Thursday, May 26, 2011

Lagi kes pelajar dipukul.

KUALA TERENGGANU, 26 Mei (Bernama) -- Seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Bukit Tunggal di sini, menerima tujuh jahitan di telinga kiri selepas didakwa dipukul oleh seorang pelajar tingkatan satu dari sekolah yang sama.

Ibu mangsa Fatimah Ngah, 54, berkata dalam kejadian kira-kira 1 petang Rabu, anak bongsunya Abdul Rahman Abdul Ghani sedang duduk di dalam kelas sementara menunggu peperiksaan pertengahan tahun.

Bagaimanapun secara tiba-tiba datang seorang pelajar lelaki dari kelas lain, terus menyepak di bahagian pipi kanan dan menyebabkan mangsa rebah lalu terkena cermin tingkap.

Selepas dipukul, mangsa dikatakan menghubungi abangnya bagi memaklumkan tentang kejadian itu dan terus dibawa pulang ke rumah di Kampung Bukit Kandis, di sini.

"Saya terkejut melihat anak saya pulang ke rumah bersama abangnya dengan keadaan baju berlumuran darah dan dia memberitahu dia dipukul oleh pelajar lain tanpa mengetahui punca sebenar," katanya pada Khamis.

Menurut beliau, abang mangsa yang berusia 26 tahun kemudian bergegas membawa Abdul Rahman ke Klinik Kesihatan Bukit Tunggal sebelum menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan membuat laporan polis pada 4.11 petang.

Fatimah mendakwa anaknya tidak pernah menghadapi masalah dengan rakan yang lain kerana anaknya seorang yang pendiam dan amat berharap pihak polis dapat menyiasat kes itu secepat mungkin.

Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K Manoharan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.

Katanya polis percaya mangsa dipukul oleh pelajar lain dari sekolah yang sama dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana cubaan mendatangkan kecederaan.

Dalam pada itu, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Bukit Tunggal yang dipercayai memukul rakannya sehingga menyebabkan mangsa terpaksa menerima tujuh jahitan Rabu lepas, bakal berhadapan dengan tindakan gantung sekolah.

Pengetua sekolah berkenaan, Zakiah Salleh berkata tindakan itu akan diambil jika siasatan yang dilakukan oleh pihak sekolah mendapati pelajar itu terlibat dalam kejadian memukul mangsa Abdul Rahman Abdul Ghani.

"Pihak sekolah sedang menyiasat punca sebenar pergaduhan tersebut dan jika didapati pelajar berkenaan bersalah hukuman sewajarnya akan dikenakan," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa di rumahnya di Kampung Bukit Kandis pada Jumaat.

Beliau juga telah mengarahkan guru disiplin dan guru hal ehwal pelajar untuk membuat siasatan bagi mendapatkan maklumat lengkap berhubung kes berkenaan, selain tindakan memanggil ibu bapa pelajar berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut.

No comments: