Thursday, May 26, 2011

Dua beradik nekad kejar peragut.


MARANG (25 Mei) - Dua beradik yang menaiki sebuah motosikal bertindak nekad mengejar peragut sejauh kira-kira dua kilometer selepas beg galas dibawa diragut di Jalan Kuala Terengganu ke Kuala Berang di Kampung Wakaf Dua di sini.

Namun, tindakan berani Nur Nazifah Abd Ghani, 20, dan adiknya, Nursuhada, 17, mengejar lelaki bermotosikal dari tempat kejadian hingga ke Kampung Paya Resak tidak berjaya kerana peragut terlepas selepas mereka terjatuh di atas jalan.

Menceritakan kejadian kira-kira jam 9.00 malam itu, Nur Nazifah berkata, setibanya di Kampung Wakaf Dua beg galas yang diletakkan di atas riba adiknya, Nursuhada, direntap seorang penunggang motosikal yang datang dari arah belakang.

Menurutnya, selepas diragut mereka menjerit meminta pertolongan namun jeritan tidak didengari sesiapa menyebabkan mereka bertindak nekad mengejar peragut sebelum terjatuh di atas jalan kerana gagal mengawal motosikal.

“Sebelum kejadian kami tidak menyedari diekori seorang lelaki menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Ego berwarna hitam dan selepas beg kami diragut saya menjerit meminta pertolongan tetapi tiada orang di situ sebelum mengejarnya.

“Kejadian itu berlaku di Jalan Kuala Terengganu ke Kuala Berang di Wakaf Dua ketika kami sedang dalam perjalanan pulang ke rumah dari Pustaka Seri Intan, Bukit Payong,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Paya Resak di sini.

Berikutan kejadian itu, Nur Nazifah menerima tiga jahitan di pipi kiri manakala adiknya pula mengalami kecederaan di kaki kiri selepas dikejarkan ke klinik berdekatan oleh pengguna jalan raya yang melihat mangsa terjatuh di atas jalan.

Menurutnya, dia turut mengalami kerugian selepas wang tunai berjumlah RM300, beberapa dokumen penting dan telefon bimbit di dalam beg galas dilarikan peragut yang memakai topi keledar putih, berseluar pendek dan memakai t-shirt gelap itu.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi Sinar Harian semalam, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu namun enggan mengulas lanjut kerana kes itu masih dalam siasatan pihak polis.

Dalam pada itu, wartawan cabuk difahamkan cctv di lokasi kejadian juga tidak berfungsi menyebabkan penjenayah terbabit gagal untuk dikenalpasti.

No comments: