Thursday, August 18, 2011

Habis raya kita kira...


KUALA TERENGGANU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu akan meningkatkan rondaan di kawasan berisiko kemalangan maut dan operasi penyamaran di seluruh negeri sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini.

Pengarah JPJ Terengganu Abdul Rahman Emang Anyie berkata, 25 pasukan rondaan akan bertugas di laluan utama di negeri ini dan seramai 138 anggota dikerah bertugas dengan mengadakan penguatkuasaan 24 jam bermula 14 Ogos hingga 14 Sept.

Penguatkuasaan juga akan ditingkatkan di kawasan kemalangan maut iaitu Kilometer(Km)58, Jalan Jerangau-Jabor, Km 61, Jalan Marang-Dungun dan Km 54, Jalan Sungai Tong-Permaisuri," katanya.

"Kesemua jalan tersebut mencatat jumlah kemalangan maut yang tinggi saban tahun, berikutan itu, pengguna jalan raya diharap memandu dengan berhemah, banyak bersabar dan berhati-hati," katanya melancarkan Ops Musim Perayaan Aidilfitri 2011 hari ini.

Selain itu, katanya JPJ juga menempatkan anggota penguatkuasa di terminal bas utama di Terengganu untuk pemeriksaan rutin bersama-sama pihak polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

"Penguatkuasaan secara penyamaran sebagai penumpang bas juga akan diteruskan, selain mengambil tindakan ke atas ulat tiket di terminal bas dan juga lapangan terbang," katanya.

Bilik Kawalan JPJ Terengganu yang boleh dihubungi menerusi talian 09-6222023 akan beroperasi 24 jam kecuali pada Hari Raya pertama dan kedua.

Wednesday, August 17, 2011

20 jenis barangan terkawal ?


Kerajaan menetapkan harga maksimum borong dan runcit bagi 20 jenis barangan harga terkawal berkuat kuasa 23 Ogos hingga 6 September ini di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2011.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia termasuk dua barangan baru iaitu bawang besar import dan bawang putih import yang mendapat permintaan tinggi menjelang musim perayaan.

"Tahun lepas hanya 18 jenis barangan yang kita kawal harganya, tapi tahun ini semua jenis bawang kita kawal harga kerana sebelum ini barangan ini menghadapi kenaikan harga.

"Kita takut peniaga akan menaikkan harga bawang kerana permintaan tinggi musim perayaan, jadi kita tetapkan harga maksimum bawang bagi bawang besar import adalah RM3 sekilogram dan bawang putih import (China) RM6 setiap kilo,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Beberapa barangan runcit lain yang sebelum ini telah disenaraikan di bawah skim itu seperti ayam hidup, ayam standard, ayam super dan daging lembu tempatan masih ditetapkan harga maksimum yang sama seperti tahun lepas.

Thursday, August 11, 2011

RM50 juta dana raya di Terengganu.




KEMAMAN - Kerajaan negeri Terengganu memperuntukkan sebanyak RM50 juta pada tahun ini sebagai bantuan dana raya kepada golongan miskin di negeri ini.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata, ia merupakan tambahan sebanyak 10 peratus daripada tahun lepas berikutan peningkatan jumlah keluarga yang layak menerima bantuan itu.

"Pada tahun ini, seramai 160,000 keluarga layak menerima bantuan berbanding 150,000 pada tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian dana raya bagi Dewan Undangan Negeri kawasan Kijal di Dewan Ketengah, Bandar Seri Bandi hari ini.

Beliau berkata, pengagihan itu telahpun mula dilakukan secara berperingkat pada awal minggu ini dengan jumlah penerima antara 4,000 dan 5,000 orang di setiap kawasan DUN.

"Dana raya diagihkan setiap tahun kepada golongan miskin seperti ibu tunggal, orang kurang upaya dan warga emas serta mereka yang berpendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan, membabitkan pemberian antara RM200 dan RM400 satu keluarga," katanya.

Sementara itu, Ahmad menafikan dakwaan pembangkang kononnya terdapat 5,000 rakyat asing kebanyakannya warga Myanmar yang disenaraikan sebagai pengundi di beberapa kawasan di negeri ini terutama di kawasan DUN Kijal dan Air Putih.

"Mereka itu dah puluhan tahun menetap di sini dan ada di antara mereka telah menetap di sini sebelum saya menjadi wakil rakyat lagi.

"Mengapa baru sekarang nak bangkitkan isu ini, kenapa tak bangkit isu ini semasa mereka menang pilihan raya umum tahun 1999, semasa mereka berjaya merampas negeri ini," katanya.

Beliau menyifatkan pembangkang kini semakin tersepit akibat pendirian goyah tentang dasar perjuangan parti menyebabkan mereka membangkitkan pelbagai isu semata-mata untuk mendapat sokongan daripada rakyat.




Monday, August 8, 2011

Dua sahabat didenda miliki senapang angin.

KUALA TERENGGANU - Gara-gara memiliki senapang angin buatan sendiri tanpa lesen untuk menembak lembu dengan bahan pelali, dua sahabat masing-masing didenda RM2,000 dan RM3,000.

Ayub Yusoff, 26, dari Kampung Tok Jiring dan Mohd Azrul Mohd Zukeri, 30, dari Kampung Durian Burung, didapati bersalah memiliki senapang itu di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Lima Amas, Jalan Kelantan, 2 Ogos lalu.

Difahamkan senapang itu digunakan untuk menembak lembu dengan bahan pelali dengan tujuan melemahkan haiwan supaya ia mudah untuk disembelih.

Memiliki senapang jenis itu tanpa lesen merupakan kesalahan di bawah Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan pesalah boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.

Kedua-dua tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Azizah Mohd Yusof.

Peguam bela tertuduh Mohd Hayyatuddin Mohamad dalam rayuannya berkata, tertuduh pertama yang bekerja sebagai penjual daging dengan dibantu tertuduh kedua menggunakan senapang angin untuk menembak lembu dengan bahan pelali dan bukan untuk aktiviti lain.

Sehubungan itu beliau meminta mahkamah agar mengenakan hukuman ringan dam tidak mengenakan hukuman penjara terhadap tertuduh memandangkan bulan Ramadan sekarang dan Aidilfitri yang menjelang tiba.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Insp V Ravi

Dua peniaga ditahan jual mercun dan bunga api.



MARANG - Polis berjaya menahan dua lelaki bersama sejumlah mercun dan bunga api dalam operasi kira-kira jam 9.00 malam di Bukit Payong di sini, malam kelmarin, kedua-dua peniaga yang berusia 22 dan 42 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan, Ahmad Mazlan Yahaya berkata, dalam serbuan pertama pihaknya menemui pelbagai jenis mercun dan bunga api selepas memeriksa sebuah rumah di Batu Sembilan, Bukit Payong di sini.

Katanya, mercun dan bunga api itu dipercayai cuba dijual sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri ini dan nilai rampasan di rumah pertama itu adalah sebanyak RM100.

“Berikutan penemuan mercun dan bunga api di rumah itu, seorang peniaga berusia 22 tahun ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Mazlan, susulan penahanan suspek itu pihaknya meneruskan pemeriksaan ke sebuah lagi rumah peniaga berusia 42 tahun di Batu 10 tiga jam kemudian sebelum menemui pelbagai jenis mercun dan bunga api yang dipercayai untuk dijual.

“Lelaki itu turut ditahan manakala semua bunga api bernilai sebanyak RM300 yang ditemui di rumah itu juga dirampas,” katanya.

Ahmad Mazlan berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau keduanya sekali.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran keras kepada orang ramai dan peniaga supaya tidak menjual barang larangan tersebut kerana ia bukan sahaja menyalahi undang-undang malah boleh mendatangkan kecelakaan.

“Orang ramai diminta tidak membeli atau bermain mercun dan sekiranya mempunyai maklumat berhubung penjualannya di daerah ini, segera hubungi balai polis berdekatan dengan segera untuk tindakan lanjut,” katanya.