Sunday, July 3, 2011

Peronda SRS parah dibelasah




MARANG - Seorang peronda Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kampung Medan Jaya cedera parah dibelasah seorang pemuda apabila menegur pemuda terbabit kerana memandu laju semasa berhenti di pos kawalan SRS kampung itu.

Yahya Taher, 60, ditumbuk dan ditendang sehingga mengakibatkan dia mengalami kecederaan di kening kiri, lebam di bahagian mata dan daging di bahagian mulutnya pula tersiat akibat dibelasah pemuda terbabit.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.25 pagi itu, Yahya yang mengawal di Zon A mengarahkan pemandu yang memandu sebuah kereta jenis Honda dengan membawa bersama seorang penumpang agar memberhentikan kenderaannya.

Yahya berkata, dia menegur pemuda yang juga penghuni taman perumahan berkenaan agar lebih berhati-hati dan memandu perlahan. Bagaimanapun, pemuda itu naik berang dengan tegurannya hingga berlaku pentengkaran kecil.

"Selepas petengkaran pemuda itu berlalu pergi tetapi datang semula lima minit kemudian. Ketika pemuda itu datang semula sikapnya menjadi lebih agresif. Dia terus menyerang saya sebaik keluar dari kenderaannya.

"Muka saya terus ditumbuk dan dia turut menyepak saya sehingga rebah sambil diperhatikan seorang lagi rakannya sebelum rakan-rakan peronda yang berada di lokasi kejadian bertindak menahannya,” katanya kepada WC.

Yahya berkata, semasa dipukul dia tidak melawan sebaliknya hanya berdiam diri.

Selepas kejadian mangsa yang juga pesara kakitangan Majlis Daerah Marang (MDM) kemudiannya dibawa ke klinik kesihatan berdekatan untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis mengenai insiden itu.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu berkata, polis kemudiannya berjaya menahan seorang suspek untuk disoal siasat selepas menerima laporan.

Dalam pada itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Medan Jaya, Ku Mohd Hamzah Engku Jalil berkata, insiden itu kali pertama berlaku selepas KRT kampung itu memulakan operasi SRS bermula 1 Mei lalu.

1 comment:

Aku Cabuk said...

Pok sepupu aku .....