Tuesday, June 28, 2011

Geng YUSUFF KERINTING tumpas



MARANG - Polis Terengganu percaya berjaya melumpuhkan sindiket mencuri dan menjual kereta mewah di negeri ini dengan tertangkapnya lima anggota Geng Yusuff Kerinting dalam beberapa operasi sejak 27 Mei lalu di tiga buah daerah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, sebanyak 10 kereta mewah bernilai kira-kira RM800,000 ditemui semula yang kebanyakannya telah diubah nombor casis dan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Menurut beliau, anggota geng yang merupakan rakyat tempatan berusia antara 18 hingga 51 tahun itu berjaya ditahan dibeberapa operasi berasingan di daerah Marang, Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu sejak 27 Mei lalu oleh polis Marang.

“Bersama dengan tangkapan lima lelaki itu, polis berjaya merampas 10 buah kereta mewah pelbagai jenis antaranya, Toyota Camry, Toyota Harrier, Toyota Wish, Mitsubishi Triton, Mitsubishi Storm dan Proton Viva.

“Selebihnya adalah dua buah Toyota Caldina dan dua buah Perodua Mywi di tiga daerah tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di sini, petang tadi.

Manoharan berkata, hasil pemeriksaan ke atas semua kenderaan itu mendapati terdapat kesan gangguan pada nombor enjin dan nombor casis empat buah kenderaan dirampas.

Menurutnya, kenderaan itu adalah Toyota Camry dilaporkan hilang di Kulai, Mitsubishi Triton di Kampung Raja dan Perodua Mywi di Wangsa Maju manakala nombor chasis Mitsubishi Storm tidak dapat ditimbulkan kerana kikisannya yang terlalu dalam.

“Manakala selebihnya iaitu sebanyak enam buah lagi kenderaan merupakan kenderaan yang tidak dijelaskan ansuran atau dikenali sebagai kereta sakit dan polis percaya sindiket itu mula beroperasi sejak 2009 serta berjaya mengenalpasti identiti suspek utama.

“Suspek utama dikenali sebagai Yusuff Kerinting berasal dari Kota Bharu, Kelantan dipercayai bertanggung jawab membekalkan semua kenderaan itu dan menguruskan pendaftaran nombor pendaftaran baru secara palsu kepada suspek ditangkap,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, suspek utama itu disahkan meninggal dunia Disember tahun lalu.

Pihak polis masih meneruskan siasatan ke atas sindiket ini dan sebarang maklumat boleh disalurkan kepada IPD Marang di talian 09 – 6182222.

No comments: