Monday, August 1, 2011

Tiga nyaris maut di malam Ramadan.



MARANG – Tiga parah manakala dua cedera apabila dua buah kereta jenis Proton Iswara dan sebuah Proton Waja terlibat dalam kemalangan di Kilometer 43, Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Kampung Gong Balai, di sini, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.55 malam itu, pemandu Proton Iswara, Mohd Syafiq Mohd, 22, patah paha kanan dan penumpang kereta tersebut juga merupakan adik perempuannya, Khairun Nadihah, 19, cedera di bahagian kepala dan anggota badan.

Manakala pemandu sebuah lagi Proton Iswara, Mohd Saiful Islam Abd Razak, 21, juga patah peha kanan manakala dua penumpang kereta, Mohd Yusuf Abd Razak, 23, dan Shukri Mat Naib, 22, cedera di bahagian muka dan badan.

Kedua-dua pemandu dan seorang penumpang itu cedera parah akibat terhumban ke bahagian depan kenderaan dan ketiga-tiga mangsa terbabit dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Supritendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

Difahamkan kejadian berlaku apabila kereta Proton Iswara dipandu Mohd Syafiq dari arah Marang ke Dungun sedang dalam perjalanan ke rumah keluarganya di Kampung Pasir Puteh, Marang lebih kurang sepuluh kilometer dari tempat kejadian.

“Manakala Mohd Saiful Islam pula dari arah bertentangan cuba memotong sebuah kereta Proton Waja di hadapannya. Namun dia gagal berbuat demikian kerana kereta Proton Iswara dipandu Mohd Syafiq berada terlalu dekat di hadapan.

"Pemandu itu cuba masuk semula ke lorong kiri tetapi gagal dan bergesel dengan Proton Waja, menyebabkan kereta Proton Waja berpusing lalu terbabas ke kiri jalan sebelum dua Proton Iswara itu bertembung," katanya.


(Selamat berpuasa, berhati-hati di jalan raya agar sempat berbuka di rumah)

No comments: