Monday, August 22, 2011

Dua remaja maut, motosikal bertembung.


MARANG – Seorang mekanik bengkel motosikal dan seorang pelajarTingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Mansor maut apabila motosikal ditunggangi mereka bertembung sebelum waktu berbuka di sini, malam kelmarin.

Mereka yang maut dalam kejadian di Jalan Surau Haji Yaakob ke Titian Baru, Kedai Buluh lebih kurang jam 7.00 malam itu ialah Mohd Amirulazlan Shafie, 21, dari Kampung Surau Panjang dan Adam Safuan Jaafar, 15, dari Kampung Surau Haji Daud.

Mohd Amirulazlan menunggang Honda EX5 meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala Adam Safuan menunggang Honda C70 tanpa lesen meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Difahamkan, sebelum kejadian, Mohd Amirulazlan dalam perjalanan dari Mak Kemas menuju ke Titian Baru manakala Adam Safuan yang keriangan menunggang motosikal dengan laju bersama seorang lagi rakannya datang dari arah bertentangan.

Ketua Polis daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahya berkata, kedua-dua mangsa dikatakan bertembung manakala rakan Adam Safuan yang dipercayai mengekori dari belakang motosikalnya sempat mengelak sebelum terbabas ke kiri jalan.

“Kita percaya kedua-dua mangsa menunggang motosikal dalam keadaan laju dan akibat rempuhan yang kuat itu ia menyebabkan kedua-duanya mengalami kecederaan parah di kepala dan anggota badan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Polis masih menyiasat punca kemalangan itu mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan melulu dan mayat mangsa telah dihantar ke HSNZ sebelum dituntut keluarga untuk pengkebumian semalam.

No comments: