Tuesday, May 31, 2011

Marang dapat RM5 juta.


MARANG - Kerajaan Negeri mengenalpasti beberapa jalan dan longkang yang perlu dibina melibatkan peruntukan kira-kira RM5 juta pada lawatan kerja Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said ke daerah Marang semalam.

Ahmad berkata, antara peruntukan itu ialah bagi melebarkan jalan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1 juta manakala sebanyak RM1.5 juta bagi kawasan DUN Rhu Rendang.

Menurutnya, sebanyak RM1 juta pula diperuntukkan bagi meluruskan satu selekoh di Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Kampung Alor Tuman, Pulau Kerengga di mana lokasi berkenaan dikenal pasti sering menyumbang berlakunya kemalangan maut.

Ahmad yang juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, lain-lain peruntukan ialah bagi membina dan melebarkan jalan di DUN Alor Limbat dan DUN Bukit Payong masing-masing sebanyak RM700,000.

Terdahulu katanya, Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan lebih RM20 juta bagi membina jalan baru dan melebarkan jalan-jalan sedia ada, membina longkang serta kemudahan-kemudahan lain seperti pasar untuk keselesaan rakyat sejak tahun lalu.

Salute Nik Dir kerana mampu bawa perubahan kepada pengundi DUN Rhu Rendang walaupun bukan YB....

Padah terlelap.



Guru sekolah rendah mangsa nahas terbaru...cuti persekolahan.

JAMBU BONGKOK (31 Mei) - Hasrat seorang guru membawa anak dan rakan anaknya pulang ke kampung sempena cuti semester nyaris tidak kesampaian apabila terlibat dalam kemalangan di Kilometer 54 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di sini.

Dalam kejadian pukul 4.50 petang semalam, kereta jenis Proton Iswara dipandu Teh Chee Seng, 50, terbabas sejauh 20 meter ke kanan jalan dan merempuh papan tanda lalu terbabas ke dalam semak gara-gara terlelap semasa memandu.

Bagaimanapun, mangsa bersama anaknya,Teh Weng Kern, 21 dan rakan anaknya, Lee Econ, 23, bernasib baik kerana hanya mengalami kecederaan ringan meskipun keadaan kenderaan dinaiki rosak di bahagian enjin dan cermin hadapan.

Chee Seng yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Segamat Baru berkata, mereka dalam perjalanan dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Gong Badak menuju ke Segamat, Johor untuk membawa anak dan rakan anaknya pulang bercuti.

“Akibat terlelap, kereta ini terbabas ke tepi jalan kemudian merempuh tiang papan tanda iklan sebelum terbabas ke dalam semak. Kami semua terhumban ke arah hadapan cermin kereta tetapi mujurlah tidak cedera,” katanya kepada wartawan cabuk.

Chee Seng berkata, rempuhan kuat itu juga menyebabkan papan tanda iklan di situ roboh sehingga menarik perhatian pemandu lain yang melalui laluan utama Kuala Terengganu ke Kuantan itu termasuk penduduk berdekatan.

Sementara itu, anaknya, Weng Kern berkata, dia dan rakannya sudah tidak sabar untuk berjumpa ahli keluarga selepas dibenarkan pulang menyambut cuti semester pertama pengajian namun tidak menyangka kejadian menimpa mereka.

Ketua Polis daerah, Deputi Supritendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan meminta pengguna jalan raya agar berhati-hati memandu berikutan pertambahan kenderaan di jalan raya sempena cuti persekolahan.

Tiada apa yang lebih baik dari saling berpesan.......dan kawasan sering berlaku kemalangan apabila perayaan dan cuti persekolahan di Negeri Terengganu (sumber JPJ negeri) 2010.

Di Kuala Terengganu jalan yang dikenal pasti berisiko kemalangan ialah di Km15 - Km24Jalan Kuala Terengganu - Kota Baharu, Km4 - Km12 Jalan Kuala Terengganu - Kuala Berang, Km15 - Km35 Jalan Kuala Terengganu Kampung Raja dan Km6 - Km10 Jalan Kuala Terengganu-Seberang Takir.

Di Besut : Km 98 - Km114 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Km 6 – Km 10 Jalan Kampung Raja - Alor Lintang, Km 1 – Km 20 Jalan Jertih - Kampung Raja, Km 1 - Km35 Jalan Jertih - Keruak dan Km 1 - Km28 Jalan Jertih - Bukit Puteri.

Di Marang : Km 18 – Km 60 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dan Km 15 - Km28 Jalan Kuala Terengganu - Kuala Berang.

Di Dungun : Km 61 - 69, Km 74 – Km 89 dan Km 91 – Km 102 Jalan Kuala Terengganu -Kuantan dan Km 58 – Km 75, Km 77 – Km 89 dan Km 95 - Km 108 Jalan Jerangau-Jabor.

Di Kemaman : Km 110 - 115, Km 120 - 138, Km 140 - 141 dan Km 149 - 158 Jalan Kuala Terengganu - Kuantan, Km 122 – Km 148 dan Km 155 – Km 179 Jalan Jerangau-Jabor dan Km 14 – Km 16 Jalan Cukai - Air Putih.

Di Setiu : Km 46 – Km 49, Km 51 – Km 53, Km 65 – Km 68 dan Km 82 – Km 84 Jalan Kuala Terengganu - Kota Baharu, Km 41 – Km 44, Km 65 – Km 68 dan Km 73 – Km 75 Jalan Kuala Terengganu - Kampung Raja dan Km 32 – Km 35 Jalan Sungai Tong-Kuala Berang.

.............pandu cermat pun boleh jadi HERO.....

Sunday, May 29, 2011

RM18 juta mengalir begitu sahaja.


HULU TERENGGANU (29 Mei)- Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) mengalami kerugian kira-kira RM18 juta setahun akibat kehilangan air disebabkan paip bocor dan pecah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri Datuk Zaabar Mohd Adib berkata, masalah paip pecah atau bocor itu antara lain disebabkan oleh usia paip yang terlalu lama. ( atau berkualiti rendah?)

"Bagi mengatasi masalah itu SATU mewujudkan pasukan khas bagi memantau kawasan-kawasan terlibat. Kita juga meminta kerjasama penduduk agar melaporkan kepada SATU jika ada sebarang kebocoran paip berlaku di kawasan kediaman mereka.

"Dengan adanya pasukan khas itu, kita sasarkan kehilangan air tak berakaun dapat dikurangkan kepada 35 peratus tahun ini," katanya selepas merasmikan Hari Terbuka Loji Air SATU yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Husein Embong.

Zaabar berkata, SATU ketika ini, menyalurkan 97 peratus bekalan air bersih di seluruh negeri melibatkan 283,000 pengguna melibatkan 14 loji dan dikenakan bayaran 52 sen satu liter kiub berbanding kos memproses air sebanyak 59 sen satu liter kiub.

"Bayaran yang kita kenakan kepada penduduk sangat rendah berbanding kos memproses air bersih dan sudah sampai masanya kajian untuk tarif baru dibuat memandangkan kos memproses air meningkat," katanya.

Zaabar berkata, antara komponen kos utama memproses air ialah bekalan elektrik dan bahan kimia masing-masing melibatkan jumlah RM30 juta (elektrik) dan RM3.8 juta (bahan kimia) pada tahun lepas.

"SATU juga memberi tumpuan kepada kawasan yang kritikal seperti di Kemaman iaitu di kawasan perindustrian Teluk Kalong bagi menyediakan bekalan air kepada pelabur yang akan membuka kilang di situ," katanya.

Tumpuan juga akan dilakukan di Kuala Nerus memandangkan pembangunan pesat sedang berlaku di kawsan itu selain keadaan paip-paip yang sedia ada sudah usang dan sering mengalami kebocoran.

Katanya kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi memulakan kajian pembinaan loji rawatan air yang baru di Kuala Nerus dan daerah Kemaman untuk meningkatkan keselesaan pengguna di kedua-dua kawasan berkenaan.

........RM18 juta boleh tampung kos baik pulih stadium runtuh...

Ninja ceroboh JKR Marang.


BANDAR MARANG (29 Mei) – Ceroboh ala‘ninja’. Demikianlah gambaran sesuai diberikan kepada penjenayah yang menceroboh bangunan pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah, yang terletak di tepi jalan utama di sini, hari ini.

Penjenayah terbabit menceroboh kawasan bangunan selepas merosakkan pagar sebelum bertindak memanjat bahagian belakang bangunan dan masuk melalui atap dan keluar melalui siling di tingkat dua antara 12.00 hingga 6.00 pagi.

Penolong Jurutera daerah, Makroof Abdullah, 53, (gambar) berkata, kakitangan pejabatnya hanya menyedari kejadian berlaku apabila tiba di pejabat kira-kira 7.30 pagi tadi.

“Saya dimaklumkan mengenai perkara itu oleh pembantu pejabat yang membuka pintu pejabat hari ini (semalam), selepas masuk ke dalam saya dapati keadaan dalam pejabat ini berselerak,” katanya kepada wartawan cabuk di sini, hari ini.

Makroof berkata, dalam kejadian itu pelbagai barangan berharga seperti dua buah komputer riba, empat unit kamera digital dan wang tunai berjumlah kira-kira RM750, milik kakitangan pejabat didapati hilang.

"Namun, anggaran sebenar kerugian masih belum dapat dipastikan,” katanya.

Makroof berkata, berikutan kejadian itu satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi wartawan cabuk mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

Ends

Sharing

Suatu hari Nabi Musa AS sedang berjalan-jalan melihat keadaan ummatnya. Tiba-tiba Nabi Musa AS melihat seseorang sedang beribadah. Umur orang itu lebih dari 500 tahun. Orang itu adalah seorang yang ahli ibadah. Nabi Musa AS kemudian menyapa dan mendekatinya. Setelah berbicara sejenak ahli ibadah itu bertanya kepada Nabi Musa AS,

'Wahai Musa AS aku telah beribadah kepada Allah SWT selama 350 tahun tanpa melakukan perbuatan dosa. Di manakah Allah SWT akan meletakkanku di Sorga-Nya?. Tolong sampaikan pertanyaanku ini kepada Allah'.

Nabi Musa AS menunaikan permintaan orang itu. Nabi Musa AS kemudian bermunajat memohon kepada Allah SWT agar Allah SWT memberitahukan kepadanya di mana ummatnya ini akan ditempatkan di akhirat kelak. Allah SWT berfirman,

"Wahai Musa (AS) sampaikanlah kepadanya bahwa Aku akan meletakkannya di dasar Neraka-Ku yang paling dalam". Nabi Musa AS kemudian mengabarkan kepada orang tersebut apa yang telah difirmankan Allah SWT kepadanya. Ahli ibadah itu terkejut. Dengan perasaan sedih ia beranjak dari hadapan Nabi Musa AS. Malamnya ahli ibadah itu terus berfikir mengenai keadaan dirinya. Ia juga mulai terfikir bagai mana dengan keadaan saudara-saudaranya, teman-temannya, dan orang lain yang mereka baru beribadah selama 200 tahun, 300 tahun, dan mereka yang belum beribadah sebanyak dirinya, di mana lagi tempat mereka kelak di akhirat.

Keesokan harinya sekali lagi ia menjumpai Nabi Musa AS. kemudian ia berkata kepada Nabi Musa AS, "Wahai Musa AS, aku rela Allah SWT memasukkan aku ke dalam Neraka-Nya, akan tetapi aku meminta satu permohonan. Aku mohon agar setelah tubuhku ini dimasukkan ke dalam Neraka maka jadikanlah tubuhku ini sebesar-besarnya sehingga seluruh pintu Neraka tertutup oleh tubuhku jadi tidak akan ada seorang pun akan masuk ke dalamnya".

Nabi Musa AS menyampaikan permohonan orang itu kepada Allah SWT. Setelah mendengar apa yang disampaikan oleh Nabi Musa AS maka Allah SWT berfirman, "Wahai Musa (AS) sampaikanlah kepada ummatmu itu bahwa sekarang Aku akan menempatkannya di Surga-Ku yang paling tinggi".

PTPTN beban sepanjang hayat ?...


Bantuan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diperkenalkan kerajaan kini memasuki tahun keempat belas perlaksanaannya pada tahun ini.

Skim kewangan yang membantu pelajar-pelajar memerlukan bantuan kewangan bagi menyambung pelajaran ke institusi-institusi pengajian tinggi di dalam mahupun luar negara, seperti ini amat dialu-alukan ibu bapa golongan berpendapatan rendah.

Ia memberi ‘nyawa’ baru dan kelegaan kepada mereka apabila anak-anak yang cemerlang dapat meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi.

Namun, rata rata bekas pelajar pengajian tinggi yang ditemui, sama ada bekas pelajar IPTA atau IPTS, tetap mengeluh mengenai beban membayar balik PTPTN. Kenapa ia berlaku ?.

Apakah mereka ini tidak bersedia membayar balik pinjaman dari tabung yang memberikan manfaat kepada mereka sewaktu belajar dahulu, atau adakah mereka membayar balik disebabkan beberapa faktor-faktor lain?.

Mengikut sumber PTPTN http://www.bernama.com/bernama/state_news/bm/news.php?id=589592&cat=tm sejak diperkenalkan, kerajaan telah membelanjakan hampir RM33 billion untuk perlaksanaan skim ini.

Bagaimana pun dari segi kutipan bayaran balik purata jumlah yang tertunggak setiap tahun ialah dalam lingkungan RM2.5 billion sehingga tahun ini. Ini menunjukkan proses bayaran balik yang agak mengecewakan.

Mengikut perjanjian pinjaman, mereka diberi masa enam bulan dari tarikh tamat belajar, untuk memulakan bayaran balik.

Ini belum diambil kira tempoh yang lebih lama diperlukan untuk bekas pelajar mengambil masa untuk mendapatkan pekerjaan sesuai dan setaraf dengan mereka...

Keadaan pasaran pekerjaan (job- employment market) semasa yang agak tepu (saturated) menambahkan lagi kesengsaraan dan jumlah masa diperlukan untuk memasuki pasaran kerja. (Pasaran kerja di Malaysia ?....adehhhh)

Apabila sudah bekerja rata-rata majikan memberikan gaji permulaan yang relatifnya rendah berbanding dengan mereka yang telah lama bertapak dijawatan itu, akhirnya pemimjam terpaksa bertungkus lumus menghadapi komitmen-komitmen lain yang dihadapinya.

Ini termasuk komitmen keluarga bagi yang belum berkahwin atau membuat persediaan berkeluarga bagi yang akan berkahwin, (simpanan kahwin RM200 sebulan ?) membeli kenderaan, bayaran sewa rumah atau ansuran membeli rumah, kad-kredit dan lain-lain.

Ini belum diambilkira kos tuntutan sara hidup bagi mereka yang bekerja dibandar-bandar besar. Kehidupan anak-anak muda ini sudah pasti terhimpit dengan desakan-desakan hidup, dan inilah faktor yang menyebabkan bayaran balik PTPTN tidak diberi keutamaan.

Hakikatnya, pihak PTPTN memperkenalkan jadual bayaran balik yang mesra peminjam dan boleh diubahsuai mengikut kemampuan, namun rata-rata masih mengakui jumlah bayaran balik ini masih kurang selesa dan meragukan.

Apa tidaknya seorang bekas pelajar (termasuk isteri aku) yang telah membuat bayaran balik secara berjadual dalam tempoh-tempoh tertentu, terkejut mendapati baki pinjamannya hampir tidak bergerak langsung, jauh sekali untuk berkurangan.

Apabila diajukan perkara itu kepada pihak berkaitan, pihak PTPTN menyatakan hal ini berlaku disebabkan 'caj perkhidmatan' yang dimasukkan sekali dalam perkiraan jumlah pinjaman. Mungkin perkara ini kurang difahami oleh si peminjam.

Apa yang amat dikesali ialah faktor 'hidden cost' ini yang rata-rata membebankan peminjam. (Tidak termasuk kos guaman jika peminjam disaman dan perlu hadir di mahkamah).

Walaupun skim pinjaman ini memberi pinjaman tanpa faedah, tidak seperti yang dikenakan oleh institusi pinjaman lain, namun faktor caj perkhidmatan ini membantut usaha yang telus untuk mengutip balik bayaran, dan dirasakan ia ‘sungguh’ membebankan peminjam.

Apa yang amat diharapkan ialah ketelusan kerajaan untuk mengkaji semula skim ini, dan jika boleh ditukar status pinjaman ke bantuan khusus atau subsidi di mana ia boleh dianggap sebagai bantuan terus kerajaan untuk membantu pelajar memerlukan bantuan kewangan diperingkat pengajian tinggi, tanpa perlu bayaran balik. (Bolehkah???)

Sesetengahnya berpendapat, jika kerajaan berkeupayaan mengeluarkan perbelanjaan tinggi bagi membiayai projek-projek mega, termasuk projek koridor wilayah dan pembelian peralatan ketenteraan yang menjangkau berbillion-billion ringgit, rasanya tidak salah jika perbelanjaan untuk pengajian tinggi ini juga dibiayai sepenuhnya kerajaan.

Wartawan cabuk tak pernah dapat pinjaman PTPTN.

*Isteri aku dan para peminjam skim amat berharap agar PTPTN yang dianggap sebagai 'talian hayat' untuk lepasan pelajar sekolah menyambung pengajian ke peringkat tinggi, tidak pada akhirnya hanya menjadi beban sehingga akhir.........akhir hayat ??

Saturday, May 28, 2011

Rasuah RM1 juta.


KUALA LUMPUR 28 Mei — Sepanjang April tahun lepas hingga Mac tahun ini seramai 462 orang telah ditahan kerana merasuah anggota pengguatkuasa dengan nilai sogokan tertinggi sebanyak RM1 juta.

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Samsiah Abu Bakar berkata daripada jumlah tersebut 422 orang terdiri daripada lelaki, dan seramai 282 orang warga tempatan, manakala selebihnya rakyat asing.

"Nilai sogokan tertinggi secara purata adalah dari RM200,000 hingga RM1 juta dan tangkapan tersebut menunjukkan bahawa SPRM tegas dan kita harap orang ramai juga bertegas menolak tawaran rasuah biarpun dalam jumlah kecil,” katanya.

Samsiah berkata, demikian dalam forum bertajuk “Ke Arah Rasuah Sifar: Peranan NGO Dalam Memerangi Rasuah” bersama Pertubuhan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di sini hari ini. — Bernama

Pelatih PLKN Cancun Park Ditahan Polis Kerana Merahsiakan Kelahiran Bayi

PASIR MAS, 27 Mei (Bernama) -- Seorang pelatih perempuan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Cancun Park, Bukit Tuku dekat sini ditahan polis kerana menyembunyikan kelahiran sehingga menyebabkan kematian bayinya, petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Haliludin Rahim berkata kelahiran 'rahsia' pelatih berkenaan disedari selepas pelatih itu yang mengadu sakit dibawa mendapatkan rawatan di sebuah hospital di sini.

"Pihak hospital kemudian mengesahkan suspek telah melahirkan anak sebelum pihak kita menjalankan pemeriksaan mencari mayat bayi perempuan yang dilahirkan suspek di kawasan kem berkenaan kira-kira pukul 4 petang semalam," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Beliau berkata mayat bayi tersebut dipercayai dijumpai kakitangan PLKN kem berkenaan di belakang asrama pelatih perempuan dalam kawasan kem.

"Mayat bayi seberat 2.6 kilogram tersebut ditemui masih bertali pusat dan dilahirkan cukup sifat. Mayat itu kemudiannya di bawa ke hospital Pasir Mas untuk dibedah siasat," katanya.

Katanya pelatih berkenaan kini dibawa mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Kota Baharu dan ditahan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara Datuk Abdul Hadi Awang Kechil ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kes berkenaan.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti pelatih bagi menjaga maruah pelatih dan keluarga.

"Kita menerima laporan mengenai kes itu dan saya telah mengarahkan komander kem mengambil tindakan mengikut perintah yang ditetapkan dan membuat laporan polis," katanya.

Abdul Hadi berkata pelatih tersebut baru melaporkan diri bersama 300 pelatih lain untuk siri kedua pada 15 Mei lepas.

Menurutnya, pelatih tersebut menjalani pemeriksaan kesihatan seperti pelatih lain sebelum melaporkan diri dan lulus dalam pemeriksaan tersebut*

Friday, May 27, 2011

Bantu dapat anak.


MARANG (27 MEI) – Seorang pesara bomba di sini, mendakwa mampu memberi harapan baru kepada pasangan suami isteri yang masih gagal untuk mendapatkan zuriat walaupun sudah lama berumah tangga kerana mengalami masalah kesuburan.

Bekas Pegawai Bomba Kanan, PBK II Che Wan Abdul Aziz Che Wan Mansor, 56, menawarkan diri bagi membantu pasangan terbabit melalui kaedah perubatan tradisional Cina yang dipelajarinya dari anak seorang tabib beberapa tahun lalu.

Abdul Aziz berkata, kaedah perubatan menggunakan ikan yu dan air rebusan pelbagai herba ditempah khas dari China itu bersesuaian bagi lelaki dan wanita yang sukar mendapatkan anak selepas beberapa tahun berkahwin kerana masalah dalaman.

Bagaimanapun, Abdul Aziz ketika ditanya mengenai ramuan herba tradisional ditempah khas dari negeri China itu, enggan untuk berkongsi jenis-jenis herba digunakan ketika ditemui wartawan cabuk di rumahnya di hadapan Masjid Binjai Rendah di sini.

Abdul Aziz berkata, kaedah tradisional itu jauh lebih murah berbanding kaedah perubatan moden yang tinggi sehingga mampu menelan kos perbelanjaan antara RM10,000 sehingga RM15, 000 bagi mengatasi masalah kesuburan.

Menurut Abdul Aziz, dia mula menawarkan khidmat membantu pasangan-pasangan kurang bernasib baik itu selepas bersara sejak tahun lalu dan ada di kalangan pasangan yang menemuinya berjaya mendapatkan zuriat dengan izin Allah.

Selain itu, Abdul Aziz turut berpendapat peningkatan masalah kesuburan di kalangan pasangan berpunca daripada lelaki kerana perubahan kadar kesuburan yang dipengaruhi gaya hidup lelaki kerana kuat merokok dan mengambil bahan larangan lain.

Dalam kesibukan kita sebagai manusia mencari kesempurnaan dunia, ada di antara kita yang terlupa akan kesempurnaan rohaniah untuk di bawa pulang nanti bertemu yang Maha Esa.

Sering dijadikan alasan "masa" menjadi penghalang untuk berbuat amal kebaikan apatah lagi ibadah. Kalau difikirkan dari aspek perkerjaan....yang lain pun ada tanggungjawab masing-masing. Tetapi mengapa ada pihak yang mampu menyempurnakannya?

Di sini bukanlah saya cuba mengatakan diri saya ini begitu sempurna... hanya sedikit pengatahuan yang diizinkan oleh Allah swt kepada saya untuk dikongsi bersama.

Hidup kita yang sangat singkat ini, penuh dengan banyak perkara dan tanggungjawab untuk dilaksanakan.Tatkala kita sibuk mengerjakan yang lain, kita sering terlupa mengerjakan yang wajib.

Sudah menjadi lumrah kita sebagai manusia perlu mencari keperluan dalam hidup.Tetapi apalah salahnya kalau kita praktikkan sedikit masa untuk menunjukkan rasa kasih dan sayang kita pada Allah yang Maha Mengasihi lagi Maha Pemberi.

Kalau dilihat dari aspek masa yang sering menjadi persoalan atau lebih tepat lagi faktor utama kepada kita, kalau tidak silap kita ada 24 jam sehari.Kita berkerja lebih kurang 8 hingga 10 jam sehari. Kita berehat pula lebih kurang 5 hingga 8 jam.

Kalau dikira masa yang memang betul-betul kita gunakan lebih kurang 18 jam. Tapi kita ada 24 jam. Kita ada lebih kurang 6 jam lagi.Mari kita lihat berapa banyak masa yang diambil untuk mengerjakan solat yang telah diwajibkan ke atas kita.

Kalau saya kira masa yang diambil kalau kita berjemaah di masjid. Jika 4 rakaat + wirid + doa = 15 minit. Kalau kita kira purata dalam 15 minit satu waktu... 15 x 5 = 1 jam 5 minit.. ada baki lagi dalam 4 jam setengah.

Setiap apa yang telah difardhukan ke atas kita adalah tanggungjawab yang kita perlu lakukan walau dalam apa keadaan sekali pun. Ini kerana setiap apa yang wajib itu ada kebaikannya.

Contohnya solat itu sendiri. Selain sebagai penenang jiwa ia juga merupakan "magnet" rezeki. Jadi kenapa perlu kita abaikan? Padahal awalnya tadi kita sendiri yang sibuk dengan pencarian nafkah hidup.

Bila sudah diberikan peluang oleh Allah swt untuk dipermudahkan, kenapa kita perlu pilih jalan yang susah? Itu baru satu, masih banyak lagi amal ibadah yang membawa kebaikan secara terus menerus kepada kita.

Jadi tunggu apa lagi? Rebutlah peluang sementara kita masih ada kudrat melakukannya. Janganlah kita berputus pada rahmat Allah, sesungguhnya Allah swt itu Ar-Rahman dan Ar-Rahim.

Dan takkan pernah Dia mahu melihat hamba-hamba-Nya dalam kesusahan. Seruan saya pada diri saya dan yang lain. Marilah kita perbanyakkan ibadah kita; mudah-mudahan kita akan dirahmati-Nya.

- Artikel iluvislam.com

Thursday, May 26, 2011

Lagi kes pelajar dipukul.

KUALA TERENGGANU, 26 Mei (Bernama) -- Seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Bukit Tunggal di sini, menerima tujuh jahitan di telinga kiri selepas didakwa dipukul oleh seorang pelajar tingkatan satu dari sekolah yang sama.

Ibu mangsa Fatimah Ngah, 54, berkata dalam kejadian kira-kira 1 petang Rabu, anak bongsunya Abdul Rahman Abdul Ghani sedang duduk di dalam kelas sementara menunggu peperiksaan pertengahan tahun.

Bagaimanapun secara tiba-tiba datang seorang pelajar lelaki dari kelas lain, terus menyepak di bahagian pipi kanan dan menyebabkan mangsa rebah lalu terkena cermin tingkap.

Selepas dipukul, mangsa dikatakan menghubungi abangnya bagi memaklumkan tentang kejadian itu dan terus dibawa pulang ke rumah di Kampung Bukit Kandis, di sini.

"Saya terkejut melihat anak saya pulang ke rumah bersama abangnya dengan keadaan baju berlumuran darah dan dia memberitahu dia dipukul oleh pelajar lain tanpa mengetahui punca sebenar," katanya pada Khamis.

Menurut beliau, abang mangsa yang berusia 26 tahun kemudian bergegas membawa Abdul Rahman ke Klinik Kesihatan Bukit Tunggal sebelum menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan membuat laporan polis pada 4.11 petang.

Fatimah mendakwa anaknya tidak pernah menghadapi masalah dengan rakan yang lain kerana anaknya seorang yang pendiam dan amat berharap pihak polis dapat menyiasat kes itu secepat mungkin.

Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K Manoharan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.

Katanya polis percaya mangsa dipukul oleh pelajar lain dari sekolah yang sama dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana cubaan mendatangkan kecederaan.

Dalam pada itu, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Bukit Tunggal yang dipercayai memukul rakannya sehingga menyebabkan mangsa terpaksa menerima tujuh jahitan Rabu lepas, bakal berhadapan dengan tindakan gantung sekolah.

Pengetua sekolah berkenaan, Zakiah Salleh berkata tindakan itu akan diambil jika siasatan yang dilakukan oleh pihak sekolah mendapati pelajar itu terlibat dalam kejadian memukul mangsa Abdul Rahman Abdul Ghani.

"Pihak sekolah sedang menyiasat punca sebenar pergaduhan tersebut dan jika didapati pelajar berkenaan bersalah hukuman sewajarnya akan dikenakan," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa di rumahnya di Kampung Bukit Kandis pada Jumaat.

Beliau juga telah mengarahkan guru disiplin dan guru hal ehwal pelajar untuk membuat siasatan bagi mendapatkan maklumat lengkap berhubung kes berkenaan, selain tindakan memanggil ibu bapa pelajar berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Dua beradik nekad kejar peragut.


MARANG (25 Mei) - Dua beradik yang menaiki sebuah motosikal bertindak nekad mengejar peragut sejauh kira-kira dua kilometer selepas beg galas dibawa diragut di Jalan Kuala Terengganu ke Kuala Berang di Kampung Wakaf Dua di sini.

Namun, tindakan berani Nur Nazifah Abd Ghani, 20, dan adiknya, Nursuhada, 17, mengejar lelaki bermotosikal dari tempat kejadian hingga ke Kampung Paya Resak tidak berjaya kerana peragut terlepas selepas mereka terjatuh di atas jalan.

Menceritakan kejadian kira-kira jam 9.00 malam itu, Nur Nazifah berkata, setibanya di Kampung Wakaf Dua beg galas yang diletakkan di atas riba adiknya, Nursuhada, direntap seorang penunggang motosikal yang datang dari arah belakang.

Menurutnya, selepas diragut mereka menjerit meminta pertolongan namun jeritan tidak didengari sesiapa menyebabkan mereka bertindak nekad mengejar peragut sebelum terjatuh di atas jalan kerana gagal mengawal motosikal.

“Sebelum kejadian kami tidak menyedari diekori seorang lelaki menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Ego berwarna hitam dan selepas beg kami diragut saya menjerit meminta pertolongan tetapi tiada orang di situ sebelum mengejarnya.

“Kejadian itu berlaku di Jalan Kuala Terengganu ke Kuala Berang di Wakaf Dua ketika kami sedang dalam perjalanan pulang ke rumah dari Pustaka Seri Intan, Bukit Payong,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Paya Resak di sini.

Berikutan kejadian itu, Nur Nazifah menerima tiga jahitan di pipi kiri manakala adiknya pula mengalami kecederaan di kaki kiri selepas dikejarkan ke klinik berdekatan oleh pengguna jalan raya yang melihat mangsa terjatuh di atas jalan.

Menurutnya, dia turut mengalami kerugian selepas wang tunai berjumlah RM300, beberapa dokumen penting dan telefon bimbit di dalam beg galas dilarikan peragut yang memakai topi keledar putih, berseluar pendek dan memakai t-shirt gelap itu.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi Sinar Harian semalam, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu namun enggan mengulas lanjut kerana kes itu masih dalam siasatan pihak polis.

Dalam pada itu, wartawan cabuk difahamkan cctv di lokasi kejadian juga tidak berfungsi menyebabkan penjenayah terbabit gagal untuk dikenalpasti.

Minggu terakhir...


MARANG (19 Mei) – Sudah menjadi rutin setiap minggu, seorang penyelia teknikal sebuah syarikat perkapalan dari Kemaman, Tengku Azman Tengku Saibon, 38, akan pulang menjenguk isteri dan tiga anaknya di Pengkalan Chepa, Kota Bharu dengan memandu kereta seorang diri.

Bagaimanapun, suratan takdir sudah menentukan minggu ini adalah minggu terakhir mangsa yang beralamat dari Kampung Putat Pendek, Pasir Mas dapat berbuat demikian selepas pemuda itu maut dalam kemalangan malam, semalam.

Kemalangan yang berlaku lebih kurang jam 9.00 malam di Kilometer 25.5 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Alor Tuman di sini, ketika Tengku Azman dalam perjalanan pulang ke rumah isterinya di Pengkalan Chepa selepas pulang dari kerja.

Difahamkan, nahas itu dipercayai berlaku apabila kereta jenis Mercedes yang dipandu Tengku Azman gagal dikawal sewaktu mengambil selekoh dan terbabas ke kiri jalan lalu merempuh penghadang jalan ketika dalam perjalanan menghala ke Kuala Terengganu.

Sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota dari dari Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Marang diketuai Penolong Kanan Penguasaha Bomba, Mohd Zamri Awang Long dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa tersepit.

Mohd Zamri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu lebih kurang jam 8.30 malam dan tiba di lokasi kemalangan tersebut setengah jam kemudian sebelum berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit kira-kira jam 10.00 malam.

“Kita terpaksa menggunakan pemotong 'hydraulic' untuk mengeluarkan mangsa berikutan keadaan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu selepas kereta yang dipandunya merempuh besi pengadang jalan,” katanya di lokasi kejadian.

Dalam pada itu, Pemangku Ketua Polis daerah, Asisten Superintendan Mohamad Zohan Seman ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kemalangan di Kilometer 25.5 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan tersebut.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan dalaman yang teruk di dada dan siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku tanpa melibatkan pertembungan dengan kenderaan lain.