Friday, May 27, 2011

Bantu dapat anak.


MARANG (27 MEI) – Seorang pesara bomba di sini, mendakwa mampu memberi harapan baru kepada pasangan suami isteri yang masih gagal untuk mendapatkan zuriat walaupun sudah lama berumah tangga kerana mengalami masalah kesuburan.

Bekas Pegawai Bomba Kanan, PBK II Che Wan Abdul Aziz Che Wan Mansor, 56, menawarkan diri bagi membantu pasangan terbabit melalui kaedah perubatan tradisional Cina yang dipelajarinya dari anak seorang tabib beberapa tahun lalu.

Abdul Aziz berkata, kaedah perubatan menggunakan ikan yu dan air rebusan pelbagai herba ditempah khas dari China itu bersesuaian bagi lelaki dan wanita yang sukar mendapatkan anak selepas beberapa tahun berkahwin kerana masalah dalaman.

Bagaimanapun, Abdul Aziz ketika ditanya mengenai ramuan herba tradisional ditempah khas dari negeri China itu, enggan untuk berkongsi jenis-jenis herba digunakan ketika ditemui wartawan cabuk di rumahnya di hadapan Masjid Binjai Rendah di sini.

Abdul Aziz berkata, kaedah tradisional itu jauh lebih murah berbanding kaedah perubatan moden yang tinggi sehingga mampu menelan kos perbelanjaan antara RM10,000 sehingga RM15, 000 bagi mengatasi masalah kesuburan.

Menurut Abdul Aziz, dia mula menawarkan khidmat membantu pasangan-pasangan kurang bernasib baik itu selepas bersara sejak tahun lalu dan ada di kalangan pasangan yang menemuinya berjaya mendapatkan zuriat dengan izin Allah.

Selain itu, Abdul Aziz turut berpendapat peningkatan masalah kesuburan di kalangan pasangan berpunca daripada lelaki kerana perubahan kadar kesuburan yang dipengaruhi gaya hidup lelaki kerana kuat merokok dan mengambil bahan larangan lain.

No comments: