Thursday, August 16, 2012

SMK Alor Limbat, tender baru buka lepas raya ?

MARANG – Sekolah tergantung pertama di Malaysia. Demikianlah keadaan sebuah bangunan sekolah yang dibina di sebuah kawasan agak terpencil di Kampung Alor Limbat di sini, yang mula menjadi buah mulut penduduk di sekitar kampung berkenaan.
Isu pembinaan sekolah itu juga dikatakan mendapat bantahan sejak awal pembinaannya lagi kerana ia dibina di kawasan yang tidak sesuai dan berair. Kini kebimbangan mereka terjawab apabila berlakunya mendapan tanah sedalam lebih kurang 0.3 meter.
Malah, mereka juga mendakwa bahawa bangunan yang dikatakan berharga jutaan ringgit itu bakal runtuh bila-bila masa dan menerima nasib sama dengan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Gong Badak yang bumbungnya runtuh pada tiga tahun lalu.
Setiausaha Pas Negeri Terengganu, Yahaya Ali yang mewakili penduduk berkata, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Limbat yang sedang dalam pembinaan itu sepatutnya dibuka dua tahun lalu namun sehingga kini masih belum dapat digunakan.
Ini kerana, katanya bangunan tersebut disahkan tidak selamat untuk digunakan oleh pihak Forensik Jabatan Kerja Raya (JKR) akibat berlakunya mendapan tanah di bawah bangunan.
“Isunya dari pemilihan tapak lagi sebab asal kawasan berkenaan adalah kawasan hutan berair (tasek) sedangkan pilihan untuk pengambilan balik tanah lebih sesuai boleh dilakukan di tempat lebih baik,” katanya kepada wartawan cabuk di sini, semalam.
Yahaya berkata, pada peringkat awal perancangan pembinaannya sebahagian dari kawasan pembinaan sekolah tersebut juga bertindih dengan kawasan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Penjara Beruk pada zaman kerajaan Pas iaitu pada 1999-2004.
Sehubungan itu, katanya, tapak kawasan projek itu terpaksa ditambun dengan melibatkan soal ‘supervision’ yang lemah hingga tanah sekeliling bangunan sekolah berkenaan mendap lebih kurang 0.3 meter sekaligus menyebabkan bangunan sekolah menjadi tergantung.
Persoalannya, kata Yahaya yang merupakan Yang Dipertua Pas Kawasan Marang, apakah pemilihan tapak projek sekolah itu kerana mengambil kira kepentingan projek itu sendiri atau mempunyai agenda tersembunyi seperti mengeluarkan kayu balak dari kawasan itu.
“Inilah nasib rakyat Terengganu, kerja (rancangan) pandai buat projek tetapi gagal untuk membina projek yang benar-benar memberi manfaat . Umpamanya, pembinaan stadium di Kompleks Sukan Gong Badak, projek yang runtuh dan bermasalah,” katanya.
Difahamkan, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu 13 Ogos lalu kerajaan mengesahkan dalam jawapan bertulis kos pengambilan tanah sekolah itu berharga RM1,608,177 dan pengoperasian tidak dapat ditentukan kerana berlaku mendapan tanah.
Sementara itu, Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) pula mencadangkan supaya kontraktor asal diberikan tanggungjawab untuk membaiki semula sekolah berkenaan akibat mendapan itu
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, Unit Forensik Jabatan Kerja Raya (JKR) menganggarkan kos bagi membaiki bangunan sekolah tersebut adalah berjumlah RM7.8 juta.
Menurutnya, bangunan tersebut telah hampir siap 92 peratus semasa pihak forensik JKR membuat laporan berlaku mendapan yang serius sehingga menyebabkan sekolah tersebut  tidak boleh beroperasi sebagaimana sepatutnya.
“Pihak kementerian memberi cadangan supaya, kerja-kerja pembaikan bangunan sekolah diserahkan kepada pihak kontraktor sebelum ini, namun sekiranya mereka (kontraktor) menolak kerana mungkin tidak mempunyai kepakaran dan sebagainya, tender akan dibuka selepas raya.
“Proses ini mengambil masa yang agak lama kerana perlu meneliti pelbagai aspek termasuk kos pembaikian dan sebagainya,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Nak buat guane......dah nasib.




1 comment:

Kekuda said...

alang-alang dah terapong, gali balik tapaknya, buat tiang, masukkan air. biar betul2 nampak terapong dalam tasik. comel sikit...