Monday, August 8, 2011

Dua peniaga ditahan jual mercun dan bunga api.



MARANG - Polis berjaya menahan dua lelaki bersama sejumlah mercun dan bunga api dalam operasi kira-kira jam 9.00 malam di Bukit Payong di sini, malam kelmarin, kedua-dua peniaga yang berusia 22 dan 42 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan, Ahmad Mazlan Yahaya berkata, dalam serbuan pertama pihaknya menemui pelbagai jenis mercun dan bunga api selepas memeriksa sebuah rumah di Batu Sembilan, Bukit Payong di sini.

Katanya, mercun dan bunga api itu dipercayai cuba dijual sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri ini dan nilai rampasan di rumah pertama itu adalah sebanyak RM100.

“Berikutan penemuan mercun dan bunga api di rumah itu, seorang peniaga berusia 22 tahun ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Mazlan, susulan penahanan suspek itu pihaknya meneruskan pemeriksaan ke sebuah lagi rumah peniaga berusia 42 tahun di Batu 10 tiga jam kemudian sebelum menemui pelbagai jenis mercun dan bunga api yang dipercayai untuk dijual.

“Lelaki itu turut ditahan manakala semua bunga api bernilai sebanyak RM300 yang ditemui di rumah itu juga dirampas,” katanya.

Ahmad Mazlan berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau keduanya sekali.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran keras kepada orang ramai dan peniaga supaya tidak menjual barang larangan tersebut kerana ia bukan sahaja menyalahi undang-undang malah boleh mendatangkan kecelakaan.

“Orang ramai diminta tidak membeli atau bermain mercun dan sekiranya mempunyai maklumat berhubung penjualannya di daerah ini, segera hubungi balai polis berdekatan dengan segera untuk tindakan lanjut,” katanya.

No comments: