Saturday, June 18, 2011

Ratusan pokok tumbang, harta benda musnah sekelip mata.



MARANG - Penduduk dan peniaga di kilometer 31 hingga 36, Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Kampung Kuala Tengah, Pulau Kerengga di sini, gempar apabila hujan ribut luar biasa melanda kawasan berkenaan malam semalam.

Dalam kejadian selama 15 minit bermula jam 6.45 hingga 7.00 malam itu, ia dianggap sebagai luar biasa apabila sebuah rumah, sebuah surau, deretan gerai buah-buahan rosak teruk di hempap pokok dan atap diterbangkan angin.

Malah ratusan pokok tumbang di sepanjang jalan sejauh lima kilometer itu.



Menurut seorang mangsa, Mamat Ibrahim, 60, keluarganya berdepan pengalaman dan saat paling menakutkan sejak empat tahun tinggal di kampung itu ketika melihat satu persatu atap rumahnya diterbangkan angin ketika berada di luar rumah.

“Saya bergegas berlari memasuki kedai saya tidak jauh dari rumah, sementara isteri
yang berada dalam rumah ketika itu mencari tempat selamat untuk anak dan cucu kami berlindung dari ancaman angin kencang itu,” katanya ketika ditemui WC di sini.

Sementara itu, isterinya, Zaleha Alwi, 48, berkata, ketika keadaan di luar rumah di landa angin kencang dan hujan lebat dia segera mengumpulkan tiga anak dan mendukung cucu berumur dua tahun yang menangis ketakutan di ruang tamu.

“Saya memujuk cucu saya sambil bertakbir. Tiba-tiba saya dengar bunyi semakin kuat dan dapat merasakan atap rumah kami di bahagian belakang diterbangkan angin namun saya tidak berganjak dari ruang tamu bersama anak dan cucu,” katanya.

Selepas keadaan hujan ribut tersebut reda pasangan terbabit kemudiannya memeriksa bahagian belakang rumah dan mendapati hampir kesemua atap rumah mereka rosak teruk.



Seorang lagi mangsa yang menjalankan perniagaan menjual buah-buahan, Mohd Faiz Firdaus Roslan, 18, berkata, ketika kejadian dia bersama keluarga sedang mengemas untuk pulang namun tidak sempat untuk berbuat demikian.

“Kejadian itu berlaku dalam sekelip mata sahaja, dalam keadaan hujan, ribut kencang itu tiba-tiba melanda menyebabkan gerai ini bergegar sebelum sebatang pokok berdekatan gerai kami tumbang berdekatan dengan van milik ayah.

“Ia tidak habis di situ sahaja apabila canvas yang menutup khemah gerai ini juga koyak dipukul angin kencang manakala saya dan adik perempuan berumur 11 tahun memegang erat tiang khemah agar ia tidak diterbangkan angin,” katanya.



Sementara itu, Pengerusi Surau Ar Rahman Kampung Kuala Tengah, Zulkifli Ngah, 40, berkata, Surau Ar Rahman di kampung itu dibina sekitar 60an dan baru sahaja dibaik pulih dua tahun lalu turut rosak teruk akibat ditimpa pokok tumbang.

Bagi seorang warga emas, Azizah Che Kadir, 68, kejadian hujan ribut itu adalah yang terburuk pernah melanda kampung itu sepanjang hayatnya tinggal di situ apabila ratusan pokok tumbang sepanjang jalan utama sejauh lima kilometer itu.

“Kerosakan itu tidak termasuk harta benda yang ditanggung penduduk tetapi apa yang menghairankan mak cik ialah hanya kampung ini sahaja dilanda ribut kencang sedangkan kampung lain tidak mengalami kejadian itu,” katanya kepada WC.

No comments: