Tuesday, June 19, 2012

Ikan todak Pantai Kelulut RM7K


PANTAI KELULUT - Hanya berbekalkan umpan sotong, seorang pemesin rumput berjaya menjinakkan seekor todak seberat hampir 2 kilogram (kg) sekali gus muncul juara pertandingan memancing anjuran Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Marang di sini.

Kejayaan tersebut melayakkan bapa empat anak yang tinggal di Kampung Alur Tuman, Mohd Mazlan Khalid, 37, membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM7,000.
Menurutnya, dia tidak membuat sebarang persiapan istimewa untuk pertandingan tersebut dan hanya menyertainya untuk mencuba nasib namun semangat untuk menyertai pertandingan itu agak berbeza berbanding ketika pertandingan memancing sebelum itu.
“Ini adalah kali kedua saya mendapat hadiah utama dalam tempoh dua bulan menyertai pertandingan memancing. Kali pertama saya muncul johan adalah pada bulan lalu ketika menyertai pertandingan memancing diadakan di Pulau Kerengga, Marang.
“Tiada persediaan istimewa pada pertandingan ini tetapi semangat untuk menyertainya sedikit berbeza selepas anak saudara saya, Asmawi Mohamad, bermimpi saya berjaya menaikkan seekor pari. Dia bermimpi pada malam sebelum hari pertandingan,” katanya.
Mohd Mazlan yang ditemui selepas menerima hadiah utama itu di Pantai Kelulut, di sini, menyifatkan kemenangan itu adalah rezeki anak-anaknya tambahpula pendapatan sebagai tukang mesin rumput sepenuh masa adalah tidak menentu.
Dalam pada itu, Karnival Memancing di Pantai Kelulut, Marang anjuran JKR daerah itu menawarkan wang tunai keseluruhan dan hadiah berjumlah RM20,000 selain hadiah-hadiah cabutan bertuah termasuk sebuah televisyen LCD dan sebuah motosikal.
Sementara itu, Jurutera JKR daerah Marang, Ir Wan Khairul Anuar Wan Mohamad  berkata, pertandingan memancing di Pantai Kelulut yang diadakan itu berjaya menarik penyertaan lebih 1,000 pemancing dari dalam dan luar daerah berkenaan.
“Pertandingan ini diadakan setiap tahun sejak mula diperkenalkan lebih kurang lima tahun lalu oleh pihak JKR daerah Marang dan mendapat sambutan yang baik dengan jumlah penyertaan tidak kurang dari 1,000 orang bagi setiap edisi pertandingan.
“Bagi edisi pertandingan untuk tahun depan, kita dalam perancangan untuk meningkatkan lagi hadiah wang tunai yang ditawarkan bagi menarik lebih ramai penyertaan,” katanya.



Sunday, June 17, 2012

Penunggang motosikal maut di Rhu Kubur.

MARANG - Seorang lelaki maut apabila motosikal jenis Yamaha 135 LC yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di kilometer 58.5 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan dekat Rantau Abang, di Kampung Rhu Kubur di sini, semalam.
Dalam kejadian kemalangan berlaku kira-kira pukul 2.20 petang itu, mangsa, Mohd Adhan Mohamad, 33, beralamat dari Tepoh dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Kampung Petaling, Tepoh dari Dungun sebelum terbabit dalam kemalangan itu.
Ketua Polis daerah Marang Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu berkata, mangsa maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan dalaman yang serius.
Menurutnya, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta Proton Persona yang datang dari arah Kuala Terengganu menghala ke Dungun dikatakan memotong kenderaan lain sebelum merempuh motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan.



Rumah ditinggalkan musnah di Alur Tuman.

MARANG - Sebuah rumah milik seorang warga emas, Hasmah Muda, 65, yang ditinggalkan lebih seminggu lalu di Kampung Alur Tuman di sini, musnah dalam kebakaran yang berlaku lebih kurang jam 3.00 petang di sini, semalam.
Rumah terbabit yang ditinggalkan Hasmah selepas mangsa terbabit dikatakan membawa anak bongsunya, Haryati Hassan, 28, yang juga adalah seorang kurang upaya (OKU) ke rumah salah seorang anaknya, Arman Hasan di Paka, Dungun.
Seorang saksi yang tinggal berdekatan lokasi kebakaran, Mohd Faisal Ismail, 28, berkata, dia hanya menyedari api marak dari rumah terbabit sekitar jam 3.00 petang sebelum memaklumkan kepada penduduk berdekatan mengenai kebakaran itu.
“Ketika itu saya sedang berehat dalam rumah, saya dikejutkan dengan bunyi letupan lalu, saya keluar dari rumah dan melihat api marak. Tanpa berlengah saya serta beberapa jiran cuba menyelamatkan rumah itu namun gagal kerana api cepat marak,” katanya.
Mohd Faisal yang ditemui di tempat kejadian berkata, dia kemudiannya meminta bantuan penduduk lain serta mengalihkan dua buah kereta yang terletak di tempat meletak kereta berdekatan rumah berkenaan setelah melihat api kian merebak.
“Saya sudah lama tinggal di sini dan ini merupakan pengalaman pertama melihat kebakaran benar-benar berlaku di hadapan mata. Mujurlah ketika kejadian tiada siapa di rumah itu, jika tidak mungkin sesuatu yang buruk menimpa penghuninya,” katanya.
Menurutnya, sebuah kereta jenis Honda berwarna merah diletakkan di bawah rumah turut musnah manakala anggota keselamatan yang tiba di tempat kejadian dengan dibantu orang ramai berjaya mengeluarkan beberapa peralatan elektronik dari rumah itu.
Difahamkan mangsa terbabit mengalami kerugian dalam anggaran melebihi RM100,000.
Dalam pada itu, salah seorang anak saudara pemilik rumah itu, Maziah Mansor, 40, yang ditemui di tempat kejadian berkata, ibu saudaranya itu jarang tinggal di rumah berkenaan selepas kematian suami, Hassan Ali, 80, pada penghujung tahun lalu.
Menurutnya, mangsa mempunyai enam anak dan hanya tinggal di rumah berkenaan bersama anak bongsunya, Haryati. Sehubungan itu, dua beranak terbabit takut untuk tinggal di rumah berkenaan kerana ia terletak agak jauh dari rumah orang.
“Sebab itu, ibu saudara saya jarang berada di rumah dan tinggal di rumah anak-anaknya malah kebanyakan anak-anaknya tinggal di negeri ini iaitu di Paka dan Kuala Terengganu. Mujurlah mereka berdua tiada ketika kejadian kebakaran itu berlaku.
“Jika mereka berdua berada di rumah itu saya tidak tahu apa akan berlaku menimpa mereka tambah pula anak bongsunya itu adalah seorang OKU,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, operasi itu diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat daerah Marang, Zamri Awang Long bersama pegawainya, Roslan Mat Din serta tujuh anggota yang bergegas ke tempat kejadian berjaya mengawal kebakaran dari merebak.
Bagaimanapun, pihak berkuasa terbabit masih mengenal pasti punca kejadian dan kerugian.

Rumah hangus di Seberang Marang.

MARANG - Sepasang suami isteri, Dzu Muda, 45, dan Fadillah Mohamad, 39, tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka di Kampung Seberang Marang berdekatan Dewan Sivik Seberang Marang di sini, musnah dijilat api, petang kelmarin.
Kejadian kebakaran kira-kira jam 5.00 petang itu memusnahkan semua barangan dalam rumah tersebut termasuk perabot dan peralatan elektrik sekaligus menyebabkan mereka mengalami kerugian dalam anggaran sebanyak RM160,000.
Mangsa, Dzu Muda, 45, berkata, ketika kejadian dia berada di luar rumah dan dalam perjalanan melawat anak perempuannya di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Guling di Pengkalan Berangan bersama isteri dan tiga anak mereka.
Menceritakan kejadian itu, Dzu berkata, sebaik tiba di asrama sekolah SMK Durian Guling untuk berjumpa anak perempuannya, Norhusna Kamila, 15, dia menerima panggilan jiran tetangga memaklumkan mengenai kebakaran berlaku di rumahnya.
“Ketika itu saya baru sahaja keluar dari rumah dalam tempoh 10 hingga 15 minit. Malah, isteri sudah memeriksa peralatan elektrik di rumah sebelum keluar bagi memastikan kejadian seumpama itu dapat dielakkan semasa ketiadaan kami.
“Bagaimanapun, semuanya sudah musnah, kediaman kami yang bernilai sekitar RM100,000 dan peralatan rumah dalam anggaran RM50,000 hangus sama sekali dan tiada apa dapat diselamatkan lagi,” katanya yang menyara keluarga dengan berniaga barang basah.
Pasangan yang mempunyai lima anak ini tinggal berdekatan dengan rumah ayah mereka, Muda Kadir, 67, dan kini terpaksa menumpang tinggal di rumah ayah mereka dalam tempoh terdekat sebelum kerja membaik pulih rumah itu dapat dijalankan.
Sementara itu, bapa mangsa, Muda berkata, walaupun anaknya mengalami kerugian besar susulan kejadian kebakaran itu namun dia bersyukur kerana kejadian berlaku pada hari siang serta kesemua ahli keluarga anaknya tidak berada di rumah berkenaan.
“Syukurlah mereka selamat kerana tiada di rumah ketika itu. Saya juga bersyukur kerana kejadian itu berlaku pada waktu siang. Entah apa yang akan berlaku kepada mereka jika ia berlaku ketika mereka sedang tidur pada waktu malam,” katanya.

Sementara itu, Ketua operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat daerah Marang, PKPgB Abdullah Zawawi Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.07 petang dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.
“Sebuah jentera dan tujuh anggota yang dikejarkan ke tempat kejadian dapat mengawal api daripada merebak ke rumah lain. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala jumlah kerugian serta punca kejadian masih disiasat,” katanya.