Sunday, July 24, 2011

Sarapan terakhir sebelum maut bersama bapa.




MARANG - Sarapan pagi nasi minyak dan gulai ayam menjadi juadah terakhir disediakan seorang ibu saudara kepada anak saudaranya apabila kanak-kanak berusia lapan tahun itu menemui ajal bersama bapanya di sini, petang semalam.

Dua beranak dalam perjalanan pulang ke rumah mereka maut selepas kenderaan mereka merempuh belakang sebuah jengkaut diletakkan di tepi kiri jalan di Kilometer 52 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Jambu Bongkok, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, pemandu kereta jenis Kia Picanto, Wan Shaari Zakaria, 50, dan anak lelakinya Wan Shakifri, 8, dalam perjalanan dari arah Dungun ke rumah mereka beberapa kilometer dari tempat kejadian.

Wan Shaari yang juga merupakan pengurus sebuah syarikat binaan swasta dan anaknya, Wan Shakifri, murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih di sini, maut di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah dalam badan.

Difahamkan ketika kejadian berlaku mangsa dikatakan sedang mencari sesuatu di dalam keretanya sebelum terbabas ke kiri jalan lalu merempuh bahagian belakang jengkaut.



Sebelum itu, adik mangsa, Zalina Zakaria, 43, yang juga merupakan ibu saudara kepada Wan Shakifri, berkata, abang dan anak saudaranya itu keluar dari rumah mereka ke bandar Dungun kira-kira jam 2.00 petang.

Menurutnya, dia dimaklumkan mengenai kemalangan itu kira-kira jam enam petang dan bergegas ke tempat kejadian bersama isteri arwah, Arizawati Azlina Arifin, 32, yang baru sahaja menimang cahaya mata ke empat lima bulan lalu.

“Saya tidak menyangka sikap Wan Shakifri yang sebelum ini suka bergurau bersama kami bertukar menjadi pendiam dan tidak mahu menjawab pertanyaan sehingga membuat ibunya bingung menandakan arwah akan pergi selama-lamanya,” katanya.

Zalina berkata, arwah abangnya pula tidak menunjukkan sebarang tanda dan kelakuan berbeza dari biasa sebelum kejadian berlaku tetapi bersikap pendiam berkemungkinan letih disebabkan urusan kerja dan baru pulang dari Kuala Lumpur.

“Arwah pergi ke Kuala Lumpur atas urusan kerja pada Khamis sebelum tiba di rumah semula pada awal pagi Sabtu kita-kira jam 3 pagi iaitu 12 jam sebelum membawa anak lelakinya ke bandar Dungun untuk menggunting rambut,” katanya.

Arwah meninggalkan seorang balu dan tiga anak berusia lima bulan hingga 14 tahun.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam, mengesahkan kejadian kemalangan berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke hospital Dungun untuk bedah siasat.

Wednesday, July 20, 2011

Awas ! Pencuri ternakan mengganas.



ALOR LIMBAT- Haiwan ternakan sekitar kawasan ini kini menjadi sasaran golongan pencuri dipercayai berikutan krisis kewangan dan kesempitan hidup yang dihadapi mereka kian membimbangkan penternak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, Alias Abdullah berkata, bukan sahaja barangan boleh dijadikan duit akan dicuri penjenayah terbabit tetapi haiwan ternakan penduduk yang dikurung di dalam kandang.

"Saya harap pihak berkuasa seperti polis dan Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) menyiasat kes ini kerana saya bimbang kejadian mencuri ternakan terus menjadi-jadi membabitkan Tebakang, Tasek, Pak Madah dan Rawai.

"Saya juga mencadangkan penduduk membuat pos kawalan di jalan menuju ke Tebakang melalui Banggol Katong, Tasek, Padang Air, Banggol Pak Ali dan Padang Limau Nipis bagi mengatasi masalah ini,” katanya.

Alias berkata demikian ketika ditemui selepas menyertai solat hajat bersama 100 penduduk di Masjid Tebakang di sini, baru-baru ini.

Difahamkan lebih 20 ekor lembu dan kerbau di curi sejak Januari lalu di Kampung Tebakang, Tasek, Pak Madah dan Rawai di kawasan ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tebakang, Md Ali Tahar, 55, berkata, pencuri hanya mengambil masa beberapa jam melapah ternakan curi selepas menembak binatang itu.

Friday, July 15, 2011

Mempelam Marang.



MARANG - Seorang pemandu lori dari Kampung Mak Kemas di sini, tidak menyangka anak pokok mempelam dibeli di Pasar Malam Wakaf Dua tiga tahun lalu yang ditanam di perkarangan rumahnya mampu mengeluarkan buah sebesar saiz topi keledar.

Narul Azura@Mohamad Anuar Mohamad, 39, menyedari kelainan pada pokok mempelam itu sejak ia mula berbuah tahun ini. Malah hanya pokok itu sahaja menunjukkan kelainan berbanding dua lagi anak pokok mempelam yang dibeli di pasar malam yang sama.

“Saya akhirnya mengambil keputusan membungkus buah itu dengan jaring dan menahan dahan pokok dengan sebatang kayu. Saya bimbang dahannya patah atau buah itu gugur sebelum sampai waktunya seperti yang berlaku sebelum ini,” katanya.

Narul berkata, sebelum ini beberapa biji buah mempelam bersaiz luar biasa yang berbuah di pohon berkenaan telah gugur ke tanah kerana dahan pokok itu tidak mampu untuk menampung berat buah yang terlalu besar iaitu melebihi tiga kilogram sebiji.

Menurutnya, sebelum ini dia hanya mendengar dan melihat keanehan berlaku pada buah-buahan seperti pisang dan sebagaimana disiarkan di media massa namun hari ini dia sendiri berdepan dengan situasi pelik itu kerana tidak pernah melihat buah mempelam sebesar itu

Wednesday, July 13, 2011

Si tolol yang arogan.



Saya tahu ramai menganggap saya tolol. Bahkan ada yang berani mengherdik perkataan itu di muka saya. Namun hakikatnya saya sememangnya agak tolol, whaaakahkahkah,”.

Begitulah luahan seorang penulis dalam blognya.

Di blog itu, lelaki itu, juga mengaku dia sebenarnya stres menghadapi sikapnya itu. Lebih stres apabila menyedari ramai manusia pintar, hebat dan berkuasa di luar.

“Tapi jika lihat semula dengan teliti sekeliling saya, ternyata ramai juga orang tolol. Jadi saya tidak perlu tertekan kerana tidak sendirian dengan gelaran itu,”katanya.

Meskipun menyedari dirinya tolol, dia tetap tidak selesa bila dipanggil tolol.

Pernah ketika bersantai di rumah, berbicara sikap tololnya dengan isteri tercinta.

“Baguslah kamu sebagai orang tolol sedar diri kamu itu tolol,” kata si isteri menjeling suami. Mendengar jawapan itu, suami pula merenung isterinya. Tapi kemudiannya terdiam sahaja.

“Orang paling tolol adalah orang tolol yang tidak mau sedar dirinya tolol. Mereka inilah makhluk Tuhan sebenarnya yang paling tolol,” sambung si isteri.



“Apa sebenarnya yang membuat sesebuah negara itu menjadi huru hara?,” soalnya kepada isterinya.

“Pemimpin negara itu tidak tegas dan mungkin sebab masyarakat derita,” jawab isterinya.

“Tapi aku rasa yang membuat negara itu huru hara sebab terlalu ramai manusia tolol yang takut kehilangan kuasa dan mahukan kuasa,” katanya.

Kemudian terlintas yang sebelum ini dia juga mengaku sebagai manusia tolol, lantas berkata, “Negara demokrasilah, mereka berhak meluahkan rasa,” si suami ‘cover line’.

“Memanglah demokrasi. Sebenarnya tidaklah menjadi masalah kalau manusia-manusia tolol itu bukan seorang tokoh.

“Tapi masalahnya mereka adalah tokoh, dan perbuatan mereka diperhatikan ribuan pengikut, bahkan dirakam media massa,” balas isterinya pula.

“Benar. Aku juga rimas kalau melihat manusia-manusia tolol ini di kaca TV. Mereka mengira diri mereka pintar dan mudah memperbodohkan kita.

“Padahal kata-katanya menunjukkan mereka sama macam aku. Tolol juga.

“Misalnya ada tokoh yang ditangkap kerana rasuah, memberi alasan wang itu halal. Agaknya manusia setolol aku ini boleh diperbodohkan dengan alasan tolol seperti itu? ,”soal si ayah.

“Ada juga tokoh yang sebelum ini dibenci masyarakat, tiba-tiba saja muncul dengan tampil kembali di dunia politik macam tak pernah buat salah.

“Apa masyarakat terlalu tolol sehingga lupa dengan semua yang dilakukan sebelum ini ?. Hari ini begini alasannya, hari esok begitu alasannya.

“Kenapa agaknya tokoh tolol ini tidak mau sedar bahkan melakukan pemaksaan sehingga menjadi arogan. Mereka mengamuk jika dikritik.

“Padahal jelas keputusan itu merugikan semua. Malah menyalahkan dan mengancam pengkritiknya,” kata si suami dengan panjang lebar.

“Arogan itu apa ayah?,” anak pasangan ini mencelah. Si ayah dan ibu saling berpandangan dan si ayah lantas menjawab berharap jawapannya betul dan tepat.

“Arogan itu asyik hendak menang sahaja, tidak pernah mahu mengalah, dia sahaja yang benar, tidak mahu dipersalahkan dan mudah menyalahkan orang lain," jawab si ayah.

“Wah kalau gitu arogan itu ayah lah mak,” kata si anak.

“Iya, kalau di rumah kita ini memang ayahlah makhluk Tuhan paling arogan,” jawab si ibu.

“Ooo tapi kalau di luar sana siapa paling arogan ?,” soal anaknya. “Adik tahu dah....mesti orang macam ayah tapi lebih tolol,” tambahnya.

Si ayah dan si ibu terdiam......

Sunday, July 3, 2011

Peronda SRS parah dibelasah




MARANG - Seorang peronda Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kampung Medan Jaya cedera parah dibelasah seorang pemuda apabila menegur pemuda terbabit kerana memandu laju semasa berhenti di pos kawalan SRS kampung itu.

Yahya Taher, 60, ditumbuk dan ditendang sehingga mengakibatkan dia mengalami kecederaan di kening kiri, lebam di bahagian mata dan daging di bahagian mulutnya pula tersiat akibat dibelasah pemuda terbabit.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.25 pagi itu, Yahya yang mengawal di Zon A mengarahkan pemandu yang memandu sebuah kereta jenis Honda dengan membawa bersama seorang penumpang agar memberhentikan kenderaannya.

Yahya berkata, dia menegur pemuda yang juga penghuni taman perumahan berkenaan agar lebih berhati-hati dan memandu perlahan. Bagaimanapun, pemuda itu naik berang dengan tegurannya hingga berlaku pentengkaran kecil.

"Selepas petengkaran pemuda itu berlalu pergi tetapi datang semula lima minit kemudian. Ketika pemuda itu datang semula sikapnya menjadi lebih agresif. Dia terus menyerang saya sebaik keluar dari kenderaannya.

"Muka saya terus ditumbuk dan dia turut menyepak saya sehingga rebah sambil diperhatikan seorang lagi rakannya sebelum rakan-rakan peronda yang berada di lokasi kejadian bertindak menahannya,” katanya kepada WC.

Yahya berkata, semasa dipukul dia tidak melawan sebaliknya hanya berdiam diri.

Selepas kejadian mangsa yang juga pesara kakitangan Majlis Daerah Marang (MDM) kemudiannya dibawa ke klinik kesihatan berdekatan untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis mengenai insiden itu.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu berkata, polis kemudiannya berjaya menahan seorang suspek untuk disoal siasat selepas menerima laporan.

Dalam pada itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Medan Jaya, Ku Mohd Hamzah Engku Jalil berkata, insiden itu kali pertama berlaku selepas KRT kampung itu memulakan operasi SRS bermula 1 Mei lalu.