Friday, June 1, 2012

Kemalangan di Kelulut Marang.





Thursday, May 31, 2012

Kanak-kanak 'istimewa'.

MARANG – Seorang kanak-kanak istimewa di sini, membuktikan bahawa kecacatan akibat penyakit Arthrogyroposis Multiplex Congenita With Bilateral Ctev sejak dilahirkan bukan penghalang untuk menjalani kehidupan normal seperti rakan seusianya.
Nur Fatihah Abdul Karim, 11, dari Gong Kiat dekat sini, dahulunya sering menangis kerana tidak mampu untuk melakukan sebarang pergerakan apatah lagi untuk menulis akibat penyakit itu.
Namun, selepas lima tahun berusaha memajukan diri dan belajar di kelas pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Payong dia kini mampu menulis dengan baik menggunakan jari tangan dan menaip papan kekunci e-book menggunakan jari kakinya.
“Terima kasih kepada semua gurunya di sekolah kerana sentiasa memberikan tunjuk ajar dan kami juga bangga kerana dia (Nur Fatihah) juga rajin mengulangkaji pelajarannya di rumah,” kata ibunya, Mahani Mat Leha, 33, ketika ditemui di rumahnya di sini.
Sementara itu, menurut suami Mahani, Abdul Karim Abdullah, 39, walaupun pada awalnya mereka berdua sukar untuk menerima kenyataan bahawa anak sulung mereka tidak sesempurna seperti kanak-kanak lain, mereka tetap reda dengan ketentuan Ilahi.
Namun sesekali hati mereka tetap diburu sayu apabila melihat ketabahan anak mereka itu yang terpaksa mengharungi kehidupan dengan pelbagai cabaran akibat mengalami penyakit Arthrogyroposis Multiplex Congenita With Bilateral Ctev itu.
Menurut Abdul Karim, kedua belah tangan dan kedua belah kaki anak sulungnya itu seperti ketiadaan sendi serta tidak dapat dibengkokkan.

“Ibu bapa mana tidak sedih melihat anak yang perlu menjalani kehidupan sedemikian tetapi kami bangga kerana dia terus berjuang meneruskan kehidupannya dengan tabah walau kelihatan amat sukar untuk makan, menulis malah bergerak kerana penyakit itu,” katanya.
Sebagai ibu dan bapa, harapan Mahani dan Karim untuk melihat anaknya menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak normal lain begitu tinggi dan anaknya juga tidak dapat berjalan tanpa alat sokongan serta hanya mempu mengesot untuk bergerak.
“Tidak apalah kalau perkembangan dia agak lambat berbanding anak-anak lain asalkan dia tetap sihat. Tiada ibu dan bapa yang sanggup melihat anaknya hidup menderita sebegini rupa. Kami anggap ini sebagai dugaan hidup yang terpaksa di tempuh.
“Kami berdua reda dan pasrah dengan ketentuan Illahi. Mungkin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Kami hanya mampu berdoa agar dia juga mampu untuk berjaya serta meraih kecemerlangan dalam pelajarannya pada masa depan,” katanya.
Kini pasangan ini bergantung dengan pendapatan Abdul Karim sebagai peniaga ikan bagi menampung kos rawatan Nur Fatihah dan perbelanjaan harian. Dia kini juga sedang menunggu bantuan Knee Ankle Foot Aethosis (Kafo) yang telah diluluskan Kerajaan Negeri.
“Jika kami berdua sahaja susah tak apa, tetapi saya tidak sanggup melihat anak kecil ini juga menderita dan berharap agar Kerajaan Negeri dapat mempercepatkan penyerahan bantuan Kafo iaitu alat penyokong kaki untuk berjalan yang telah diluluskan sebelum ini,” katanya.

Monday, May 14, 2012

13 kes curi motor dalam dua minggu.

MARANG - Orang ramai diingatkan agar sentiasa meningkatkan tahap keselamatan di rumah dan kenderaan khususnya motosikal masing-masing kerana jenayah pecah rumah dan kecurian kenderaan itu semakin kerap dilaporkan sejak kebelakangan ini.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya berkata, penduduk di daerah ini juga diminta memaklumkan kepada pihak polis melalui bilik gerakan sekiranya mahu meninggalkan rumah dalam tempoh yang agak lama.

“Sebanyak 13 kes kes kecurian motosikal dilaporkan berlaku sepanjang Mei di daerah ini membabitkan kawasan Bandar Marang dan Bukit Payong berlaku pada waktu malam di pekarangan rumah termasuk di kawasan-kawasan tumpuan,” katanya.

Beliau mendedahkan perkara itu pada majlis Mesyuarat Pimpinan Daerah (Mespida) diadakan di Ibu Pejabat daerah (IPD) Marang di sini, semalam. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat dan beberapa pemimpin masyarakat yang lain.

Ahmad Mazlan berkata, kebanyakan kes kecurian dan pecah rumah terbabit dilakukan oleh golongan remaja dan dipercayai golongan penagih dadah. Pihaknya juga percaya mereka menjual motosikal yang dicuri sebagai alat ganti dengan mengambil komponen tertentu.

Menurutnya, walaupun pihak polis kerap menjalankan rondaan dan membuat pemantauan setiap masa namun kerjasama daripada masyarakat dalam membantu mengurangkan kadar jenayah iaitu menangani masalah kecurian motosikal itu sangat diperlukan.

“Selain itu, kita juga harus mengenepikan pepatah Melayu, jangan jaga tepi kain orang, bahkan kita harus selalu menjaga perihal mereka. Ini kerana, secara tidak langsung ia membantu sesama sendiri dalam membendung kegiatan jenayah dari berlaku,” katanya.

Saturday, May 5, 2012

Nelayan maut depan Surau Sungai Kerak.



MARANG – Tidurlah dulu awak tu baru sahaja balik ke rumah,” demikian pesanan terakhir Gayah Mamat, 55, kepada suaminya Abdullah Ali, 59, sebelum terlibat dalam kemalangan maut di hadapan Surau Kampung Sungai Kerak di sini, semalam.
Abdullah yang dalam perjalanan dari arah Gong Nangka ke Bandar Marang maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas ke kanan jalan lalu melanggar pengadang jalan sebelum kepalanya terkena longkang konkrit lalu terpelosok ke dalam longkang.
Berikutan itu mangsa yang berasal dari Chendering, Kuala Terengganu dan menetap bersama isteri, Gayah Mamat, 55, dan lima anak mereka di Kampung Jerung Seberang, Wakaf Tapai di sini, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Dalam kejadian jam 3.00 petang itu, Abdullah dalam perjalanan ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Bandar Marang dari Kampung Jerung Seberang untuk keluar menangkap ikan terbunuh selepas motosikal jenis Honda EX5 ditunggangnya terbabas.
Gayah berkata, dia sempat berpesan agar arwah berehat sahaja di rumah kerana sudah bekerja sepanjang malam dan baru sahaja pulang ke rumah mereka pada jam 9.00 pagi pada hari kejadian. 
"Namun arwah tetap mahu keluar ke laut kerana sudah menjadi kelaziman pada waktu itu dia keluar bekerja namun pada hari kejadian dia kelihatan tidak sabar untuk keluar walaupun dalam keletihan.
“Selepas menikmati makan tengah hari bersama kami dan solat, arwah tidak mahu tidur walaupun saya berulang kali menyuruhnya agar melelapkan mata walaupun sekejap tetapi dia memberikan alasan bimbang jika hari hujan dan susah untuk keluar," katanya.
Isteri arwah juga tidak menyangka bahawa sikap arwahnya yang kelihatan tidak sabar untuk keluar keluar dari rumah itu menandakan dia akan pergi meninggalkan mereka untuk selama-lamanya.

Tiada yang mampu menghalang.......Takziah kepada keluarga mangsa. Al Fatihah. Moga rohnya dicucuri rahmat. Amin.

208 rumah rosak dilanda ribut di Marang.








MARANG – Ribut didakwa luar biasa berbentuk pusaran angin menggemparkan penduduk di lapan buah kampung sekitar daerah Kuala Terengganu dan Marang dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Payong, di sini, semalam.
Dalam kejadian selama 15 minit bermula kira-kira jam 3.15 petang itu, sebanyak 208 buah rumah rosak apabila bumbung rumah penduduk tercabut dan ditimpa ranting serta pokok.
Ribut luar biasa itu melanda Kampung Undang (105), Kampung Mak Kemas (25), Kampung Padang Pak Su Man (23), Kampung Batu 9 (18), Kampung Laut (17), Kampung Surau Panjang (10), Kampung Tok Dir (6) dan Kampung Belukar Jambu (4).
Seorang mangsa dari Kampung Undang, Zakaria Mustafa, 44, berkata, kejadian itu berlaku terlalu pantas, dalam masa beberapa minit hampir semua atap dibahagian depan rumahnya diterbangkan angin sebelum sebatang pokok kelapa tumbang.
Menurutnya yang ketika kejadian berada di luar rumah, dia hanya memikirkan keselamatan keluarganya dan sedaya upaya melindungi isteri, Norhaslina Wati, 36, dan dua anak mereka agar tidak ditimpa kayu dan struktur bumbung rumahnya.
“Tidak dapat dibayangkan perasaan saya ketika itu tambahan pula kesemua ahli keluarga ketika itu berada di dalam rumah. Saya yang ketika itu berada di luar rumah segera berlari ke dalam dan mengumpulkan mereka di ruang tamu rumah.
Angin itu seolah-olah mengangkat bumbung rumah kami. Namun syukurlah kerana kami sekeluarga selamat walaupun rumah kami rosak akibat kejadian itu,” katanya selepas menerima lawatan Menteri Besar ke rumahnya di sini, semalam.
Terdahulu Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said bersama PPD Dun Bukit Payong, Zaidi Muda, yang melawat penduduk di kampung terbabit turut bertanyakan khabar mengenai kejadian ribut menimpa mereka termasuk meluluskan peruntukan bantuan atap untuk mangsa terbabit.
Dalam pada itu, difahamkan salah seorang mangsa di Kampung Undang turut menerima bantuan sebuah rumah baru dari Kerajaan Negeri apabila kediamannya rosak teruk akibat kejadian ribut luar biasa yang melanda kawasan berkenaan.


Tiada yang mampu menghalang....