Thursday, May 26, 2011

Minggu terakhir...


MARANG (19 Mei) – Sudah menjadi rutin setiap minggu, seorang penyelia teknikal sebuah syarikat perkapalan dari Kemaman, Tengku Azman Tengku Saibon, 38, akan pulang menjenguk isteri dan tiga anaknya di Pengkalan Chepa, Kota Bharu dengan memandu kereta seorang diri.

Bagaimanapun, suratan takdir sudah menentukan minggu ini adalah minggu terakhir mangsa yang beralamat dari Kampung Putat Pendek, Pasir Mas dapat berbuat demikian selepas pemuda itu maut dalam kemalangan malam, semalam.

Kemalangan yang berlaku lebih kurang jam 9.00 malam di Kilometer 25.5 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Alor Tuman di sini, ketika Tengku Azman dalam perjalanan pulang ke rumah isterinya di Pengkalan Chepa selepas pulang dari kerja.

Difahamkan, nahas itu dipercayai berlaku apabila kereta jenis Mercedes yang dipandu Tengku Azman gagal dikawal sewaktu mengambil selekoh dan terbabas ke kiri jalan lalu merempuh penghadang jalan ketika dalam perjalanan menghala ke Kuala Terengganu.

Sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota dari dari Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Marang diketuai Penolong Kanan Penguasaha Bomba, Mohd Zamri Awang Long dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa tersepit.

Mohd Zamri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu lebih kurang jam 8.30 malam dan tiba di lokasi kemalangan tersebut setengah jam kemudian sebelum berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit kira-kira jam 10.00 malam.

“Kita terpaksa menggunakan pemotong 'hydraulic' untuk mengeluarkan mangsa berikutan keadaan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu selepas kereta yang dipandunya merempuh besi pengadang jalan,” katanya di lokasi kejadian.

Dalam pada itu, Pemangku Ketua Polis daerah, Asisten Superintendan Mohamad Zohan Seman ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kemalangan di Kilometer 25.5 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan tersebut.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan dalaman yang teruk di dada dan siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku tanpa melibatkan pertembungan dengan kenderaan lain.

No comments: