Monday, August 8, 2011

Gian berjudi tidak hirau Ramadan.


MARANG – Jika umat Islam berebut-rebut mengumpul pahala sempena Ramadan, empat individu Islam di sini, pula berebut-rebut bertaruh dan berjudi di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Belukar Gorek, Kampung Belukar Gorek, Bukit Payong, petang semalam.

Dalam serbuan polis kira-kira jam 6.15 petang itu, kesemua mereka yang berusia antara 22 hingga 37 tahun diberkas ketika sedang duduk di atas lantai dengan mengelilingi sejumlah wang tunai dan daun terup di bahagian dapur rumah yang tidak bernombor itu.

Operasi mencegah aktiviti perjudian secara terbuka itu dilakukan sekumpulan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang diketuai seorang pegawai, Khairul Ridzuan Salleh melalui hasil risikan dan bertindak atas maklumat orang awam.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahya ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan mengenai tangkapan itu berkata, turut dirampas, tunai dipercayai wang taruhan berjumlah RM873,00, dan 52 keping daun terup di atas lantai.

Menurutnya, dalam serbuan itu, terdapat lima lelaki yang sedang leka bermain judi, bagaimanapun salah seorang daripada mereka berjaya melarikan diri apabila menyedari kehadiran anggota polis manakala empat lagi gagal untuk berbuat demikian.

“Kesemua mereka telah ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Pindaan 1990) Akta A 755 dan dibaca bersama dengan Seksyen 34kanun yang sama,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini, semalam.

Difahamkan tiga daripada empat individu terbabit adalah penduduk tempatan manakala seorang dari mereka beralamat dari Kampung Air Sejuk, Setiu yang dikatakan sanggup datang dari jauh ke rumah itu semata-mata untuk berjudi bersama rakan-rakannya.

Friday, August 5, 2011

Tanya rumah, tanya cangkul akhirnya samun rantai.


MARANG - Seorang warga emas berputih mata selepas disamun seorang penjenayah yang melarikan rantai lehernya yang bernilai kira-kira RM10,000 ketika sedang menyapu sampah di halaman rumahnya di Kampung Rawai di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.00 pagi itu, leher mangsa yang berusia 73 tahun juga luka selepas penjenayah terbabit dengan rakusnya merentap rantai itu sebelum melarikan diri menggunakan motosikal bersama seorang lagi rakan jenayahnya.

Mangsa, Teh Embong berkata, dia didatangi dua lelaki terbabit yang menaiki sebuah motosikal, seorang turun untuk bertanya mengenai rumah di kawasan itu manakala seorang lagi tunggu di motosikal, ketika dia sedang menyapu di halaman rumah.

Teh berkata, sedang dia leka bercakap sambil menyapu, tiba-tiba lelaki yang berada dihadapannya itu mengeluarkan sebilah pisau dan mengacukan senjata itu ke arah lehernya sebelum meragut rantainya dan menyebabkan dia cedera di leher.

“Lelaki itu kemudian terus melarikan diri dengan motosikal bersama seorang lagi lelaki yang datang bersamanya selepas meragut rantai leher mak cik dan hilang sekelip mata,” katanya menceritakan semula detik cemas kejadian samun berlaku pada pertama Ramadan itu.

Mangsa ketika ditemui semalam, masih trauma dengan kejadian itu kerana ia merupakan kejadian pertama berlaku ke atas dirinya malah turut mendakwa mengalami kerugian yang besar apabila rantai emas itu dianggarkan bernilai kira-kira RM10,000.



Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan, Ahmad Mazlan Yahya (gambar) ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan polis telah menerima laporan mengenai kejadian itu.

Sementara itu, dalam satu kejadian berasingan di daerah Besut, petang semalam, seorang lelaki berpura-pura ingin meminjam cangkul sebelum bertindak menyamun seutas rantai emas daripada seorang warga emas dalam kejadian di Kampung Air Putih Kerandang.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan, Kamaruddin Zakaria berkata dalam kejadian kira-kira 9 pagi, mangsa berumur 87 tahun, tinggal bersendirian ketika itu didatangi seorang lelaki yang dikenalinya dengan alasan untuk meminjam cangkul.

"Setelah mangsa memberitahu dia tidak mempunyai cangkul, suspek berusia 24 tahun dari Kampung Tanah Merah Keradang berpura-pura beredar, namun selepas itu berpatah balik dan menerkam mangsa sebelum meragut rantai lehernya bernilai RM7,000," katanya.

Kamaruddin berkata, mangsa kemudian menjerit meminta tolong dan jeritannya itu didengari oleh jiran-jiran berhampiran sebelum mereka bertindak mengejar serta menahan suspek yang merupakan penagih dadah.

Katanya, suspek kemudiannya diserahkan kepada polis bersama rantai emas yang disamun bagi membantu siasatan. Ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah.

Sehubungan itu, Kamaruddin mengingatkan suri rumah supaya sentiasa berwaspada apabila didatangi orang yang meragukan kerana telah terdapat tiga kes yang sama dalam tempoh sebulan seumpama itu berlaku di Besut.


ends

Dan peringatan itu bukan hanya kepada mak cik-mak cik di Marang dan Besut.....

Wednesday, August 3, 2011

Tinggal sehelai sepinggang.


BUKIT PAYONG – Keluarga Mustafa Abu Bakar, 56, berhadapan keadaan amat menyedihkan untuk menunaikan ibadat puasa dan menyambut Aidilfitri tahun ini apabila rumah mereka di Kampung Sungai, Atas Tol, di sini, musnah dalam kebakaran, semalam.

“Saya berada di ruang tamu bersama cucu saya, Mohd Fariz Fariza Faisal, 3, dan sedang bersiap untuk keluar, kami hendak ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu,” katanya mengenai kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu.

Mustafa berkata, sebaik ingin melangkah keluar dari rumah, dia terdengar bunyi letupan kecil datang dari arah dapur lalu masuk semula ke dalam rumah dengan meninggalkan cucunya di ruang tamu manakala dia terus meluru masuk ke dapur.

Namun, menurutnya, sebaik tiba di dapur, dia melihat api sudah marak dan merebak dengan begitu cepat, tanpa berlengah bapa enam anak terus keluar lalu mendapatkan cucu yang ditinggalkan di ruang tamu sebelum keluar dari rumah menyelamatkan diri.

Mustafa yang mempunyai enam anak tinggal bersama isterinya, Wan Mahani Wan Omar, 57, dan dua anaknya, Mohd Taufiq, 31, dan Siti Fatimah, 28, manakala empat lagi anaknya sudah berumah tangga tinggal berdekatan dengan rumahnya yang telah musnah itu.

Ketika ditanya mengenai kerugian, Mustafa menggangarkan kerugian ditanggung akibat kebakaran itu adalah RM100,000 dan punca kejadian kebakaran juga masih dalam siasatan pasukan Bomba Dan Penyelamat daerah Kuala Terengganu.

Pihak berkuasa itu ketika dihubungi turut mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Sementara itu, Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, Zaidi Muda, yang dimaklumkan mengenai musibah dialami keluarga Mustafa, turut melawat lokasi kejadian dan menyampaikan bantuan pribadi bagi meringankan beban mangsa.

Tuesday, August 2, 2011

Sumpah mangsa ragut.



KUALA TERENGGANU - "Saya harap peragut itu menerima hukuman yang setimpal (koma) atau lebih teruk (mati) daripada keadaan yang menimpa adik," demikian luahan mangsa ragut, Maleha Malik yang cedera parah dalam kejadian ragut di Jalan Kamaruddin, Ahad lepas.

Maleha, 24, ketika ditemui di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) hari ini, masih di dalam keadaan lemah dan amat sedih kerana adiknya Maizatul Akmal, 22, masih dalam keadaan koma.

"Sekarang saya masih rasa sakit lagi di bahagian tangan dan perut,tapi saya rasa lebih tertekan apabila adik masih belum sedarkan diri," katanya.



Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi Ahad lalu, dua beradik itu cedera parah apabila motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lagi motosikal dari arah bertentangan semasa mereka mengejar peragut yang melarikan beg tangan mereka.

Kejadian itu berlaku apabila kedua-dua beradik itu yang bermotosikal dipercayai dalam perjalanan dari rumah mereka menuju ke Kompleks Sri Iman untuk mengambil Wang Dana Bakti Remaja yang diberikan kerajaan negeri.

Dalam kejadian itu, Maleha yang hampir putus tangan serta luka di beberapa bahagian badan telah mula sedarkan diri semalam setelah menjalani pembedahan di hospital itu manakala adiknya masih koma.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Datuk Jamshah Mustapa yang melawat mangsa di hospital hari ini berharap orang ramai membantu menyalurkan maklumat untuk mengesan peragut terbabit.

Monday, August 1, 2011

Tiga nyaris maut di malam Ramadan.



MARANG – Tiga parah manakala dua cedera apabila dua buah kereta jenis Proton Iswara dan sebuah Proton Waja terlibat dalam kemalangan di Kilometer 43, Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Kampung Gong Balai, di sini, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.55 malam itu, pemandu Proton Iswara, Mohd Syafiq Mohd, 22, patah paha kanan dan penumpang kereta tersebut juga merupakan adik perempuannya, Khairun Nadihah, 19, cedera di bahagian kepala dan anggota badan.

Manakala pemandu sebuah lagi Proton Iswara, Mohd Saiful Islam Abd Razak, 21, juga patah peha kanan manakala dua penumpang kereta, Mohd Yusuf Abd Razak, 23, dan Shukri Mat Naib, 22, cedera di bahagian muka dan badan.

Kedua-dua pemandu dan seorang penumpang itu cedera parah akibat terhumban ke bahagian depan kenderaan dan ketiga-tiga mangsa terbabit dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Supritendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

Difahamkan kejadian berlaku apabila kereta Proton Iswara dipandu Mohd Syafiq dari arah Marang ke Dungun sedang dalam perjalanan ke rumah keluarganya di Kampung Pasir Puteh, Marang lebih kurang sepuluh kilometer dari tempat kejadian.

“Manakala Mohd Saiful Islam pula dari arah bertentangan cuba memotong sebuah kereta Proton Waja di hadapannya. Namun dia gagal berbuat demikian kerana kereta Proton Iswara dipandu Mohd Syafiq berada terlalu dekat di hadapan.

"Pemandu itu cuba masuk semula ke lorong kiri tetapi gagal dan bergesel dengan Proton Waja, menyebabkan kereta Proton Waja berpusing lalu terbabas ke kiri jalan sebelum dua Proton Iswara itu bertembung," katanya.


(Selamat berpuasa, berhati-hati di jalan raya agar sempat berbuka di rumah)