Thursday, June 16, 2011

11 mangsa dera termasuk wanita dirantai macam binatang

KUALA TERENGGANU - Polis menahan tiga pekerja sebuah pusat penjagaan dan pemulihan akhlak tidak berdaftar kerana dipercayai terlibat mendera penghuni-penghuni di pusat berkenaan di Bukit Gasing, Marang pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP K Manoharan berkata, ketiga-tiga lelaki berkenaan yang berumur di antara 28 hingga 30 tahun itu ditahan di pusat berkenaan kira-kira pukul 5 petang semalam, berikutan aduan salah seorang bapa kepada penghuni pusat berkenaan.

"Setelah menerima aduan daripada bapa salah seorang penghuni pusat itu, polis bersama Pegawai Kebajikan Masyarakat telah menyerbu dua lot rumah yang dijadikan pusat penjagaan dan pemulihan akhlak bagi menempatkan penghuni wanita dan lelaki itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

"Ketika sampai di rumah pertama yang menempatkan penghuni lelaki, polis mendapati pintu hadapan rumah itu dikunci dengan mangga dan polis mengarahkan salah seorang suspek untuk membuka kunci berkenaan.

"Setelah dibuka, didapati 11 penghuni lelaki yang berumur antara 15 hingga 35 tahun berada dalam rumah tersebut dengan beberapa orang daripada mereka dirantai di bahagian kaki dan tangan," katanya.



Hasil serbuan di rumah kedua pula, polis menemui dua penghuni wanita berumur 23 dan 24 tahun dan hasil soal siasat yang dijalankan, penghuni di pusat jagaan tersebut mengadu mereka telah didera dengan tidak dibenarkan keluar dari rumah termasuk dirotan.

Beliau berkata, penghuni di pusat penjagaan dan pemulihan akhlak itu kemudian diserahkan kepada Rumah Kebajikan Jabatan Kebajikan Masyarakat Marang, manakala mereka yang cedera kerana didera pula dihantar ke hospital untuk rawatan.

Ketiga-tiga lelaki berkenaan kini ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak, dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan alatan dan senjata yang berbahaya.

No comments: