Friday, August 5, 2011

Tanya rumah, tanya cangkul akhirnya samun rantai.


MARANG - Seorang warga emas berputih mata selepas disamun seorang penjenayah yang melarikan rantai lehernya yang bernilai kira-kira RM10,000 ketika sedang menyapu sampah di halaman rumahnya di Kampung Rawai di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.00 pagi itu, leher mangsa yang berusia 73 tahun juga luka selepas penjenayah terbabit dengan rakusnya merentap rantai itu sebelum melarikan diri menggunakan motosikal bersama seorang lagi rakan jenayahnya.

Mangsa, Teh Embong berkata, dia didatangi dua lelaki terbabit yang menaiki sebuah motosikal, seorang turun untuk bertanya mengenai rumah di kawasan itu manakala seorang lagi tunggu di motosikal, ketika dia sedang menyapu di halaman rumah.

Teh berkata, sedang dia leka bercakap sambil menyapu, tiba-tiba lelaki yang berada dihadapannya itu mengeluarkan sebilah pisau dan mengacukan senjata itu ke arah lehernya sebelum meragut rantainya dan menyebabkan dia cedera di leher.

“Lelaki itu kemudian terus melarikan diri dengan motosikal bersama seorang lagi lelaki yang datang bersamanya selepas meragut rantai leher mak cik dan hilang sekelip mata,” katanya menceritakan semula detik cemas kejadian samun berlaku pada pertama Ramadan itu.

Mangsa ketika ditemui semalam, masih trauma dengan kejadian itu kerana ia merupakan kejadian pertama berlaku ke atas dirinya malah turut mendakwa mengalami kerugian yang besar apabila rantai emas itu dianggarkan bernilai kira-kira RM10,000.



Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan, Ahmad Mazlan Yahya (gambar) ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan polis telah menerima laporan mengenai kejadian itu.

Sementara itu, dalam satu kejadian berasingan di daerah Besut, petang semalam, seorang lelaki berpura-pura ingin meminjam cangkul sebelum bertindak menyamun seutas rantai emas daripada seorang warga emas dalam kejadian di Kampung Air Putih Kerandang.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan, Kamaruddin Zakaria berkata dalam kejadian kira-kira 9 pagi, mangsa berumur 87 tahun, tinggal bersendirian ketika itu didatangi seorang lelaki yang dikenalinya dengan alasan untuk meminjam cangkul.

"Setelah mangsa memberitahu dia tidak mempunyai cangkul, suspek berusia 24 tahun dari Kampung Tanah Merah Keradang berpura-pura beredar, namun selepas itu berpatah balik dan menerkam mangsa sebelum meragut rantai lehernya bernilai RM7,000," katanya.

Kamaruddin berkata, mangsa kemudian menjerit meminta tolong dan jeritannya itu didengari oleh jiran-jiran berhampiran sebelum mereka bertindak mengejar serta menahan suspek yang merupakan penagih dadah.

Katanya, suspek kemudiannya diserahkan kepada polis bersama rantai emas yang disamun bagi membantu siasatan. Ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah.

Sehubungan itu, Kamaruddin mengingatkan suri rumah supaya sentiasa berwaspada apabila didatangi orang yang meragukan kerana telah terdapat tiga kes yang sama dalam tempoh sebulan seumpama itu berlaku di Besut.


ends

Dan peringatan itu bukan hanya kepada mak cik-mak cik di Marang dan Besut.....

No comments: