Sunday, July 24, 2011

Sarapan terakhir sebelum maut bersama bapa.




MARANG - Sarapan pagi nasi minyak dan gulai ayam menjadi juadah terakhir disediakan seorang ibu saudara kepada anak saudaranya apabila kanak-kanak berusia lapan tahun itu menemui ajal bersama bapanya di sini, petang semalam.

Dua beranak dalam perjalanan pulang ke rumah mereka maut selepas kenderaan mereka merempuh belakang sebuah jengkaut diletakkan di tepi kiri jalan di Kilometer 52 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Jambu Bongkok, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, pemandu kereta jenis Kia Picanto, Wan Shaari Zakaria, 50, dan anak lelakinya Wan Shakifri, 8, dalam perjalanan dari arah Dungun ke rumah mereka beberapa kilometer dari tempat kejadian.

Wan Shaari yang juga merupakan pengurus sebuah syarikat binaan swasta dan anaknya, Wan Shakifri, murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih di sini, maut di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah dalam badan.

Difahamkan ketika kejadian berlaku mangsa dikatakan sedang mencari sesuatu di dalam keretanya sebelum terbabas ke kiri jalan lalu merempuh bahagian belakang jengkaut.



Sebelum itu, adik mangsa, Zalina Zakaria, 43, yang juga merupakan ibu saudara kepada Wan Shakifri, berkata, abang dan anak saudaranya itu keluar dari rumah mereka ke bandar Dungun kira-kira jam 2.00 petang.

Menurutnya, dia dimaklumkan mengenai kemalangan itu kira-kira jam enam petang dan bergegas ke tempat kejadian bersama isteri arwah, Arizawati Azlina Arifin, 32, yang baru sahaja menimang cahaya mata ke empat lima bulan lalu.

“Saya tidak menyangka sikap Wan Shakifri yang sebelum ini suka bergurau bersama kami bertukar menjadi pendiam dan tidak mahu menjawab pertanyaan sehingga membuat ibunya bingung menandakan arwah akan pergi selama-lamanya,” katanya.

Zalina berkata, arwah abangnya pula tidak menunjukkan sebarang tanda dan kelakuan berbeza dari biasa sebelum kejadian berlaku tetapi bersikap pendiam berkemungkinan letih disebabkan urusan kerja dan baru pulang dari Kuala Lumpur.

“Arwah pergi ke Kuala Lumpur atas urusan kerja pada Khamis sebelum tiba di rumah semula pada awal pagi Sabtu kita-kira jam 3 pagi iaitu 12 jam sebelum membawa anak lelakinya ke bandar Dungun untuk menggunting rambut,” katanya.

Arwah meninggalkan seorang balu dan tiga anak berusia lima bulan hingga 14 tahun.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam, mengesahkan kejadian kemalangan berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke hospital Dungun untuk bedah siasat.

No comments: