Thursday, August 18, 2011

Sorok mercun dalam reban ayam.


MARANG - Bagi mendapatkan keuntungan besar dengan cara mudah dalam tempoh singkat, tiga individu berumur antara 20 hingga 45 tahun dari daerah ini sanggup menjual mercun kepada orang ramai sempena Aidilfitri ini.

Malah, seorang dari tiga lelaki ditahan dipercayai pembekal mercun sanggup menyorok bahan larangan itu di dalam reban ayam bagi mengelak ia ditemui pihak berkuasa agar dapat dipasarkan kepada orang ramai sekitar sini.

Bagaimanapun, tindakan mereka akhirnya membawa padah apabila ketiga-tiganya berjaya ditahan polis dalam tiga serbuan berasingan dijalankan pada Isnin dan Selasa lalu.

Hasil serbuan pertama sepasukan anggota dan pegawai polis pada Isnin lalu, kira-kira jam 3 pagi itu, polis berjaya merampas pelbagai jenis mercun bernilai kira-kira RM500di sebuah kedai di Kampung Alor Wan Syed, Pengkalan Berangan di sini.

Manakala dalam serbuan kedua pada Selasa lalu, kira-kira jam 8.45 malam, sepasukan anggota polis diketuai Inspektor Khairul Ridzuan Salleh itu turut berjaya merampas pelbagai jenis mercun bernilai RM300 di sebuah rumah di Taman Safiah Murni.

Ketua Polis daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya berkata, selain dua peniaga mercun secara kecil-kecilan itu, seorang lelaki dipercayai menjadi pembekal mercun yang bergerak aktif di daerah ini juga ditahan.

Menurutnya, pembekal mercun terbabit ditahan dalam serbuan ketiga juga pada Selasa lalu, kira-kira jam 9.30 malam dan pihaknya berjaya merampas pelbagai jenis mercun bernilai kira-kira RM7,000 di sebuah rumah di Kampung Rhu Rendang, di sini.

“Sebahagian besar mercun bernilai RM7,000 yang dirampas daripada lelaki ini turut ditemui tersorok di dalam reban ayam berdekatan rumahnya,” katanya di sini, semalam.

No comments: