Sunday, June 17, 2012

Rumah ditinggalkan musnah di Alur Tuman.

MARANG - Sebuah rumah milik seorang warga emas, Hasmah Muda, 65, yang ditinggalkan lebih seminggu lalu di Kampung Alur Tuman di sini, musnah dalam kebakaran yang berlaku lebih kurang jam 3.00 petang di sini, semalam.
Rumah terbabit yang ditinggalkan Hasmah selepas mangsa terbabit dikatakan membawa anak bongsunya, Haryati Hassan, 28, yang juga adalah seorang kurang upaya (OKU) ke rumah salah seorang anaknya, Arman Hasan di Paka, Dungun.
Seorang saksi yang tinggal berdekatan lokasi kebakaran, Mohd Faisal Ismail, 28, berkata, dia hanya menyedari api marak dari rumah terbabit sekitar jam 3.00 petang sebelum memaklumkan kepada penduduk berdekatan mengenai kebakaran itu.
“Ketika itu saya sedang berehat dalam rumah, saya dikejutkan dengan bunyi letupan lalu, saya keluar dari rumah dan melihat api marak. Tanpa berlengah saya serta beberapa jiran cuba menyelamatkan rumah itu namun gagal kerana api cepat marak,” katanya.
Mohd Faisal yang ditemui di tempat kejadian berkata, dia kemudiannya meminta bantuan penduduk lain serta mengalihkan dua buah kereta yang terletak di tempat meletak kereta berdekatan rumah berkenaan setelah melihat api kian merebak.
“Saya sudah lama tinggal di sini dan ini merupakan pengalaman pertama melihat kebakaran benar-benar berlaku di hadapan mata. Mujurlah ketika kejadian tiada siapa di rumah itu, jika tidak mungkin sesuatu yang buruk menimpa penghuninya,” katanya.
Menurutnya, sebuah kereta jenis Honda berwarna merah diletakkan di bawah rumah turut musnah manakala anggota keselamatan yang tiba di tempat kejadian dengan dibantu orang ramai berjaya mengeluarkan beberapa peralatan elektronik dari rumah itu.
Difahamkan mangsa terbabit mengalami kerugian dalam anggaran melebihi RM100,000.
Dalam pada itu, salah seorang anak saudara pemilik rumah itu, Maziah Mansor, 40, yang ditemui di tempat kejadian berkata, ibu saudaranya itu jarang tinggal di rumah berkenaan selepas kematian suami, Hassan Ali, 80, pada penghujung tahun lalu.
Menurutnya, mangsa mempunyai enam anak dan hanya tinggal di rumah berkenaan bersama anak bongsunya, Haryati. Sehubungan itu, dua beranak terbabit takut untuk tinggal di rumah berkenaan kerana ia terletak agak jauh dari rumah orang.
“Sebab itu, ibu saudara saya jarang berada di rumah dan tinggal di rumah anak-anaknya malah kebanyakan anak-anaknya tinggal di negeri ini iaitu di Paka dan Kuala Terengganu. Mujurlah mereka berdua tiada ketika kejadian kebakaran itu berlaku.
“Jika mereka berdua berada di rumah itu saya tidak tahu apa akan berlaku menimpa mereka tambah pula anak bongsunya itu adalah seorang OKU,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, operasi itu diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat daerah Marang, Zamri Awang Long bersama pegawainya, Roslan Mat Din serta tujuh anggota yang bergegas ke tempat kejadian berjaya mengawal kebakaran dari merebak.
Bagaimanapun, pihak berkuasa terbabit masih mengenal pasti punca kejadian dan kerugian.

No comments: