Monday, October 17, 2011

Pengasas komando gesa mansuh undi pos.


MARANG - Salah seorang bekas anggota tentera yang menjadi pengasas pasukan komando Malaysia, menggesa kerajaan memansuhkan undi pos dan memberikan peluang kepada anggota tentera mengundi seperti pengundi biasa.

Tuan Mahmod Tuan Baharu, 73, yang memulakan kariernya dalam anggota tentera dengan memasuki tentera udara British pada tahun 1955 sehingga tahun 1960, berkata, undi pos sudah tidak mustahak kerana negara bukan lagi darurat.

“Saya rasa undi pos ini tidak mustahak dah, Malaysia bukan dalam darurat, kita dalam aman, kita naik kapalterbang selama dua jam, kita boleh sampai ke Sarawak dah.

“Kalau kita kena mengundi di Sarawak, kita naik kapalterbang je, apa salahnya, buang sahaja undi pos itu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumah sewanya di Kampung Sentul Patah, di sini, malam tadi.

Beliau yang lebih dikenali sebagai 'Ayah Ku' juga merupakan ahli Kelab Veteran Komando Negeri Terengganu turut mengesahkan dakwaan bahawa bukan anggota tentera yang mengundi bagi pihak diri mereka ketika berlaku pilihanraya.

“Bukan anggota tentera yang mengundi, saya dalam tentera Malaysia tidak pernah mengundi, tak pernah mengundi, nak kata pangkah macamana, borang apa-apa pun saya tak tahu.

“Orang lain yang pangkah kita tak tahu, kita 'merendek' dalam hutan nak pangkah macamana ?,” soalnya yang juga pernah ditugaskan sebagai tenaga kerahan dalam Unit Keselamatan Kawasan (Areal Security Unit) pada tahun 1960 hingga tahun 1962.

Beliau yang kemudiannya diserapkan ke dalam anggota tentera Malaysia pada tahun 1963sehinggalah bersara pada tahun 1976 menegaskan bahawa undi pos tidak lagi boleh dianggap mewakili undi kepada anggota tentera dalam menghadapi pilihan raya.

Monday, October 3, 2011

Tak sempat balik Indon.


MARANG - Seorang pejalan kaki yang dalam perjalanan pulang ke rumah terbunuh apabila dirempuh sebuah kenderaan semasa cuba melintas jalan di kilometer 13 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Kampung Rusila di sini, malam semalam.

Misniati, 38, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala, patah kedua belah kaki manakala pemandu berumur 46 tahun, memandu Proton Satria dari arah Dungun ke Kuala Terengganu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Suami mangsa, Abdul Rahman Abdul Ghani, 52, berkata, isterinya ke kedai di seberang jalan untuk membeli nasi bungkus namun selepas membeli juadah makan malam itu mangsa dilanggar kereta sewaktu melintas untuk pulang ke rumah.

Lebih menyedihkan kata pekerja am di sebuah pusat penginapan itu, sebelum kejadian isterinya sedang membuat persiapan dan mengemas pakaian kerana ingin pulang ke kampung halamannya di Indonesia pada keesokan harinya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Supritendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 7.30 malam.

Saturday, October 1, 2011

Warga emas ditemui mati tergantung.

MARANG – Seorang warga emas berumur 70 tahun ditemui mati tergantung dalam satu kejadian di Kampung Bukit Kulim, Pengkalan Berangan di sini, malam tadi.
Beberapa jam sebelum mengambil keputusan menggantung diri, mangsa, Nordin A.Rahman, 70, dilihat masih berada di ruang tamu rumahnya sekitar 7.00 malam oleh menantunya, Nor Sarimah Ibrahim, 34, yang tinggal berdekatan dengan rumah mangsa.
Bagaimanapun, sekembalinya semula untuk bermalam di rumah itu Nor Sarimah mendapati bilik tidur ayah mereka terkunci lalu suaminya, Mohamad Nordin, 43, bertindak memanjat dinding bilik itu sebelum mendapati mangsa telah mengantung diri.



Lanjut hanya di Sinar Harian Terengganu AHAD 2 SEPTEMBER !!!