Monday, August 8, 2011

Gian berjudi tidak hirau Ramadan.


MARANG – Jika umat Islam berebut-rebut mengumpul pahala sempena Ramadan, empat individu Islam di sini, pula berebut-rebut bertaruh dan berjudi di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Belukar Gorek, Kampung Belukar Gorek, Bukit Payong, petang semalam.

Dalam serbuan polis kira-kira jam 6.15 petang itu, kesemua mereka yang berusia antara 22 hingga 37 tahun diberkas ketika sedang duduk di atas lantai dengan mengelilingi sejumlah wang tunai dan daun terup di bahagian dapur rumah yang tidak bernombor itu.

Operasi mencegah aktiviti perjudian secara terbuka itu dilakukan sekumpulan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang diketuai seorang pegawai, Khairul Ridzuan Salleh melalui hasil risikan dan bertindak atas maklumat orang awam.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahya ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan mengenai tangkapan itu berkata, turut dirampas, tunai dipercayai wang taruhan berjumlah RM873,00, dan 52 keping daun terup di atas lantai.

Menurutnya, dalam serbuan itu, terdapat lima lelaki yang sedang leka bermain judi, bagaimanapun salah seorang daripada mereka berjaya melarikan diri apabila menyedari kehadiran anggota polis manakala empat lagi gagal untuk berbuat demikian.

“Kesemua mereka telah ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Pindaan 1990) Akta A 755 dan dibaca bersama dengan Seksyen 34kanun yang sama,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini, semalam.

Difahamkan tiga daripada empat individu terbabit adalah penduduk tempatan manakala seorang dari mereka beralamat dari Kampung Air Sejuk, Setiu yang dikatakan sanggup datang dari jauh ke rumah itu semata-mata untuk berjudi bersama rakan-rakannya.

No comments: