Sunday, May 29, 2011

Ninja ceroboh JKR Marang.


BANDAR MARANG (29 Mei) – Ceroboh ala‘ninja’. Demikianlah gambaran sesuai diberikan kepada penjenayah yang menceroboh bangunan pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah, yang terletak di tepi jalan utama di sini, hari ini.

Penjenayah terbabit menceroboh kawasan bangunan selepas merosakkan pagar sebelum bertindak memanjat bahagian belakang bangunan dan masuk melalui atap dan keluar melalui siling di tingkat dua antara 12.00 hingga 6.00 pagi.

Penolong Jurutera daerah, Makroof Abdullah, 53, (gambar) berkata, kakitangan pejabatnya hanya menyedari kejadian berlaku apabila tiba di pejabat kira-kira 7.30 pagi tadi.

“Saya dimaklumkan mengenai perkara itu oleh pembantu pejabat yang membuka pintu pejabat hari ini (semalam), selepas masuk ke dalam saya dapati keadaan dalam pejabat ini berselerak,” katanya kepada wartawan cabuk di sini, hari ini.

Makroof berkata, dalam kejadian itu pelbagai barangan berharga seperti dua buah komputer riba, empat unit kamera digital dan wang tunai berjumlah kira-kira RM750, milik kakitangan pejabat didapati hilang.

"Namun, anggaran sebenar kerugian masih belum dapat dipastikan,” katanya.

Makroof berkata, berikutan kejadian itu satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi wartawan cabuk mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

Ends

No comments: