Tuesday, June 28, 2011

Geng YUSUFF KERINTING tumpas



MARANG - Polis Terengganu percaya berjaya melumpuhkan sindiket mencuri dan menjual kereta mewah di negeri ini dengan tertangkapnya lima anggota Geng Yusuff Kerinting dalam beberapa operasi sejak 27 Mei lalu di tiga buah daerah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, sebanyak 10 kereta mewah bernilai kira-kira RM800,000 ditemui semula yang kebanyakannya telah diubah nombor casis dan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Menurut beliau, anggota geng yang merupakan rakyat tempatan berusia antara 18 hingga 51 tahun itu berjaya ditahan dibeberapa operasi berasingan di daerah Marang, Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu sejak 27 Mei lalu oleh polis Marang.

“Bersama dengan tangkapan lima lelaki itu, polis berjaya merampas 10 buah kereta mewah pelbagai jenis antaranya, Toyota Camry, Toyota Harrier, Toyota Wish, Mitsubishi Triton, Mitsubishi Storm dan Proton Viva.

“Selebihnya adalah dua buah Toyota Caldina dan dua buah Perodua Mywi di tiga daerah tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di sini, petang tadi.

Manoharan berkata, hasil pemeriksaan ke atas semua kenderaan itu mendapati terdapat kesan gangguan pada nombor enjin dan nombor casis empat buah kenderaan dirampas.

Menurutnya, kenderaan itu adalah Toyota Camry dilaporkan hilang di Kulai, Mitsubishi Triton di Kampung Raja dan Perodua Mywi di Wangsa Maju manakala nombor chasis Mitsubishi Storm tidak dapat ditimbulkan kerana kikisannya yang terlalu dalam.

“Manakala selebihnya iaitu sebanyak enam buah lagi kenderaan merupakan kenderaan yang tidak dijelaskan ansuran atau dikenali sebagai kereta sakit dan polis percaya sindiket itu mula beroperasi sejak 2009 serta berjaya mengenalpasti identiti suspek utama.

“Suspek utama dikenali sebagai Yusuff Kerinting berasal dari Kota Bharu, Kelantan dipercayai bertanggung jawab membekalkan semua kenderaan itu dan menguruskan pendaftaran nombor pendaftaran baru secara palsu kepada suspek ditangkap,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, suspek utama itu disahkan meninggal dunia Disember tahun lalu.

Pihak polis masih meneruskan siasatan ke atas sindiket ini dan sebarang maklumat boleh disalurkan kepada IPD Marang di talian 09 – 6182222.

Thursday, June 23, 2011

'Bay watch' di pantai Terengganu.


KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu dengan kerjasama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) akan menempatkan pengawal keselamatan pantai di tempat-tempat peranginan seperti di pulau-pulau dan tempat penginapan berhampiran pantai di negeri ini.

Ia bertujuan untuk mempertingkatkan keselamatan dan keselesaan pelancong berkunjung ke pusat-pusat peranginan berkenaan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Datuk Abdul Rahin Mohd Said.

"Untuk peringkat awal seramai lapan pengawal pantai ditempatkan di Pantai Bukit Keluang, Kuala Besut dan Pulau Redang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran pengawal pantai di Pulau Redang di sini pada Khamis. Turut hadir Pengarah Pejabat Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Fathil Abd Ghani.

Katanya, untuk pusat-pusat pelancongan yang ingin menempatkan pengawal pantai di tempat peranginan mereka, kerajaan negeri dengan kerjasama pihak hotel, bersedia memberikan peruntukan sebanyak lima peratus daripada penyediaan alat keselamatan serta kos melatih pengawal keselamatan itu.

Presiden Pas arah ahli 'turun' KL 9 Julai.


KUALA LUMPUR, 23 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengarahkan semua ahli dan penyokong PAS agar datang ke Kuala Lumpur pada 9 Julai ini bagi menyertai perhimpunan Bersih 2.0.

"Saya menyeru semua ahli dan penyokong PAS menyertai perhimpunan Bersih 9 Julai ini untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil," kata Abdul Hadi dalam sidang media bersama Harakah di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, sebentar tadi.

Perhimpunan Bersih 2.0 akan diadakan di Kuala Lumpur 9 Julai ini. Pengerusi Bersih 2.0 adalah bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Srenevasan. Anggotanya terdiri daripada para pemimpin NG0, manakala PAS, PKR dan DAP menyokong perhimpunan itu.

Menurut Abdul Hadi, perhimpunan tersebut mempunyai tujuan yang amat murni dan perlu disokong oleh semua pihak serta dijamin aman sesuai dengan matlamatnya yang murni.

Sehubungan itu, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS serta setiap pihak yang menyertainya dilarang melakukan sebarang kekacauan, mengganggu ketenteraman awam dan kerosakan harta benda awam.

"Setiap ahli PAS yang menyertainya jangan sekali-kali membawa senjata. Saya juga suka mengingatkan ahli-ahli PAS agar jangan bermusuhan dengan pihak polis," katanya yang juga ahli Parlimen Marang

Tuesday, June 21, 2011

Insentif khas suami macam Salih



KOTA BHARU 21 Jun – Kerajaan Pas Kelantan bercadang memberi insentif khas kepada golongan suami yang tidak menyembunyikan perkahwinan lain daripada isteri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri, Wan Ubaidah Omar berkata, pemberian insentif khas itu sebagai galakan kepada para suami agar tidak menyembunyikan perkahwinan berikutnya itu daripada diketahui isteri dan anggota keluarga yang lain.

"Ada syaratnya dan kalau anda seperti Salih Yaccob (penyanyi dan juruhebah Radio Sinar FM) bolehlah ke hadapan untuk terima insentif itu.

"Apa pun ini masih di peringkat cadangan lagi dan jika dipersetujui, bukan sahaja suami yang akan mendapat penghargaan tetapi kepada isteri-isteri dan anak-anak, mereka juga akan turut mendapat insentif ini nanti,” katanya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Ketika menggulung perbahasan sebelum itu, Wan Ubaidah berkata, kerajaan negeri menyambut baik cadangan itu kerana ketika ini ramai yang masih menyembunyikan perkahwinan kedua dan seterusnya.

Najib hadapi lima tuduhan, dera dan kurung pelatih.



MARANG – Pengurus pusat pemulihan akhlak tidak berdaftar, Mohd Najib Mohtar, 25, menghadapi lima pertuduhan di Mahkamah Majistret Marang di sini, hari ini, kerana mendera dan mengurung penghuni di pusat pemulihan tersebut.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh dari Kampung Pulai Panjang, Jertih ini telah menganaiyai dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi terhadap empat penghuni bawah umur menghuni pusat pemulihan haram itu.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu antara 2 Mei dan 15 Jun lalu di sebuah rumah di Bukit Gasing, di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 itu membawa kepada hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan boleh dikenakan denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.

Mohd Najib yang hadir di Mahkamah dengan memakai kemaja T putih berseluar panjang serta berkopiah juga menghadapi dua pertuduhan mengurung dua penghuni wanita dan 13 penghuni lelaki antara 7 Februari dan 15 Jun di tempat yang sama.

Perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 344 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan boleh didenda.

Dia turut menghadapi dua pertuduhan lain iaitu sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan wayar kabel serta kayu terhadap dua penghuni wanita terbabit, serta menggunakan rotan, wayar kabel, kayu dan rantai besi terhadap 13 lelaki terbabit.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua hukuman itu.

Mohd Najib yang turut ditemani keluarga mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap semua pertuduhan dan dia turut kelihatan mengeleng-gelengkan kepala termasuk menanggalkan kopiah di kepala ketika pertuduhan dibacakan.

Apabila Majistret Nor Azizah Yusof meminta penjelasan punca dia melakukan perbuatan itu, Mohd Najib sempat menjelaskan dia hanya menjalankan kewajipannya menjaga pelatih selepas mendapat keizinan keluarga pelatih untuk berbuat demikian sebelum ini.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mahathir Mohd Yusof, dan Mahkamah kemudiannya menetapkan 19 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tertuduh dibenarkan diikat jamin RM8,000.

Sunday, June 19, 2011

Penjenayah tegar 'Mie Tiger' kantoi menyorok bawah katil.



MARANG – Seorang penjenayah tegar dikenali sebagai ‘Mie Tiger’ yang dikehendaki polis sejak tahun lalu kerana dipercayai terlibat dalam 20 kes jenayah pecah rumah di negeri ini berjaya ditahan di sebuah rumah di Rawai, Bukit Payong, semalam.

Suspek diberi gelaran itu kerana sebelum ini licik melepaskan diri daripada buruan polis.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya berkata, hasil maklumat awam sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah daerah telah menjalankan serbuan ke sebuah rumah di Rawai pada jam 6.30 petang.

Menurutnya, sebelum hendak ditahan, suspek berumur 23 tahun itu sedang tidur di bahagian dapur rumah dan cuba melarikan diri ke sebuah bilik dengan menyorok di bawah katil selepas keluarganya menyedari kehadiran polis.

“Suspek yang berada di rumah bersama ibu dan adiknya itu juga bergelut dengan anggota polis ketika cuba ditahan namun gagal melarikan diri dalam operasi diketuai Inspektor Khairul Ridzuan Salleh bersama enam lagi anggota,” katanya hari ini.

Ahmad Mazlan berkata, polis yang melakukan pemeriksaan turut menemui tiga biji pil berwarna kemerah-merahan dipercayai pil kuda diletakkan di dalam tiub straw.

“Dadah itu ditemui di dalam poket kecil sebelah kanan seluar panjang yang dipakai suspek,” katanya.

Difahamkan suspek licik ini yang diburu sejak tahun lalu pernah didapati positif dadah sebelum ini pulang dari Kuala Lumpur dan bersembunyi di rumahnya selepas menyaksikan perlawanan akhir Piala FA baru-baru ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 kanun keseksaan.

Saturday, June 18, 2011

Ratusan pokok tumbang, harta benda musnah sekelip mata.



MARANG - Penduduk dan peniaga di kilometer 31 hingga 36, Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Kampung Kuala Tengah, Pulau Kerengga di sini, gempar apabila hujan ribut luar biasa melanda kawasan berkenaan malam semalam.

Dalam kejadian selama 15 minit bermula jam 6.45 hingga 7.00 malam itu, ia dianggap sebagai luar biasa apabila sebuah rumah, sebuah surau, deretan gerai buah-buahan rosak teruk di hempap pokok dan atap diterbangkan angin.

Malah ratusan pokok tumbang di sepanjang jalan sejauh lima kilometer itu.



Menurut seorang mangsa, Mamat Ibrahim, 60, keluarganya berdepan pengalaman dan saat paling menakutkan sejak empat tahun tinggal di kampung itu ketika melihat satu persatu atap rumahnya diterbangkan angin ketika berada di luar rumah.

“Saya bergegas berlari memasuki kedai saya tidak jauh dari rumah, sementara isteri
yang berada dalam rumah ketika itu mencari tempat selamat untuk anak dan cucu kami berlindung dari ancaman angin kencang itu,” katanya ketika ditemui WC di sini.

Sementara itu, isterinya, Zaleha Alwi, 48, berkata, ketika keadaan di luar rumah di landa angin kencang dan hujan lebat dia segera mengumpulkan tiga anak dan mendukung cucu berumur dua tahun yang menangis ketakutan di ruang tamu.

“Saya memujuk cucu saya sambil bertakbir. Tiba-tiba saya dengar bunyi semakin kuat dan dapat merasakan atap rumah kami di bahagian belakang diterbangkan angin namun saya tidak berganjak dari ruang tamu bersama anak dan cucu,” katanya.

Selepas keadaan hujan ribut tersebut reda pasangan terbabit kemudiannya memeriksa bahagian belakang rumah dan mendapati hampir kesemua atap rumah mereka rosak teruk.



Seorang lagi mangsa yang menjalankan perniagaan menjual buah-buahan, Mohd Faiz Firdaus Roslan, 18, berkata, ketika kejadian dia bersama keluarga sedang mengemas untuk pulang namun tidak sempat untuk berbuat demikian.

“Kejadian itu berlaku dalam sekelip mata sahaja, dalam keadaan hujan, ribut kencang itu tiba-tiba melanda menyebabkan gerai ini bergegar sebelum sebatang pokok berdekatan gerai kami tumbang berdekatan dengan van milik ayah.

“Ia tidak habis di situ sahaja apabila canvas yang menutup khemah gerai ini juga koyak dipukul angin kencang manakala saya dan adik perempuan berumur 11 tahun memegang erat tiang khemah agar ia tidak diterbangkan angin,” katanya.



Sementara itu, Pengerusi Surau Ar Rahman Kampung Kuala Tengah, Zulkifli Ngah, 40, berkata, Surau Ar Rahman di kampung itu dibina sekitar 60an dan baru sahaja dibaik pulih dua tahun lalu turut rosak teruk akibat ditimpa pokok tumbang.

Bagi seorang warga emas, Azizah Che Kadir, 68, kejadian hujan ribut itu adalah yang terburuk pernah melanda kampung itu sepanjang hayatnya tinggal di situ apabila ratusan pokok tumbang sepanjang jalan utama sejauh lima kilometer itu.

“Kerosakan itu tidak termasuk harta benda yang ditanggung penduduk tetapi apa yang menghairankan mak cik ialah hanya kampung ini sahaja dilanda ribut kencang sedangkan kampung lain tidak mengalami kejadian itu,” katanya kepada WC.

Thursday, June 16, 2011

Pemuda mati angkara bomoh Siam.

KUALA TERENGGANU – Hasrat sebuah keluarga untuk melihat anak mereka kembali pulih musnah apabila maut di tangan bomoh Siam ketika ‘upacara membuang sihir dan jin’ dalam kejadian di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pulau Rusa, Marang, pagi tadi.

Mangsa, Faizal Harun, 26, dihantar ke rumah bomoh terbabit kira-kira 7.45 malam kelmarin untuk menerima rawatan, namun menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 12.30 pagi semalam selepas pengsan ketika menerima rawatan terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, bomoh dikenali sebagai Kak Yah, 43, berasal dari Thailand dikatakan telah memulakan rawatan dengan memaksa mangsa meminum beberapa jag air.

“Ia dikatakan untuk memastikan mangsa muntah bagi mengeluarkan ‘penyakitnya’ itu tetapi apabila mangsa tidak muntah, bomoh memasukkan paip ke mulut mangsa untuk dia minum.

“Akibatnya, mangsa pengsan dan bomoh terbabit mengakui dia berjaya mengeluarkan penyakit tersebut dan meminta mereka membawanya ke klinik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di IPK Kuala Terengganu di sini.

Beliau berkata, keluarga mangsa kemudian membawanya ke Klinik Kesihatan Merchang, namun mangsa yang juga dikatakan mempunyai penyakit mental disahkan meninggal dunia kira-kira jam 12.30 pagi tadi.

Menurutnya, pihaknya kemudian menyerbu ke rumah bomoh terbabit, namun suspek dan suaminya berumur 33 tahun berasal dari Rantau Panjang, Kelantan telah melarikan diri.

“Kita menerima maklumat awal dari Klinik Kesihatan Merchang dan telah bertindak ekoran laporan polis yang dibuat bapa mangsa, iaitu pengadu berumur 56 tahun pada jam 2.15 pagi di Balai Polis Marang,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu masih disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian.

Dalam masa sama, Manoharan turut menasihatkan orang awam supaya tidak terlalu mempercayai bomoh dan menghentikan rawatan terbabit sekiranya mendapati ia keterlaluan.

Sementara itu, jiran bomoh yang ditemui Wartawan Cabuk menyifatkan kejadian itu sesuatu yang mengejutkan kerana sebelum ini mereka difahamkan bomoh wanita dan suaminya itu jarang menerima atau mengubati pesakit di rumah mereka di Pulau Rusa, Marang.

Seorang penduduk yang yang enggan dikenali berkata, ini kerana pasangan terbabit bekerja sebagai pekerja am di sebuah kilang memproses keropok yang terletak lebih kurang satu kilometer dari rumah mereka sejak lebih setahun lalu.

“Bagaimanapun, pasangan terbabit sudah seminggu tidak ke kilang berkenaan namun kami tidak mengetahui sebabnya,” katanya yang juga pernah mendapatkan rawatan untuk mengurut tangan dan kakinya sebelum ini di rumah bomoh wanita terbabit.

11 mangsa dera termasuk wanita dirantai macam binatang

KUALA TERENGGANU - Polis menahan tiga pekerja sebuah pusat penjagaan dan pemulihan akhlak tidak berdaftar kerana dipercayai terlibat mendera penghuni-penghuni di pusat berkenaan di Bukit Gasing, Marang pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP K Manoharan berkata, ketiga-tiga lelaki berkenaan yang berumur di antara 28 hingga 30 tahun itu ditahan di pusat berkenaan kira-kira pukul 5 petang semalam, berikutan aduan salah seorang bapa kepada penghuni pusat berkenaan.

"Setelah menerima aduan daripada bapa salah seorang penghuni pusat itu, polis bersama Pegawai Kebajikan Masyarakat telah menyerbu dua lot rumah yang dijadikan pusat penjagaan dan pemulihan akhlak bagi menempatkan penghuni wanita dan lelaki itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

"Ketika sampai di rumah pertama yang menempatkan penghuni lelaki, polis mendapati pintu hadapan rumah itu dikunci dengan mangga dan polis mengarahkan salah seorang suspek untuk membuka kunci berkenaan.

"Setelah dibuka, didapati 11 penghuni lelaki yang berumur antara 15 hingga 35 tahun berada dalam rumah tersebut dengan beberapa orang daripada mereka dirantai di bahagian kaki dan tangan," katanya.



Hasil serbuan di rumah kedua pula, polis menemui dua penghuni wanita berumur 23 dan 24 tahun dan hasil soal siasat yang dijalankan, penghuni di pusat jagaan tersebut mengadu mereka telah didera dengan tidak dibenarkan keluar dari rumah termasuk dirotan.

Beliau berkata, penghuni di pusat penjagaan dan pemulihan akhlak itu kemudian diserahkan kepada Rumah Kebajikan Jabatan Kebajikan Masyarakat Marang, manakala mereka yang cedera kerana didera pula dihantar ke hospital untuk rawatan.

Ketiga-tiga lelaki berkenaan kini ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak, dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan alatan dan senjata yang berbahaya.

Wednesday, June 15, 2011

Liga untuk wanita kaki bola.


KOTA BAHARU, 15 Jun (Bernama)- Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mewujudkan liga bola sepak untuk pasukan wanita di setiap negeri bermula pada tahun depan bagi merancakkan sukan bola sepak di negara ini.

Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa berkata perjalanan sistem liga untuk pasukan wanita itu nanti hampir menyamai Liga Malaysia yang diamalkan sekarang dan yakin bakal mendapat sambutan daripada pasukan setiap negeri.

"Keputusan untuk mengadakan liga bola sepak wanita ini telah diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa bola sepak wanita kebangsaan yang dipengerusikan saya beberapa hari lalu.

"Ini satu medan bagi FAM memilih pemain untuk pasukan kebangsaan wanita yang boleh disandarkan harapan menyertai pertandingan peringkat antarabangsa," katanya kepada pemberita di sini, pada Rabu.

Beliau berkata badan induk itu juga akan mengadakan satu karnival bola sepak wanita peringkat kebangsaan pada 23 Julai ini sebagai persiapan memilih pemain untuk mewakili pasukan kebangsaan pada satu kejohanan anjuran Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) di Laos pada Oktober ini.

"Kita ada masa beberapa bulan lagi untuk menyiapkan pasukan wanita kebangsaan ini dan sebab itu karnival bola sepak wanita ini juga akan menjadi landasan untuk memilih pemain ke sana," katanya.

Beliau berkata beberapa pemain futsal wanita yang menyertai beberapa kejohanan futsal yang dianjurkan beberapa pihak sebelum ini juga telah diintai oleh FAM bagi mengambil mereka menyertai pasukan kebangsaan nanti.

Sehubungan itu FAM kini sedang berusaha untuk mencari penganjur utama bagi menaja pasukan wanita kebangsaan dan juga liga bola sepak wanita itu nanti.

Tuesday, June 14, 2011

Pemandu lori balak panggil polis 'bodoh'.

MARANG - Seorang pemandu lori balak didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas mengaku salah mengeluarkan perkataan kesat menghina anggota polis selepas disaman dalam satu sekatan jalan raya pada 31 Mei lalu.

Majistret Nor Azizah Yusof turut memerintahkan hukuman penjara selama dua hari ke atas Abdul Karim K Sydoni, 48, sekiranya gagal untuk membayar denda yang dikenakan.

Tertuduh mengaku salah mengeluarkan perkataan bodoh bagi tujuan menghina dan mengaibkan terhadap dua anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)Marang selepas anggota polis terbabit menahan lori balak dipandunya di jalan Bukit Sawa.

Kesalahan didakwa dilakukannya kira-kira jam 12.00 tengah hari, pada 31 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100 jika sabit kesalahan.



Menurut fakta kes, Abdul Karim ditahan dua anggota polis menaiki kenderaan kelas pelbagai guna (MPV) di Bukit Sawa. Tertuduh ditahan selepas lori balak dipandunya didapati membawa muatan kayu balak secara berbahaya sebelum disaman.

Namun, tertuduh yang tidak berpuas hati dengan notis saman mengeluarkan perkataan bodoh terhadap anggota polis terbabit.

Malah, dalam masa sama turut menghina majistret dengan perkataan sama sebelum beredar dari lokasi kejadian sebelum menyerah diri di IPD Marang pada 7 Jun lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa, Inspektor Mahathir Mohd Yusof.

Monday, June 13, 2011

Mini 'twin tower' dibina di Terengganu.

KUALA TERENGGANU(13 Jun) - Menara berkembar setinggi 30 tingkat, yang bakal menjadi mercu tanda bandar raya ini, akan dibina di sebuah kawasan seluas 16.2 hektar di sini.

Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Mazlan Ngah berkata, menara berkembar yang menelan belanja beratus juta ringgit itu, akan menempatkan pejabat Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan pejabat Yayasan Terengganu.

"Secara dasarnya kerajaan negeri sudah bersetuju membina dua menara di bandar dalam Rancangan Malaysia Ke-10," katanya kepada pemberita selepas pelancaran pelan strategik Yayasan Terengganu di sini pagi tadi.



Mengenai pelan strategik Yayasan Terengganu, beliau berkata, Yayasan Terengganu akan menjadi badan berkanun pertama di Pantai Timur mengadakan kerjasama dengan Arkib Negara.

Selain itu, Yayasan Terengganu akan memberi tumpuan dalam sektor pendidikan anak anak negeri terutamanya bidang doktor pakar.

Tahun ini, katanya Yayasan Terengganu akan menghantar seramai 150 calon untuk mengikuti kursus kedoktoran di beberapa negara termasuk Mesir, Rusia, Ireland dan Indonesia.

Friday, June 10, 2011

Nenas 20 jambul



MARANG – Seorang warga emas yang tinggal di Kampung Belubor, Rusila di sini, tidak menyangka nenas ditanam setahun lalu mempunyai bentuk luar biasa berbeza dari nenas ditanam sekitar perkarangan rumahnya.

Shamsuddin Sulaiman, 74, menyedari kelainan pada nenas itu sejak ia mula membesar.

Tambah pula menurutnya, hanya pokok itu sahaja menunjukkan kelainan berbanding beberapa pokok nenas ditanam di kawasan perkarangan rumahnya itu.

“Saya akhirnya mengambil keputusan memotong nenas ini kerana bimbang ia menjadi makanan haiwan liar yang berkeliaran. Anak dan cucu terkejut selepas melihat nenas ini kerana bentuknya berbeza dan pelik.

“Jika nenas lain mempunyai hanya satu jambul tetapi nenas ini mempunyai lebih dari 20 jambul dan badannya pula berkembar kelihatan seperti cendawan yang sedang kembang,” katanya ketika ditemui WC di rumahnya di sini.



Shamsuddin berkata, sebelum ini dia hanya mendengar dan melihat keanehan berlaku pada buah-buahan seperti pisang dan sebagaimana disiarkan di media massa namun hari ini dia sendiri berdepan dengan situasi pelik tersebut.

“Sehingga hari ini hanya ahli keluarga dan jiran terdekat sahaja mengetahui berkaitan keunikan nenas ini dan kami tidak mengetahui apakah khasiatnya. Jika ada pihak berminat mereka boleh datang mengambilnya di rumah kami,” katanya.

Rumah sarjan musnah dalam kebakaran.



MARANG - Hampir keseluruhan peralatan rumah pasangan anggota polis berpangkat sarjan di tingkat satu pangsapuri kakitangan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang musnah dalam kebakaran di sini, kelmarin.

Pasangan anggota terbabit, Sarjan Abdul Zaini Abdullah, 50, dan Sarjan Rohana Idris, 48, tidak menyangka akan kehilangan harta bendanya sekelip mata dalam kejadian kebakaran dipercayai berpunca dari litar pintas.

Menurut Rohana, sewaktu kejadian, salah seorang dari lima anaknya, Norasifa Fitri, 13, berada dalam bilik dan bergegas keluar dari rumah selepas mendengar bunyi percikan api dan letupan kecil dari arah ruang tamu.

“Anak terkejut dan berlari ke luar rumah memberitahu jiran sebelum jiran terbabit bergegas keluar dari rumah dan cuba membantu memadam kebakaran dengan peralatan pemadam api,” katanya ketika ditemui WC di tempat kejadian.

Rohana berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang sewaktu dia dan suami bekerja.

Menurutnya, setelah diberitahu mengenai kejadian itu, mereka berdua bergegas pulang ke rumah, namum sudah terlambat kerana api sedang marak memusnahkan hampir keseluruhan peralatan rumah yang terdapat di ruang tamu.

“Kami masih tidak pasti jumlah kerugian dan punca sebenar kebakaran itu masih dalam siasatan pihak berkuasa dan saya mengucapkan terima kasih kepada anggota Bomba dan Penyelamat dan jiran kerana berusaha memadamkan api,” katanya.



Bagaimanapun, terubat seketika kesedihan pasangan anggota polis berpangkat sarjan dari IPD Marang itu walaupun dilanda kekecewaan yang begitu meruntun hati apabila peralatan rumah mereka musnah dalam kebakaran tersebut.

Bergegas pergi meninjau dan melawat keluarga keluarga terbabit adalah antara usaha yang dilakukan Ketua Polis Negeri Terengganu, SAC Datuk Jamshah Mustapa bagi merasai sendiri kekecewaan dan bencana menimpa anggotanya.

Hadir sama, Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya.

Ahmad Mazlan ketika ditemui berkata, keluarga mangsa kebakaran akan ditempatkan di rumah baru di pangsapuri sama dan akan menerima pampasan melalui tabung bantuan bencana Polis DiRaja Malaysia (PDRM) terdekat ini.

Thursday, June 9, 2011

Bookie T Team kantoi




KUALA TERENGGANU, 9 Jun - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lelaki dipercayai bookie yang terbabit dalam skandal mengatur perlawanan bola sepak pasukan Piala Presiden T-Team.

Pengarah SPRM Terengganu, Mohd Yusoff Mohd Zain, berkata, suspek yang berusia dalam lingkungan 50-an itu ditahan di Seremban, Negeri Sembilan, kira-kira jam 3 petang semalam.

"Suspek ditahan reman sehingga 12 Jun ini bagi membantu siasatan berhubung sogokan dan sindiket perjudian bola sepak yang melibatkan pemain," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Khamis.

Beliau berkata, dengan tertangkapnya individu penting itu pihaknya dapat melengkapkan siasatan berhubung kes mengatur perlawanan itu yang kini hampir siap 80 peratus.

Katanya, pihaknya telah merekodkan kenyataan daripada semua pihak termasuk pengurusan pasukan, pemain dan jurulatih dan yakin dapat menyelesaikannya kes itu tidak lama lagi.



Sebelum ini, akhbar melaporkan seorang bekas jurulatih pasukan Piala Presiden T-Team membuat pendedahan berhubung amalan rasuah dan mengatur perlawanan yang berlaku dalam pasukan itu tahun lalu.

Dalam laporan terbabit, bekas jurulatih itu mengaku telah menerima rasuah sehingga mencecah ribuan ringgit bagi mengatur perlawanan melibatkan pasukan Piala Presiden T-Team.

Wednesday, June 8, 2011

R Nachimuthu juara Terengganu Masters.

KUALA TERENGGANU - Kejohanan Golf Jemputan Terengganu Masters 2011 (TMGI) kali keenam yang diadakan di Kuala Terengganu Golf Resort, Tok Jembal sejak 3 Jun lalu telah berjaya menarik ramai peserta profesional dari luar negara.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Negeri, Datuk Rahin Mohd Said, kejohanan anjuran Persatuan Golf Terengganu itu kali pertama melibatkan ramai peserta profesional iaitu seramai 118 peserta tempatan dan 32 peserta luar negara.

Beliau berkata, antaranya ialah peserta dari Australia, Brunei, Jepun, Korea, Thailand, Singapura dan Taiwan yang sekaligus menjadi platform terbaik untuk memperkenalkan Terengganu sebagai satu destinasi sukan golf terkemuka.

"Sehubungan itu dalam kejohanan akan datang, kerajaan negeri bercadang untuk menaikkan jumlah hadiah daripada RM23,000 kepada RM30,000 untuk johan pada tahun hadapan.

"Ia bagi menarik lebih ramai lagi peserta profesional dari luar untuk menyertai kejohanan," katanya kepada pemberita selepas penyampaian hadiah kepada pemenang Kejohanan Golf Jemputan Terengganu Masters 2011 yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM150,000.



Pemain golf negara R Nachimuthu (gambar) muncul tempat pertama dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM23,250 manakala tempat kedua dimenangi oleh M Sasidaran (RM16,000) serta Akmal Tarmizee menduduki tempat ketiga (RM9,000).

Menurut Nachimuthu, kemenangan kali ini merupakan yang pertama dimenanginya di Terengganu sejak kejohanan itu dianjurkan pada tahun 2006 dan selepas ini beliau akan membuat persiapan untuk kejohanan golf di Melaka mulai Khamis.

Tuesday, June 7, 2011

PM bukan cita-cita Hadi.

"Saya tidak bercita-cita untuk menjadi PM, saya berazam dan menjadi kewajipan kepada saya untuk menyelamatkan umat Islam, rakyat Malaysia serta negara malaysia itu sendiri," kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.




KOTA BAHARU: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau tidak mahukan jawatan Perdana Menteri jika pakatan pembangkang berjaya dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Abdul Hadi, yang juga Anggota Parlimen Marang, berkata, perjuangan Pas adalah untuk menyelamatkan negara dan memperkenalkan dasar negara berkebajikan yang dibawa oleh pakatan pembangkang.

"Yang penting kita mahu selamatkan negara... sesiapapun boleh jadi Perdana Menteri," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bahawa perubahan kepemimpinan Pas yang kini dikuasai golongan profesional menunjukkan parti itu mahu berkuasa dalam pakatan pembangkang.

Ia termasuk Abdul Hadi yang berhasrat untuk menjadi Perdana Menteri.

Malahan Mohamed Nazri menegaskan peluang Umno untuk meraih undi kaum Melayu pada pilihan raya umum akan datang lebih besar selepas Pas menukar dasar parti itu untuk tidak lagi mempertahankan perjuangan membina negara Islam.

Sebaliknya memperjuangkan 'negara berkebajikan' di mana Umno sudah pun melaksanakannya sejak merdeka.

Respon Hadi mengenai 'negara berkebajikan'....

"Walaupun ada yang mendakwa bahawa kerajaan Bn telah melaksanakan kebajikan, suka saya jelaskan bahawa kebajikan yang Pas kemukakan ini adalah kebajikan berpandukan Al-Quran kebajikan yang menghindarkan rasuah,fitnah, salah guna kuasa serta lain-lain yang bercanggah dengan Islam," katanya.

Monday, June 6, 2011

PGM serah aset kepada APMM.

KUALA TERENGGANU 6 Jun - Pasukan Gerakan Marin (PGM) dijangka menyerahkan pelbagai asetnya dan perjawatan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam masa terdekat.



Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Salleh Mat Rashid berkata, antara aset terbabit ialah 60 buah bot pelbagai jenis dan tujuh pangkalan polis marin selain 570 perjawatan.

"Sebagai cabang di bawah pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), seluruh pegawai dan anggota PGM tetap melaksanakan tugas mereka sebagai polis.

"Biarpun fungsi dan komitmen PGM dikecilkan, namun jika berlaku kejadian jenayah dan pelanggaran undang-undang di laut, pihak PGM bertanggungjawab menjalankan siasatan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Sunday, June 5, 2011

Nenek dalam perjalanan ke masjid maut depan mata cucu.



MARANG –Seorang warga emas, Wazab Omar, 71, dari Kampung Jambu Bongkok di sini, tidak sempat menunaikan solat Asar apabila maut dirempuh sebuah kereta ketika dalam perjalanan ke Masjid Jambu Bongkok kira-kira 4.15 petang, semalam.

Dalam kejadian di kilometer 52.5 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Jambu Bongkok, mangsa membonceng motosikal ditunggang suaminya, Abd Ghani Draman, 75, ketika dalam perjalanan menuju ke masjid kira-kira 500 meter dari rumahnya.

Mangsa maut di tempat kejadian manakala suaminya mengalami kecederaan parah apabila tangan kirinya patah dan tempurung lutut kanannya pecah akibat dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Kenari yang dalam perjalanan dari Dungun ke Kuala Terengganu.

Difahamkan, pemandu Kenari terbabit dipercayai terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh sebuah kereta jenis Proton Pesona dan motosikal dinaiki pasangan warga emas terbabit serta sebuah lagi motosikal yang berada berdekatan di tepi kiri jalan.

Apa yang menyedihkan, Wazab menghembuskan nafas terakhirnya di atas jalan manakala suaminya, Abd Ghani, parah. Seorang lagi penunggang motosikal, Senawi Johari, 64, turut cedera di badan. Kedua-dua mereka kemudiannya dikejarkan ke Hospital Dungun.

Turut dikejarkan ke hospital sama pemandu Kenari terbabit manakala pemandu kereta jenis Proton Pesona, Md Zainuddin Bakar, 36, yang beralamat dari Jambu Bongkok tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kemalangan tersebut berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

WC... Takziah kepada ahli keluarga mangsa, semoga roh arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin.




Bagi cucu mangsa kejadian itu disebabkan kecuaian pemandu yang memandu secara cuai.

"Lebih menyedihkan apabila ia berlaku betul-betul di depan mata saya," kata cucu mangsa (gambar), Nurul Nazratulain Zulkefli, 24.

Dapatkan Sinar Harian edisi Terengganu siaran ISNIN (6 JUN) !!!

Thursday, June 2, 2011

Perogol dipenjara 431 tahun.

PLACERVILLE, California 3 Jun - Wanita yang diculik ketika berusia kanak-kanak dan dirogol berulang kali sepanjang tempoh 18 tahun akhirnya tampil dan membuat kenyataan umum bahawa kejadian itu telah merampas kehidupannya.

Jaycee Dugard, 31, diculik ketika berusia 11 tahun berkata, dia sangat benci setiap saat didera oleh Phillip dan Nancy Garrido dan meluahkan bahawa tidak ada tuhan di cakerawala ini yang memaafkan perbuatan mereka.

Phillip Garrido, memperolehi dua orang anak daripada hubungannya dengan Dugard setelah menculiknya sejak 1991. Garrido, 60, dipenjara 431 tahun, manakala isterinya berusia 55 tahun dipenjara 36 tahun oleh mahkamah.

Pasangan itu didapati bersalah oleh mahkamah pada April lalu setelah kedua-duanya mengaku melakukan jenayah tersebut.

Dugard ditemui hidup pada Ogos 2009 di bahagian rahsia belakang rumah Garrido

Elaun nelayan dipotong RM10.


KUALA TERENGGANU - Kira-kira 70,000 nelayan yang menerima elaun sara hidup sebanyak RM200 sebulan bakal dilindungi dengan skim insurans bagi membantu nelayan negara ini untuk mendapat faedah ketika mereka ditimpa kesusahan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata, skim itu sudah dipersetujui Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan akan dibawa ke kabinet bagi mendapat kelulusan sebelum dilaksanakan Ogos ini.

“Perkara ini boleh dilaksanakan kerana kita potong hanya RM10 melalui elaun bulanan yang nelayan perolehi RM200 setiap bulan. Antara faedahnya ialah khairat kematian, bencana alam, kemalangan, lumpuh atau kecacatan kekal,” katanya.

Noh berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Dialog dan Agihan Bantuan Elaun Sara Hidup Nelayan kawasan Kuala Terengganu Selatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad, Losong di Kuala Terengganu, di sini, Khamis.

Beliau berkata, LKIM kini meneliti beberapa syarikat yang menawarkan perkhidmatan insurans termasuk AgroBank dan akan memilih syarikat yang memberi tawaran terbaik bagi melaksanakan skim insuran untuk golongan nelayan ini.

Terdahulu ketika berucap dalam majlis sama, beliau turut berkata, semua nelayan dan awak-awak di setiap negeri yang mendapat elaun sara hidup RM200 sebulan juga akan diberi lesen sampan secara automatik mulai esok.

Noh mengumumkan perkara itu selepas sesi dialog bersama nelayan diwakili Pengerusi Persatuan Nelayan negeri, Mat Yasin Mohamed yang memberitahu, seramai 400 dari 10,000 nelayan negeri Terengganu masih tidak mempunyai lesan sampan.

“Lesen akan dikeluarkan kepada pemilik sampan dan kad nelayan kerana kerajaan berhasrat menolong awak-awak yang ingin menjadi nelayan dan sehingga kini seramai 15,900 nelayan pantai di seluruh negara telah memiliki lesen berkenaan,” katanya.


wartawan cabuk.......jangan pula ada isteri yang berdoa agar suami tidak pulang.

Tiada lagi kumpulan Kelantan, Terengganu dalam Pas.


KUALA LUMPUR - Apabila perwakilan PAS memilih barisan kepimpinan baru dalam muktamarnya esok, ramai pemerhati politik pastinya amat berminat untuk melihat sekiranya para perwakilan akan mematuhi gesaan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat supaya calon-calon dari Kelantan dipilih dalam barisan kepimpinan parti.

Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan secara terbuka meminta perwakilan memilih calon yang boleh membawa apa yang dikatakan beliau sebagai "pengalaman Kelantan" ke peringkat nasional, kerana beliau dilihat cuba menempatkan pemimpin-pemimpin dari negeri ke peringkat hirarki parti kali ini.

Dalam pemilihan parti lepas pada 2009, calon-calon dari Kelantan diketepikan dari kepimpinan tertinggi parti, termasuk anak emasnya Datuk Husam Musa yang bertanding jawatan Timbalan Presiden parti ketika itu.

"Ia sukar sekali, jika Kelantan muncul sebagai pemenang kali ini, ia akan membawa cabaran besar kepada Hadi. Ia akan menunjukkan bahawa terdapat sokongan kuat terhadap Nik Aziz.

Memang ada pertembungan hebat antara semua calon, tapi saya tidak fikir mereka akan pilih kedua-dua Husam dan Nik Amar kali ini," kata penganalisis politik yang juga pensyarah Universiti Sains Malaysia Dr Sivamurugan Pandian.

Husam dan Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah adalah exco Kelantan dan kedua-dua mereka yang bertanding untuk jawatan Naib Presiden, berhadapan dengan penyandang Salahudin Ayub dan Mahfuz Omar, dan juga dua lagi muka baru Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan ketua penerangan PAS Idris Ahmad.

Dr Sivamurugan percaya masih sukar bagi pemimpin-pemimpin dari Kelantan untuk menyerlah dalam pemilihan ini kerana pada pandangannya para perwakilan tidak mahu satu pasukan yang berpecah belah dalam menghadapi pilihan raya ini.

"Perkara yang sama dilihat dalam saingan ke jawatan timbalan presiden. Pada pemilihan lepas, ada kumpulan yang cuba melobi Husam ke jawatan itu, kali ini mereka cuba meletakkan Tuan Ibrahim, yang juga sepupu Nik Aziz.

Pastinya ada sedikit gesaan bagi Tuan Ibrahim untuk bertanding bagi jawatan nombor dua parti. Bagaimanapun saya masih dapati amat sukar bagi kumpulan ini untuk menyerlah pada pemilihan ini," katanya.

Walaupun kepimpinan PAS menafikan wujud sebarang perselisihan antara penyokong presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang atau dikenali sebagai "Kumpulan Terengganu" dan penyokong Nik Aziz "Kumpulan Kelantan", beberapa pemerhati politik percaya perbalahan tetap wujud.

Menurut mereka walaupun Hadi tidak dicabar sebagai presiden untuk penggal ke lima, pemerhati berkata keadaan tidak lagi seperti biasa sejak pemilihan parti pada 2009 -- yang dianggap sebagai paling kompetetif dalam sejarah parti dan mengakibatkan perpecahan antara pemimpinnya di Kelantan dan Terengganu.

Sesetengah mereka mendakwa Nik Aziz masih kecewa apabila Husam kalah dalam saingan ke jawatan nombor dua parti, dan ini mungkin dapat menjelaskan mengapa dalam pemilihan parti kali ini, para pemimpin dari Kelantan mencuba bersungguh-sungguh untuk jawatan nombor dua dan tiga parti.

Sumber dalaman parti percaya Tuan Ibrahim, bekas pensyarah adalah orang penting dari kumpulan Kelantan untuk memecahkan undi golongan ulama, dan di masa yang sama cuba memaksa Nasharudin memberi laluan.

Bagaimanapun sehingga kini usaha masih belum berjaya memandangkan Nasharuddin, yang dikatakan memihak kepada Hadi, tetap dengan hasratnya untuk mempertahankan jawatan nombor dua parti.

Namun begitu beberapa pemimpin masih percaya Tuan Ibrahim akan berjaya pada pemilihan ini memandangkan beliau dianggap sebagai calon yang boleh diterima dari kedua-dua pihak.

"Tuan Ibrahim dikenali sebagai individu yang diterima baik oleh ulama dan juga kumpulan profesional. Perwakilan tidak akan menghadapi masalah menerimanya memandangkan beliau diundi sebagai naib presiden dalam pemilihan parti lepas," menurut satu sumber dalaman parti.

Bagaimanapun anggota jawatankuasa pusat PAS Datuk Kamaruddin Jaafar berkata hubungan antara Hadi dan Nik Aziz bertambah baik, dan tidak pernah ada sebarang perbalahan terbuka dilaporkan antara mereka.

"Saya rasa tidak ada lagi soal kumpulan Terengganu atau kumpulan Kelantan," katanya.

Walauapapun keadaannya, ramai yang sependapat bahawa saingan antara Tuan Ibrahim, Mohamad Sabu dan Nasharudin untuk jawatan nombor dua parti masih menjadi tumpuan pemerhati politik pada pemilihan ini.


FoN Online/bernama.

Harimau Misteri Marang banyak versi : Perhilitan.


MARANG – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu hanya mengesan bekas bangkai lembu yang dikatakan dibaham harimau di Felda Rantau Abang, Jambu Bongkok selepas usaha menjejak haiwan itu dijalankan sejak kelmarin.

Pengarahnya, Yusoff Shariff berkata, pihaknya tidak boleh mengambil tindakan melulu tanpa sebarang siasatan kerana khuatir mengundang pelbagai masalah dari segi keselamatan termasuk menimbulkan ketakutan kepada penduduk kampung.

Menurutnya, keputusan sama ada untuk menangkap haiwan liar berkenaan menggunakan perangkap atau menghalaunya ke hutan hanya akan dilakukan selepas siasatan dilakukan pegawai yang bertanggungjawab selesai dijalankan.

“Perhilitan memandang serius mengenai aduan diterima daripada penduduk Jambu Bongkok mengenai ancaman harimau di kawasan Felda Rantau Abang di sini kerana ia menimbulkan masalah, seterusnya mampu mengancam nyawa penduduk setempat.

“Namun, selepas siasatan dijalankan bermula sejak semalam (kelmarin) tiada pihak tampil mengaku pernah melihat haiwan itu seperti yang dilaporkan akhbar sebelum ini malah terdapat banyak versi mengenai serangan haiwan itu,” katanya.

Yusoff berkata, Perhilitan bagaimanapun, akan menahan satu perangkap di kawasan bangkai lembu yang ditemui mati dipercayai dibaham harimau di Felda Rantau Abang selain masih menanti laporan terkini daripada pegawai yang melakukan siasatan.

Serah tugas pada Perhilitan.

Kelmarin, Sinar Harian edisi Terengganu melaporkan Perhilitan menghantar sekumpulan petugas ke kawasan hutan di sempadan Marang dan Dungun bagi menjejaki harimau misteri yang dikatakan mengancam ternakan penduduk di situ.

Timbalan Pengarahnya, Afendi Ibrahim yang dipetik berkata, kumpulan itu akan membuat rondaan di kawasan hutan Felda Rantau Abang 1 dan 2 serta kawasan hutan sekitar Jambu Bongkok hingga sempadan Dungun selama empat hari bermula kelmarin.

“Rondaan bagi memastikan kehadiran haiwan itu benar-benar wujud dan kita juga akan memasang beberapa perangkap di kawasan hutan tersebut yang dikenalpasti menjadi laluan haiwan itu jika dakwaan penduduk sebelum ini adalah benar,” katanya.

Mengulas lanjut, Yusoff berharap penduduk Jambu Bongkok khususnya yang tinggal di kawasan Felda Rantau Abang 1 dan 2 dapat bersabar dan menyerahkan tugas mengatasi masalah serangan harimau itu dilakukan pegawai Perhilitan berpengalaman.

“Kita juga berharap penduduk yang pernah membuat aduan kepada media sebelum ini tampil atau menghubungi talian 09-6221460 jika mendapati terdapat tanda-tanda baru kehadiran haiwan itu di kawasan mereka dalam masa terdekat ini,” katanya.

Tidak pernah ada tangkapan.

Sementara itu, bekas Iman Masjid Jambu Bongkok, Ali Kadir, 97, berkata, sepanjang usianya tinggal di kampung berkenaan dia hanya mendengar mengenai ancaman harimau tetapi belum pernah mendengar ada tangkapan haiwan itu di kawasan tersebut.

“Mungkin betul, mungkin tidak tetapi jika benar haiwan itu telah mengancam ternakan penduduk kampung sewajarnya haiwan liar itu dijejaki dan ditangkap bagi mengelak orang ramai bimbang dan takut untuk keluar rumah,” katanya kepada wartawan cabuk.

Wednesday, June 1, 2011

Perhilitan jejak harimau misteri.


MARANG (1 Jun) – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) menghantar empat kakitangannya ke kawasan hutan sempadan Marang dan Dungun bagi menjejaki harimau misteri yang dikatakan mengancam ternakan penduduk di sini.

Timbalan Pengarah Perhilitan negeri, Afendi Ibrahim berkata, kumpulan itu akan membuat rondaan di kawasan hutan Felda Rantau Abang 1 dan 2 serta kawasan hutan sekitar Jambu Bongkok hingga sempadan Dungun selama empat hari bermula hari ini.

“Rondaan bagi memastikan kehadiran haiwan itu benar-benar wujud dan kita juga akan memasang beberapa perangkap di kawasan hutan tersebut yang dikenalpasti menjadi laluan haiwan itu jika dakwaan penduduk sebelum ini adalah benar.

“Kita juga berharap penduduk yang pernah membuat aduan kepada media sebelum ini tampil atau menghubungi kami di talian 09-6221460 jika mendapati terdapat tanda-tanda baru kehadiran haiwan itu di kawasan mereka,” katanya.

Afendi berkata demikian mengulas dakwaan seorang penternak lembu dari Jambu Bongkok di sini, yang terkejut apabila mendapati dua ekor lembunya yang hilang dipercayai dibaham haiwan liar itu disiarkan sebuah akhbar tempatan hari ini.

Dalam pada itu, jurucakap polis dari Balai Polis Merchang di sini, ketika dihubungi berkata, tiada laporan mengenai ancaman haiwan itu yang diterima dalam tempoh tiga hari ini.

.............harimau bukan Harimau Malaya yang boleh diajak bermain.....

*gambar hanya hiasan.