Showing posts with label kemalangan. Show all posts
Showing posts with label kemalangan. Show all posts

Tuesday, May 31, 2011

Padah terlelap.



Guru sekolah rendah mangsa nahas terbaru...cuti persekolahan.

JAMBU BONGKOK (31 Mei) - Hasrat seorang guru membawa anak dan rakan anaknya pulang ke kampung sempena cuti semester nyaris tidak kesampaian apabila terlibat dalam kemalangan di Kilometer 54 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di sini.

Dalam kejadian pukul 4.50 petang semalam, kereta jenis Proton Iswara dipandu Teh Chee Seng, 50, terbabas sejauh 20 meter ke kanan jalan dan merempuh papan tanda lalu terbabas ke dalam semak gara-gara terlelap semasa memandu.

Bagaimanapun, mangsa bersama anaknya,Teh Weng Kern, 21 dan rakan anaknya, Lee Econ, 23, bernasib baik kerana hanya mengalami kecederaan ringan meskipun keadaan kenderaan dinaiki rosak di bahagian enjin dan cermin hadapan.

Chee Seng yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Segamat Baru berkata, mereka dalam perjalanan dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Gong Badak menuju ke Segamat, Johor untuk membawa anak dan rakan anaknya pulang bercuti.

“Akibat terlelap, kereta ini terbabas ke tepi jalan kemudian merempuh tiang papan tanda iklan sebelum terbabas ke dalam semak. Kami semua terhumban ke arah hadapan cermin kereta tetapi mujurlah tidak cedera,” katanya kepada wartawan cabuk.

Chee Seng berkata, rempuhan kuat itu juga menyebabkan papan tanda iklan di situ roboh sehingga menarik perhatian pemandu lain yang melalui laluan utama Kuala Terengganu ke Kuantan itu termasuk penduduk berdekatan.

Sementara itu, anaknya, Weng Kern berkata, dia dan rakannya sudah tidak sabar untuk berjumpa ahli keluarga selepas dibenarkan pulang menyambut cuti semester pertama pengajian namun tidak menyangka kejadian menimpa mereka.

Ketua Polis daerah, Deputi Supritendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan meminta pengguna jalan raya agar berhati-hati memandu berikutan pertambahan kenderaan di jalan raya sempena cuti persekolahan.

Tiada apa yang lebih baik dari saling berpesan.......dan kawasan sering berlaku kemalangan apabila perayaan dan cuti persekolahan di Negeri Terengganu (sumber JPJ negeri) 2010.

Di Kuala Terengganu jalan yang dikenal pasti berisiko kemalangan ialah di Km15 - Km24Jalan Kuala Terengganu - Kota Baharu, Km4 - Km12 Jalan Kuala Terengganu - Kuala Berang, Km15 - Km35 Jalan Kuala Terengganu Kampung Raja dan Km6 - Km10 Jalan Kuala Terengganu-Seberang Takir.

Di Besut : Km 98 - Km114 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Km 6 – Km 10 Jalan Kampung Raja - Alor Lintang, Km 1 – Km 20 Jalan Jertih - Kampung Raja, Km 1 - Km35 Jalan Jertih - Keruak dan Km 1 - Km28 Jalan Jertih - Bukit Puteri.

Di Marang : Km 18 – Km 60 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dan Km 15 - Km28 Jalan Kuala Terengganu - Kuala Berang.

Di Dungun : Km 61 - 69, Km 74 – Km 89 dan Km 91 – Km 102 Jalan Kuala Terengganu -Kuantan dan Km 58 – Km 75, Km 77 – Km 89 dan Km 95 - Km 108 Jalan Jerangau-Jabor.

Di Kemaman : Km 110 - 115, Km 120 - 138, Km 140 - 141 dan Km 149 - 158 Jalan Kuala Terengganu - Kuantan, Km 122 – Km 148 dan Km 155 – Km 179 Jalan Jerangau-Jabor dan Km 14 – Km 16 Jalan Cukai - Air Putih.

Di Setiu : Km 46 – Km 49, Km 51 – Km 53, Km 65 – Km 68 dan Km 82 – Km 84 Jalan Kuala Terengganu - Kota Baharu, Km 41 – Km 44, Km 65 – Km 68 dan Km 73 – Km 75 Jalan Kuala Terengganu - Kampung Raja dan Km 32 – Km 35 Jalan Sungai Tong-Kuala Berang.

.............pandu cermat pun boleh jadi HERO.....

Thursday, May 26, 2011

Minggu terakhir...


MARANG (19 Mei) – Sudah menjadi rutin setiap minggu, seorang penyelia teknikal sebuah syarikat perkapalan dari Kemaman, Tengku Azman Tengku Saibon, 38, akan pulang menjenguk isteri dan tiga anaknya di Pengkalan Chepa, Kota Bharu dengan memandu kereta seorang diri.

Bagaimanapun, suratan takdir sudah menentukan minggu ini adalah minggu terakhir mangsa yang beralamat dari Kampung Putat Pendek, Pasir Mas dapat berbuat demikian selepas pemuda itu maut dalam kemalangan malam, semalam.

Kemalangan yang berlaku lebih kurang jam 9.00 malam di Kilometer 25.5 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Alor Tuman di sini, ketika Tengku Azman dalam perjalanan pulang ke rumah isterinya di Pengkalan Chepa selepas pulang dari kerja.

Difahamkan, nahas itu dipercayai berlaku apabila kereta jenis Mercedes yang dipandu Tengku Azman gagal dikawal sewaktu mengambil selekoh dan terbabas ke kiri jalan lalu merempuh penghadang jalan ketika dalam perjalanan menghala ke Kuala Terengganu.

Sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota dari dari Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Marang diketuai Penolong Kanan Penguasaha Bomba, Mohd Zamri Awang Long dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa tersepit.

Mohd Zamri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu lebih kurang jam 8.30 malam dan tiba di lokasi kemalangan tersebut setengah jam kemudian sebelum berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit kira-kira jam 10.00 malam.

“Kita terpaksa menggunakan pemotong 'hydraulic' untuk mengeluarkan mangsa berikutan keadaan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu selepas kereta yang dipandunya merempuh besi pengadang jalan,” katanya di lokasi kejadian.

Dalam pada itu, Pemangku Ketua Polis daerah, Asisten Superintendan Mohamad Zohan Seman ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kemalangan di Kilometer 25.5 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan tersebut.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan dalaman yang teruk di dada dan siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku tanpa melibatkan pertembungan dengan kenderaan lain.