Monday, May 14, 2012

13 kes curi motor dalam dua minggu.

MARANG - Orang ramai diingatkan agar sentiasa meningkatkan tahap keselamatan di rumah dan kenderaan khususnya motosikal masing-masing kerana jenayah pecah rumah dan kecurian kenderaan itu semakin kerap dilaporkan sejak kebelakangan ini.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya berkata, penduduk di daerah ini juga diminta memaklumkan kepada pihak polis melalui bilik gerakan sekiranya mahu meninggalkan rumah dalam tempoh yang agak lama.

“Sebanyak 13 kes kes kecurian motosikal dilaporkan berlaku sepanjang Mei di daerah ini membabitkan kawasan Bandar Marang dan Bukit Payong berlaku pada waktu malam di pekarangan rumah termasuk di kawasan-kawasan tumpuan,” katanya.

Beliau mendedahkan perkara itu pada majlis Mesyuarat Pimpinan Daerah (Mespida) diadakan di Ibu Pejabat daerah (IPD) Marang di sini, semalam. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat dan beberapa pemimpin masyarakat yang lain.

Ahmad Mazlan berkata, kebanyakan kes kecurian dan pecah rumah terbabit dilakukan oleh golongan remaja dan dipercayai golongan penagih dadah. Pihaknya juga percaya mereka menjual motosikal yang dicuri sebagai alat ganti dengan mengambil komponen tertentu.

Menurutnya, walaupun pihak polis kerap menjalankan rondaan dan membuat pemantauan setiap masa namun kerjasama daripada masyarakat dalam membantu mengurangkan kadar jenayah iaitu menangani masalah kecurian motosikal itu sangat diperlukan.

“Selain itu, kita juga harus mengenepikan pepatah Melayu, jangan jaga tepi kain orang, bahkan kita harus selalu menjaga perihal mereka. Ini kerana, secara tidak langsung ia membantu sesama sendiri dalam membendung kegiatan jenayah dari berlaku,” katanya.

No comments: