Thursday, June 2, 2011

Harimau Misteri Marang banyak versi : Perhilitan.


MARANG – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu hanya mengesan bekas bangkai lembu yang dikatakan dibaham harimau di Felda Rantau Abang, Jambu Bongkok selepas usaha menjejak haiwan itu dijalankan sejak kelmarin.

Pengarahnya, Yusoff Shariff berkata, pihaknya tidak boleh mengambil tindakan melulu tanpa sebarang siasatan kerana khuatir mengundang pelbagai masalah dari segi keselamatan termasuk menimbulkan ketakutan kepada penduduk kampung.

Menurutnya, keputusan sama ada untuk menangkap haiwan liar berkenaan menggunakan perangkap atau menghalaunya ke hutan hanya akan dilakukan selepas siasatan dilakukan pegawai yang bertanggungjawab selesai dijalankan.

“Perhilitan memandang serius mengenai aduan diterima daripada penduduk Jambu Bongkok mengenai ancaman harimau di kawasan Felda Rantau Abang di sini kerana ia menimbulkan masalah, seterusnya mampu mengancam nyawa penduduk setempat.

“Namun, selepas siasatan dijalankan bermula sejak semalam (kelmarin) tiada pihak tampil mengaku pernah melihat haiwan itu seperti yang dilaporkan akhbar sebelum ini malah terdapat banyak versi mengenai serangan haiwan itu,” katanya.

Yusoff berkata, Perhilitan bagaimanapun, akan menahan satu perangkap di kawasan bangkai lembu yang ditemui mati dipercayai dibaham harimau di Felda Rantau Abang selain masih menanti laporan terkini daripada pegawai yang melakukan siasatan.

Serah tugas pada Perhilitan.

Kelmarin, Sinar Harian edisi Terengganu melaporkan Perhilitan menghantar sekumpulan petugas ke kawasan hutan di sempadan Marang dan Dungun bagi menjejaki harimau misteri yang dikatakan mengancam ternakan penduduk di situ.

Timbalan Pengarahnya, Afendi Ibrahim yang dipetik berkata, kumpulan itu akan membuat rondaan di kawasan hutan Felda Rantau Abang 1 dan 2 serta kawasan hutan sekitar Jambu Bongkok hingga sempadan Dungun selama empat hari bermula kelmarin.

“Rondaan bagi memastikan kehadiran haiwan itu benar-benar wujud dan kita juga akan memasang beberapa perangkap di kawasan hutan tersebut yang dikenalpasti menjadi laluan haiwan itu jika dakwaan penduduk sebelum ini adalah benar,” katanya.

Mengulas lanjut, Yusoff berharap penduduk Jambu Bongkok khususnya yang tinggal di kawasan Felda Rantau Abang 1 dan 2 dapat bersabar dan menyerahkan tugas mengatasi masalah serangan harimau itu dilakukan pegawai Perhilitan berpengalaman.

“Kita juga berharap penduduk yang pernah membuat aduan kepada media sebelum ini tampil atau menghubungi talian 09-6221460 jika mendapati terdapat tanda-tanda baru kehadiran haiwan itu di kawasan mereka dalam masa terdekat ini,” katanya.

Tidak pernah ada tangkapan.

Sementara itu, bekas Iman Masjid Jambu Bongkok, Ali Kadir, 97, berkata, sepanjang usianya tinggal di kampung berkenaan dia hanya mendengar mengenai ancaman harimau tetapi belum pernah mendengar ada tangkapan haiwan itu di kawasan tersebut.

“Mungkin betul, mungkin tidak tetapi jika benar haiwan itu telah mengancam ternakan penduduk kampung sewajarnya haiwan liar itu dijejaki dan ditangkap bagi mengelak orang ramai bimbang dan takut untuk keluar rumah,” katanya kepada wartawan cabuk.

No comments: