Sunday, June 19, 2011

Penjenayah tegar 'Mie Tiger' kantoi menyorok bawah katil.



MARANG – Seorang penjenayah tegar dikenali sebagai ‘Mie Tiger’ yang dikehendaki polis sejak tahun lalu kerana dipercayai terlibat dalam 20 kes jenayah pecah rumah di negeri ini berjaya ditahan di sebuah rumah di Rawai, Bukit Payong, semalam.

Suspek diberi gelaran itu kerana sebelum ini licik melepaskan diri daripada buruan polis.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya berkata, hasil maklumat awam sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah daerah telah menjalankan serbuan ke sebuah rumah di Rawai pada jam 6.30 petang.

Menurutnya, sebelum hendak ditahan, suspek berumur 23 tahun itu sedang tidur di bahagian dapur rumah dan cuba melarikan diri ke sebuah bilik dengan menyorok di bawah katil selepas keluarganya menyedari kehadiran polis.

“Suspek yang berada di rumah bersama ibu dan adiknya itu juga bergelut dengan anggota polis ketika cuba ditahan namun gagal melarikan diri dalam operasi diketuai Inspektor Khairul Ridzuan Salleh bersama enam lagi anggota,” katanya hari ini.

Ahmad Mazlan berkata, polis yang melakukan pemeriksaan turut menemui tiga biji pil berwarna kemerah-merahan dipercayai pil kuda diletakkan di dalam tiub straw.

“Dadah itu ditemui di dalam poket kecil sebelah kanan seluar panjang yang dipakai suspek,” katanya.

Difahamkan suspek licik ini yang diburu sejak tahun lalu pernah didapati positif dadah sebelum ini pulang dari Kuala Lumpur dan bersembunyi di rumahnya selepas menyaksikan perlawanan akhir Piala FA baru-baru ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 kanun keseksaan.

No comments: