petang itu menyebabkan dua sahabat baik itu meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Pengkalan Berangan di sini, oleh bapa salah seorang mangsa terbabit.

Ibu kepada Tuan Ahmad Salihin, Norhayati Mohd Nor, 37, ketika ditemui berkata, anaknya bersama anak saudaranya, Tuan Mohd Azhar, 9, mengikut suaminya, Tan Ibrahim Tan Senik, 51, mencari kerbau dan lembu di kawasan felda berkenaan.

Menurut Norhayati, anaknya baru sahaja pulang dari sekolah terus mengikut suaminya yang mengambil upah mencari lembu dan kerbau di kawasan felda itu untuk dibawa pulang dan diserahkan kepada seorang pemilik yang mengupahnya.

“Masa itu hujan kebat, kedua mereka berlindung di bawah pokok sawit manakala suami saya dan rakannya berada tidak jauh dari mereka. Sejurus dentuman guruh dan kilat menyambar mengenai mereka menyebabkan mereka melambung dan terus senyap.

“Suami saya yang berada tidak jauh dari mereka tidak mampu buat apa-apa kecuali bergegas mendapatkan mereka. Selepas mendapati kedua mereka sudah tidak lagi bergerak dia (suami) kemudiannya membawa mereka keluar dari situ,” katanya.

Menurutnya, suaminya dengan dibantu seorang rakannya yang juga merupakan pemilik ternakan yang diburu di kawasan itu kemudiannya membawa dua kanak-kanak malang terbabit keluar dari kawasan itu menggunakan dua buah motosikal.

Ketika ditanya adakah anaknya berkelakuan pelik sebelum kejadian itu, kata Norhayati, anaknya tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik sebaliknya teruja untuk menyambut ketibaan Syawal kerana kelengkapan baju raya telah dibeli sepenuhnya.

“Apa yang menyayatkan hati saya adalah mereka berdua baru sahaja membeli selipar baru yang sama, saiz selipar itu juga sama, warnapun sama tetapi akhirnya mereka tidak dapat mengayakan kasut itu pada hari mulia tidak lama lagi,” katanya.

Dalam pada itu, ibu Tuan Mohd Azhar, 9, Tengku Rosmawati Raja Ibrahim, 38, yang ditemui, bagaimanapun memaklumkan, anaknya  kelihatan berbeza berbanding hari biasa dan bersikap manja sejak seminggu sebelum tragedi itu berlaku.

“Sedar sahaja dari tidur pada setiap pagi sahaja, dia pasti ada disebelah, boleh dikatakan jika dia ada dirumah, dia selalu ingin berada dekat dengan saya.  Sepanjang bulan Ramadan ini juga, dia selalu ikut saya ke surau untuk solat Terawih.   

“Sebelum kejadian itu, saya ada terdengar dia (Tuan Mohd Azhar) ingin turut serta mencari kerbau di padang dalam kawasan felda itu, tetapi memandangkan dia ke sana bersama bapa saudaranya, saya tidak jadi bersuara dan menghalang,” katanya.
 
Katanya, mereka berdua memang rapat sejak kecil, jika tidak anaknya ke rumah   sepupunya itu sepupunya akan datang ke rumah kami dan keakraban mereka berdua mungkin juga disebabkan usia mereka yang hampir sebaya.  

Tengku Rosmawati berkata, pakaian raya untuk anak-anak telah siap kesemuanya, hanya tunggu masa untuk disarungkan sahaja lagi, selain selipar yang sama, baju melayu berwarna ungu juga tidak sempat dipakai oleh arwah bagi menyambut Syawal kali ini.

Bagaimanapun bagi kedua-dua ibu malang terbabit reda dengan ketentuan ilahi dan takdir yang menimpa anak-anak kesayangan mereka. Bagi mereka mungkin ada hikmah di sebalik kejadian yang menimpa walaupun sungguh berat hati untuk menerima kenyataan.

Sementara itu, Ketua Polis Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya, berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk dikebumikan.