Sunday, June 5, 2011

Nenek dalam perjalanan ke masjid maut depan mata cucu.



MARANG –Seorang warga emas, Wazab Omar, 71, dari Kampung Jambu Bongkok di sini, tidak sempat menunaikan solat Asar apabila maut dirempuh sebuah kereta ketika dalam perjalanan ke Masjid Jambu Bongkok kira-kira 4.15 petang, semalam.

Dalam kejadian di kilometer 52.5 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Jambu Bongkok, mangsa membonceng motosikal ditunggang suaminya, Abd Ghani Draman, 75, ketika dalam perjalanan menuju ke masjid kira-kira 500 meter dari rumahnya.

Mangsa maut di tempat kejadian manakala suaminya mengalami kecederaan parah apabila tangan kirinya patah dan tempurung lutut kanannya pecah akibat dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Kenari yang dalam perjalanan dari Dungun ke Kuala Terengganu.

Difahamkan, pemandu Kenari terbabit dipercayai terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh sebuah kereta jenis Proton Pesona dan motosikal dinaiki pasangan warga emas terbabit serta sebuah lagi motosikal yang berada berdekatan di tepi kiri jalan.

Apa yang menyedihkan, Wazab menghembuskan nafas terakhirnya di atas jalan manakala suaminya, Abd Ghani, parah. Seorang lagi penunggang motosikal, Senawi Johari, 64, turut cedera di badan. Kedua-dua mereka kemudiannya dikejarkan ke Hospital Dungun.

Turut dikejarkan ke hospital sama pemandu Kenari terbabit manakala pemandu kereta jenis Proton Pesona, Md Zainuddin Bakar, 36, yang beralamat dari Jambu Bongkok tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kemalangan tersebut berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

WC... Takziah kepada ahli keluarga mangsa, semoga roh arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin.




Bagi cucu mangsa kejadian itu disebabkan kecuaian pemandu yang memandu secara cuai.

"Lebih menyedihkan apabila ia berlaku betul-betul di depan mata saya," kata cucu mangsa (gambar), Nurul Nazratulain Zulkefli, 24.

Dapatkan Sinar Harian edisi Terengganu siaran ISNIN (6 JUN) !!!

No comments: