Thursday, August 11, 2011

RM50 juta dana raya di Terengganu.




KEMAMAN - Kerajaan negeri Terengganu memperuntukkan sebanyak RM50 juta pada tahun ini sebagai bantuan dana raya kepada golongan miskin di negeri ini.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata, ia merupakan tambahan sebanyak 10 peratus daripada tahun lepas berikutan peningkatan jumlah keluarga yang layak menerima bantuan itu.

"Pada tahun ini, seramai 160,000 keluarga layak menerima bantuan berbanding 150,000 pada tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian dana raya bagi Dewan Undangan Negeri kawasan Kijal di Dewan Ketengah, Bandar Seri Bandi hari ini.

Beliau berkata, pengagihan itu telahpun mula dilakukan secara berperingkat pada awal minggu ini dengan jumlah penerima antara 4,000 dan 5,000 orang di setiap kawasan DUN.

"Dana raya diagihkan setiap tahun kepada golongan miskin seperti ibu tunggal, orang kurang upaya dan warga emas serta mereka yang berpendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan, membabitkan pemberian antara RM200 dan RM400 satu keluarga," katanya.

Sementara itu, Ahmad menafikan dakwaan pembangkang kononnya terdapat 5,000 rakyat asing kebanyakannya warga Myanmar yang disenaraikan sebagai pengundi di beberapa kawasan di negeri ini terutama di kawasan DUN Kijal dan Air Putih.

"Mereka itu dah puluhan tahun menetap di sini dan ada di antara mereka telah menetap di sini sebelum saya menjadi wakil rakyat lagi.

"Mengapa baru sekarang nak bangkitkan isu ini, kenapa tak bangkit isu ini semasa mereka menang pilihan raya umum tahun 1999, semasa mereka berjaya merampas negeri ini," katanya.

Beliau menyifatkan pembangkang kini semakin tersepit akibat pendirian goyah tentang dasar perjuangan parti menyebabkan mereka membangkitkan pelbagai isu semata-mata untuk mendapat sokongan daripada rakyat.




No comments: