Tuesday, June 7, 2011

PM bukan cita-cita Hadi.

"Saya tidak bercita-cita untuk menjadi PM, saya berazam dan menjadi kewajipan kepada saya untuk menyelamatkan umat Islam, rakyat Malaysia serta negara malaysia itu sendiri," kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.




KOTA BAHARU: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau tidak mahukan jawatan Perdana Menteri jika pakatan pembangkang berjaya dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Abdul Hadi, yang juga Anggota Parlimen Marang, berkata, perjuangan Pas adalah untuk menyelamatkan negara dan memperkenalkan dasar negara berkebajikan yang dibawa oleh pakatan pembangkang.

"Yang penting kita mahu selamatkan negara... sesiapapun boleh jadi Perdana Menteri," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bahawa perubahan kepemimpinan Pas yang kini dikuasai golongan profesional menunjukkan parti itu mahu berkuasa dalam pakatan pembangkang.

Ia termasuk Abdul Hadi yang berhasrat untuk menjadi Perdana Menteri.

Malahan Mohamed Nazri menegaskan peluang Umno untuk meraih undi kaum Melayu pada pilihan raya umum akan datang lebih besar selepas Pas menukar dasar parti itu untuk tidak lagi mempertahankan perjuangan membina negara Islam.

Sebaliknya memperjuangkan 'negara berkebajikan' di mana Umno sudah pun melaksanakannya sejak merdeka.

Respon Hadi mengenai 'negara berkebajikan'....

"Walaupun ada yang mendakwa bahawa kerajaan Bn telah melaksanakan kebajikan, suka saya jelaskan bahawa kebajikan yang Pas kemukakan ini adalah kebajikan berpandukan Al-Quran kebajikan yang menghindarkan rasuah,fitnah, salah guna kuasa serta lain-lain yang bercanggah dengan Islam," katanya.

No comments: