Tuesday, June 21, 2011

Najib hadapi lima tuduhan, dera dan kurung pelatih.



MARANG – Pengurus pusat pemulihan akhlak tidak berdaftar, Mohd Najib Mohtar, 25, menghadapi lima pertuduhan di Mahkamah Majistret Marang di sini, hari ini, kerana mendera dan mengurung penghuni di pusat pemulihan tersebut.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh dari Kampung Pulai Panjang, Jertih ini telah menganaiyai dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi terhadap empat penghuni bawah umur menghuni pusat pemulihan haram itu.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu antara 2 Mei dan 15 Jun lalu di sebuah rumah di Bukit Gasing, di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 itu membawa kepada hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan boleh dikenakan denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.

Mohd Najib yang hadir di Mahkamah dengan memakai kemaja T putih berseluar panjang serta berkopiah juga menghadapi dua pertuduhan mengurung dua penghuni wanita dan 13 penghuni lelaki antara 7 Februari dan 15 Jun di tempat yang sama.

Perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 344 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan boleh didenda.

Dia turut menghadapi dua pertuduhan lain iaitu sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan wayar kabel serta kayu terhadap dua penghuni wanita terbabit, serta menggunakan rotan, wayar kabel, kayu dan rantai besi terhadap 13 lelaki terbabit.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua hukuman itu.

Mohd Najib yang turut ditemani keluarga mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap semua pertuduhan dan dia turut kelihatan mengeleng-gelengkan kepala termasuk menanggalkan kopiah di kepala ketika pertuduhan dibacakan.

Apabila Majistret Nor Azizah Yusof meminta penjelasan punca dia melakukan perbuatan itu, Mohd Najib sempat menjelaskan dia hanya menjalankan kewajipannya menjaga pelatih selepas mendapat keizinan keluarga pelatih untuk berbuat demikian sebelum ini.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mahathir Mohd Yusof, dan Mahkamah kemudiannya menetapkan 19 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tertuduh dibenarkan diikat jamin RM8,000.

No comments: