Friday, June 10, 2011

Rumah sarjan musnah dalam kebakaran.



MARANG - Hampir keseluruhan peralatan rumah pasangan anggota polis berpangkat sarjan di tingkat satu pangsapuri kakitangan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang musnah dalam kebakaran di sini, kelmarin.

Pasangan anggota terbabit, Sarjan Abdul Zaini Abdullah, 50, dan Sarjan Rohana Idris, 48, tidak menyangka akan kehilangan harta bendanya sekelip mata dalam kejadian kebakaran dipercayai berpunca dari litar pintas.

Menurut Rohana, sewaktu kejadian, salah seorang dari lima anaknya, Norasifa Fitri, 13, berada dalam bilik dan bergegas keluar dari rumah selepas mendengar bunyi percikan api dan letupan kecil dari arah ruang tamu.

“Anak terkejut dan berlari ke luar rumah memberitahu jiran sebelum jiran terbabit bergegas keluar dari rumah dan cuba membantu memadam kebakaran dengan peralatan pemadam api,” katanya ketika ditemui WC di tempat kejadian.

Rohana berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang sewaktu dia dan suami bekerja.

Menurutnya, setelah diberitahu mengenai kejadian itu, mereka berdua bergegas pulang ke rumah, namum sudah terlambat kerana api sedang marak memusnahkan hampir keseluruhan peralatan rumah yang terdapat di ruang tamu.

“Kami masih tidak pasti jumlah kerugian dan punca sebenar kebakaran itu masih dalam siasatan pihak berkuasa dan saya mengucapkan terima kasih kepada anggota Bomba dan Penyelamat dan jiran kerana berusaha memadamkan api,” katanya.



Bagaimanapun, terubat seketika kesedihan pasangan anggota polis berpangkat sarjan dari IPD Marang itu walaupun dilanda kekecewaan yang begitu meruntun hati apabila peralatan rumah mereka musnah dalam kebakaran tersebut.

Bergegas pergi meninjau dan melawat keluarga keluarga terbabit adalah antara usaha yang dilakukan Ketua Polis Negeri Terengganu, SAC Datuk Jamshah Mustapa bagi merasai sendiri kekecewaan dan bencana menimpa anggotanya.

Hadir sama, Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya.

Ahmad Mazlan ketika ditemui berkata, keluarga mangsa kebakaran akan ditempatkan di rumah baru di pangsapuri sama dan akan menerima pampasan melalui tabung bantuan bencana Polis DiRaja Malaysia (PDRM) terdekat ini.

No comments: