Thursday, June 16, 2011

Pemuda mati angkara bomoh Siam.

KUALA TERENGGANU – Hasrat sebuah keluarga untuk melihat anak mereka kembali pulih musnah apabila maut di tangan bomoh Siam ketika ‘upacara membuang sihir dan jin’ dalam kejadian di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pulau Rusa, Marang, pagi tadi.

Mangsa, Faizal Harun, 26, dihantar ke rumah bomoh terbabit kira-kira 7.45 malam kelmarin untuk menerima rawatan, namun menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 12.30 pagi semalam selepas pengsan ketika menerima rawatan terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, bomoh dikenali sebagai Kak Yah, 43, berasal dari Thailand dikatakan telah memulakan rawatan dengan memaksa mangsa meminum beberapa jag air.

“Ia dikatakan untuk memastikan mangsa muntah bagi mengeluarkan ‘penyakitnya’ itu tetapi apabila mangsa tidak muntah, bomoh memasukkan paip ke mulut mangsa untuk dia minum.

“Akibatnya, mangsa pengsan dan bomoh terbabit mengakui dia berjaya mengeluarkan penyakit tersebut dan meminta mereka membawanya ke klinik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di IPK Kuala Terengganu di sini.

Beliau berkata, keluarga mangsa kemudian membawanya ke Klinik Kesihatan Merchang, namun mangsa yang juga dikatakan mempunyai penyakit mental disahkan meninggal dunia kira-kira jam 12.30 pagi tadi.

Menurutnya, pihaknya kemudian menyerbu ke rumah bomoh terbabit, namun suspek dan suaminya berumur 33 tahun berasal dari Rantau Panjang, Kelantan telah melarikan diri.

“Kita menerima maklumat awal dari Klinik Kesihatan Merchang dan telah bertindak ekoran laporan polis yang dibuat bapa mangsa, iaitu pengadu berumur 56 tahun pada jam 2.15 pagi di Balai Polis Marang,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu masih disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian.

Dalam masa sama, Manoharan turut menasihatkan orang awam supaya tidak terlalu mempercayai bomoh dan menghentikan rawatan terbabit sekiranya mendapati ia keterlaluan.

Sementara itu, jiran bomoh yang ditemui Wartawan Cabuk menyifatkan kejadian itu sesuatu yang mengejutkan kerana sebelum ini mereka difahamkan bomoh wanita dan suaminya itu jarang menerima atau mengubati pesakit di rumah mereka di Pulau Rusa, Marang.

Seorang penduduk yang yang enggan dikenali berkata, ini kerana pasangan terbabit bekerja sebagai pekerja am di sebuah kilang memproses keropok yang terletak lebih kurang satu kilometer dari rumah mereka sejak lebih setahun lalu.

“Bagaimanapun, pasangan terbabit sudah seminggu tidak ke kilang berkenaan namun kami tidak mengetahui sebabnya,” katanya yang juga pernah mendapatkan rawatan untuk mengurut tangan dan kakinya sebelum ini di rumah bomoh wanita terbabit.

No comments: